TARIAN tradisional Hamdolok yang popular

Tarian hamdolok kian pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIAN tradisional Hamdolok yang popular lebih 100 tahun dahulu, kini kian pupus ditelan arus zaman. Ia hanya diwarisi dan terkenal di Batu Pahat, Johor.

Menurut sejarahnya, Tarian Hamdolok atau juga dikenali sebagai ‘masadeka’ merupakan sejenis tarian yang diilhamkan dari Timur Tengah dibawa ke Tanah Melayu sekitar abad ke-19 di Johor.

Tarian dan nyanyian ini diringi oleh alat muzik seperti gambus Melayu, marwas, tamborin serta gendang.

Hamdolok diasas dan idea daripada seorang pemuzik Melayu Asli iaitu Rahmat atau lebih dikenali di daerahnya sebagai ‘Rahmat Wayang’ pada awal 1900-an. Beliau dilahirkan di Singapura, kemudian berhijrah dan menetap terus di Parit Besar, Bagan, Batu Pahat, Johor sebelum berpindah ke Kampung Bintang dalam daerah sama.

Seterusnya, seawal 1980-an, Atan Bongkek atau Tok Long membawa Hamdolok ke Kampung Rahmat, Batu Pahat dan diwarisi kepada anak saudaranya, Mohd. Diah Ariffin pada 2000 untuk menjadi ketua kumpulan manakala beliau sebagai pemuzik gambus Melayu.

Kini, generasi ketiga Kampung Rahmat iaitu Mohd. Aidil Mohd. Diah, 37, rela hati menyambung usaha untuk menghidupkan kembali kesenian Tarian Hamdolok sejak 2018.

“Di kampung saya, Tok Long merupakan generasi pertama manakala bapa saya penyambung kedua tarian ini. Kedua-duanya telahpun meninggal dunia. Diceritakan pada 1985, Tok Long memanggil kumpulan Hamdolok ke rumahnya untuk membuat persembahan.

Daripada situlah dia berminat untuk mempelajari teknik tarian Hamdolok.“Tarian ini popular dalam kalangan nenek moyang kita kerana ia hanya hiburan pada zaman dahulu.

Idea tarian ini dibawa dari negara Arab ke Tanah Melayu, sarat dengan zapin dan silat. Tarikannya pada sebutan ‘hamdolok, holok, holok’.

Ia ditarikan selama 20 minit oleh 13 hingga 40 pemain atau penari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Mohd. Aidil, tarian ini hanya ditarikan di Batu Pahat sahaja untuk hiburan setempat malah dia sendiri telah menari sejak 1996 bersama empat kakaknya.

“Sejarah awal dipersembahkan ketika Maulidur Rasul, tapi apabila dibawa ke sini, ia dipersembahkan pada orang kampung, majlis perkahwinan atau menyambut pembesar,” ujar anak kelima daripada enam beradik ini.

CORENGAN WAJAH PENARI

Keistimewaan Tarian Hamdolok ini adalah pada wajah penarinya. Satu-satunya tarian yang wajah penari perlu dicoreng atau dicontengkan.

“Kenapa dicorengkan? Pada awalnya, ia ditarikan oleh penari lelaki dan elak daripada malu jadi dicorengkan untuk hilangkan identiti. Namun kini ada juga kumpulan yang tidak mencorengkan muka mereka. Ia terpulang kepada penari dan kumpulan tersebut,” kongsinya.

Tambah Mohd. Aidil, seawal dulu tarian ini tidak diberi nama kemudian telah diambil pada rangkap lagu itu sendiri iaitu hamdolok.

“Saya difahamkan hamdolok ini daripada perkataan ‘Alhamdulillah, Allah Allah’ yang disebut oleh orang Arab. Tetapi hanya slang yang membuatkan perubahan sebutan itu kepada hamdolok dan ia tidak membawa apa-apa maksud. Lagu yang digunakan juga berkemungkinan besar menggunakan bahasa Arab tetapi slang yang telah diubahsuai,” katanya.

Ujar Mohd. Aidil, disebabkan kumpulan yang ada di kampung ini tenggelam timbul dan tiada lagi ahli yang tetap, dia sendiri tidak tahu siapa yang bakal mewarisinya.

“Anak saudara ada yang minat. Tapi tidak tahu sejauh mana minatnya terhadap tarian ini. Saya sangat berharap generasi muda dapat mengenali tradisi kita dan mewarisinya.

“Pernah ada juga kampung yang cuba menghidupkan tarian ini tetapi apabila kekuatan penari tidak cukup maka ia tidak dapat diteruskan.

Malah kekangan daripada segi sound atau rakaman muzik kerana sehingga kini ia masih perlu ditarikan dengan iringan muzik secara langsung atau live. Jadi, sukar untuk mengajar jika tiada pemuzik.

“Alhamdulillah, sokongan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor melalui program Perantisan Seni Budaya Hamdolok 2023 bagi memastikan tarian ini terus subur dan aktif di Johor.

“Generasi baharu juga dapat meneruskan warisan seni budaya yang semakin dilupakan,” akhirinya.

Dengan kerjasama Kumpulan Seri Irwarna Tari, Tarian Hamdolok telah mendapat penyertaan daripada pelajar berumur antara 13 dan 25 tahun sebagai perantis baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN