Menopaus yang menakutkan wanita

Menopaus yang menakutkan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASA panas umpama makan cili api yang ditumbuk dan pijar di bahagian belakang badan sehingga tidak mampu tidur atau melelapkan mata. Ini antara perkongsian seorang wanita yang menopaus.

Simptom yang dialami akibat perubahan biologi itu sebenarnya sesuatu yang menakutkan atau menyakitkan?

Terdapat satu buku yang menarik untuk dibaca kerana ditulis hasil dapatan antropologi bermaksud kajian berkaitan manusia.

Buku Menopaus dan Perspektif Antropologi Perubatan mendapat perhatian Pakar Perunding Patologi dan Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Madya Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman.

Menurut beliau, buku nukilan Nurazzura Mohamad Diah itu bukan sekadar mengupas fakta-fakta saintifik dan klinikal seperti dilakukan kebanyakan pengamal perubatan tetapi mengambil pendekatan dan penceritaan lebih dekat dengan masyarakat.

Dalam bab pertama, penulis mengupas mengenai menopaus satu alam baharu iaitu definisi yang dilihat dari sudut budaya dan etnik.

Tambah menarik kerana penceritaannya begitu jelas berdasarkan maklumat dan kajian daripada individu yang melaluinya meliputi pelbagai etnik kaum serta budaya.

Dengan cara ini penulis menambahkan lagi pemahaman pembaca tentang menopaus. Penulis turut menghidangkan simptom-simptom dialami oleh individu menopaus dan kesan setelah mendapatkan rawatan termasuk rawatan penggantian hormon.

Bab kedua pula, mengenai topik menopaus dan sensitiviti yang sangat menarik untuk dibaca kerana isu ini masih sensitif dan sukar diterima oleh wanita. Oleh itu, tiada yang secara terang-terangan mendedahkan mereka menopaus.

Orang sekeliling yang rapat seperti suami dan anak-anak hanya dapat mengesannya melalui perubahan dan tingkah laku.

Di samping itu ada juga perkongsian seorang anak mengenai perubahan ibunya yang semakin sensitif, cepat terasa, naik angin dan mudah rasa panas walaupun berada dalam bilik berhawa dingin.

Seterusnya, bab ketiga iaitu bingkisan pengalaman wanita menopaus mengandungi pengakuan ikhlas individu menopaus. Ada yang mudah sedih, menangis tanpa sebab kerana ketidakstabilan emosi termasuk pengalaman wanita Orang Asli dan cara mereka mengatasi masalah itu.

Manakala, bab keempat dan kelima pula bertajuk wanita dalam media serta wanita hari ini.

Walaupun menopaus adalah satu bentuk kehidupan yang tersimpan rapi, namun banyak media seperti akhbar dan majalah mula mendedahkannya secara terang-terangan, sekali gus mendorong wanita untuk terus terbuka dalam membincangkan mengenainya.

Pendek kata, menopaus kini diterima sebagai permulaan baru dalam kehidupan wanita.

Buku ini sangat sesuai dibaca bagi meningkatkan kefahaman mengenai menopaus, malah menjadi medium untuk setiap pasangan dan anak-anak bersiap-sedia menghadapi perubahan biologi isteri dan ibu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya