MKP cambah pemikiran siswa

MKP cambah pemikiran siswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMIMPIN yang hebat perlu sentiasa cakna kepada isu-isu semasa dalam masyarakat.

Selaras agenda itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan program Modul Kepimpinan Profesional (MKP): Juara Komuniti baru-baru ini.

Program sehari yang diadakan di Kampung Endah, Morib di Kuala Langat itu disertai seramai 77 pemimpin pelajar daripada pelbagai latar persatuan dan bidang pengajian.

Menerusi platform itu, peserta didedahkan dengan aktiviti penternakan lembu dan kambing di samping perusahaan kelapa muda, madu kelulut, taman herba dan kerepek.

Menurut Presiden Sekretariat Rukun Negara (SRN) UiTM, Haziq Danial Mohd. Nor Azam, selain memahami rutin penduduk, peserta perlu mengemukakan penyelesaian dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti golongan sasar.

“Antara masalah yang dikenal pasti termasuk kekangan dalam meningkatkan pengeluaran bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di samping kurang kesedaran mengenai pemasaran secara digital.

“Peserta kemudian mencadangkan penduduk kampung mempromosikan produk keluaran mereka di media sosial dan platform e-dagang sekali gus dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Kampung Endah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sains Gunaan, Amirul Syazwan Kholidi berkata, program berkenaan memberi cabaran kepada pelajar untuk memberikan percambahan idea berimpak tinggi.

Katanya, ini merupakan penyertaan kali pertamanya dalam program seumpama itu.

“Kumpulan saya ditugaskan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di perpustakaan desa yang hanya digunakan oleh kumpulan tertentu seperti kanak-kanak

“Justeru, kami kena fikirkan bagaimana mahu menarik pengunjung daripada peringkat umur lain,” katanya.

Presiden Sekretariat Mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Syahmina Syahirah pula teruja dapat melihat secara dekat perusahaan kerepek.

“Apabila menyaksikan kaedah pembuatannya, baru saya tahu yang produk itu sebenarnya premium.

“Bukan mudah menghasilkan kerepek pisang, keladi dan sebagainya. Jadi saya cadangkan kepada mereka untuk menambah baik cara pemasaran dan mengoptimumkan penggunaan media sosial,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) UiTM, Prof. Dr. Zuraeda Ibrahim berkata, objektif program MKP: Juara Komuniti diinspirasikan daripada kepemimpinan Perdana Menteri Ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak iaitu berkhidmat kepada komuniti dan cakna dengan isu setempat.

Katanya, pendekatan itu membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Menerusi program tersebut, peserta membentangkan cadangan dan penyelesaian kepada penduduk kampung.

“Apa yang boleh dibuat untuk memajukan lagi Kampung Endah dan dalam masa sama membantu mencipta jaringan antara komuniti dengan pelbagai pihak,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif itu akan menjadi penanda aras kepada program lain di masa depan dalam usaha melahirkan golongan pemimpin di samping pelajar yang mampu melaksanakan tugasan berimpak tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya