DIY seluar denim lusuh untuk dijadikan produk baharu

Sentuhan kreatif ubah denim lusuh

Zhi Wei (tiga kiri) membantu petugas media yang menyertai bengkel kreatif bagi mengguna semula denim untuk hasilkan produk lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELUAR jeans koyak, berlubang, lusuh atau ketat lazimnya dibuang begitu sahaja kerana dianggap tiada sebarang kegunaan.

Walaupun ada di antaranya berjenama dan mahal, namun jika sudah rosak pasti dilontar ke dalam bakul sampah.

Hakikatnya, barangan tersebut boleh diguna semula bagi menghasilkan pelbagai produk lain.

Hal itu kerana seluar jeans yang diperbuat daripada fabrik denim memiliki ketahanan tinggi, lasak dan kukuh, justeru menjadi kerugian jika dijadikan bahan buangan.

Pengarah Kreatif Love Limzy Co., Lim Zhi Wei, berkata, persepsi jeans buruk sudah tidak bernilai, perlu diubah kerana dengan sedikit sentuhan dapat mengubah fungsi dan peranannya.

Beliau yang juga pelukis ilustrasi menjelaskan, pendekatan upcycle atau guna semula secara kreatif merupakan langkah terbaik bagi mengubah suai barangan tersebut kepada produk baharu yang berkualiti dan bermanfaat.

Katanya, antara yang boleh dihasilkan ialah sarung buku nota dan pasu, beg, dompet, rantai kunci, alas kaki di samping alas pinggan serta cawan.

“Denim merupakan material yang sangat versatil dan boleh menghasilkan pelbagai barangan.

“Melalui upcycle, seseorang bukan sahaja dapat menyelamatkan jeans yang tidak diingini, malah memberi nafas baharu kepada seluar yang lusuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Bengkel Kreatif Sempena Ulang Tahun Ke-150 tahun Levi’s 501 di Rexx KL baru-baru ini.

Zhi Wei berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat mempromosikan kreativiti dan aktiviti DIY (buat sendiri) sekali gus mendidik masyarakat untuk tidak membazir.

Katanya, bukan hanya denim, sebaliknya semua barangan boleh diubah suai dan diguna semula mengikut daya kreatif masing-masing.

“Kreativiti tiada batasan, anda boleh gunting dan tampal seluar jeans lusuh termasuk label, butang dan poket sebagai hiasan pada rekaan sarung buku atau beg.

“Selain itu, anda juga boleh membuat lakaran atau lukisan di atasnya sekali gus menjadikan seluar jeans lama kelihatan baru,” katanya.

Zhi Wei menunjukkan demonstrasi lakaran pada baju terpakai

TIDAK RAMAI AMAL GUNA SEMULA

Zhi Wei berkata, masyarakat di Malaysia masih kurang pendedahan mengenai guna semula.

Katanya, inisiatif Levi’s menerusi kempen Buy Better, Wear Longer itu secara tidak langsung dapat memperkasakan lagi amalan guna semula.

“Levi’s sinonim dengan jeans warisan yang boleh dipakai dari generasi ke generasi kerana faktor ketahanannya dan tidak dimamah usia.

“Sebab itulah setiap seluar jeans terpakai Levi’s masih bernilai tinggi dan konsep upcycle ini dilihat bertepatan dalam memastikan ia terus diwarisi,” katanya.

Menurut Zhi Wei, guna semula tidak memerlukan kos tinggi dan boleh dimulakan dengan hanya menggunakan tiga bahan.

Katanya, bahan itu ialah gam fabrik, gunting dan sehelai jeans lusuh.

“Tiada masalah jika tidak tahu menjahit kerana anda masih boleh menghias barangan peribadi dengan cara gunting dan tampal denim lusuh.

“Sekurang-kurangnya dapat memanfaatkan barangan yang tidak diingini daripada terbuang begitu sahaja sekali gus mengurangkan impak kepada alam sekitar,” katanya.

KERJASAMA KALI KETIGA

Zhi Wei berkata, ini merupakan kerjasama kali ketiganya dengan Levi’s dalam memperjuangkan konsep guna semula kepada masyarakat.

Katanya, penganjuran bengkel kreatif tahun ini menumpukan kepada penghasilan sarung buku nota.

Ujarnya, sebelum ini, aktiviti yang dijalankan ialah menghias gaun mini denim pada lukisan potret tetamu.

“Setiap tahun aktiviti guna semula berbeza-beza dan mempunyai tarikan tersendiri.

“Perkongsian ilmu dalam bengkel kreatif Levi’s yang julung kali dengan pihak media dan orang ramai ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan tentang amalan guna semula,” katanya.

Zhi Wei berkata, bengkel kreatif itu dijalankan sebanyak dua sesi, dengan yang pertama melibatkan 20 peserta dalam kalangan media dan pempengaruh media sosial manakala sesi kedua pula adalah orang ramai.

Katanya, dalam bengkel itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan beg tote yang dihiasi seni contengan (doodle) istimewa hasil karyanya.

KEMPEN BUY BETTER, WEAR LONGER

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Levi’s Malaysia dan Singapura, Karen Ong berkata, kempen Buy Better, Wear Longer itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan penghasilan dan penggunaan pakaian kepada alam sekitar.

Katanya, mesej itu penting ke arah mewujudkan masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang.

Pembalut buku nota DIY yang diperbuat daripada denim terpakai

Tambahnya, amalan guna semula berkait rapat dengan kreativiti dan sentuhan gaya peribadi seseorang.

“Konsep itu bertepatan dengan DNA Levi’s yang menggambarkan muzik, ekspresi diri dan kreativiti.

“Setiap daripada kita pasti ada banyak seluar jeans yang rosak dan daripada dibuang, lebih baik jika diguna semula.

“Di Levi’s, item yang rosak lazimnya dilupuskan atau dihantar ke negara dunia ketiga tetapi dengan konsep guna semula ini, sekurang-kurangnya kita dapat memanfaatkan barangan itu untuk mendidik masyarakat menghasilkan produk-produk lain daripada denim,” katanya.

Jelas Karen, lebih banyak bengkel kreatif dan acara guna semula akan dianjurkan Levi’s di masa depan hasil sambutan positif dalam kalangan peminat jeans itu.
Katanya, tahun lalu, Levi’s menghimpunkan peminat dan pengumpul koleksi di butik mereka di Pavilion Bukit Jalil.

501 JADI WARISAN TURUN-TEMURUN

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kualiti dan ketahanan jeans Levi’s, ujar Karen, rekaan paling ikonik iaitu 501 didapati menjadi warisan turun-temurun sejak lebih dua dekad.

“Jika dibandingkan dengan jenama fesyen lain, jangka hayat jeans kita terbukti lebih lama dan panjang.

“Ada yang saya dengar sehingga 20 tahun dan diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak,” katanya.

Kata Karen lagi, Levi’s 501 relevan sepanjang zaman, malah ukurannya tidak berubah walaupun jeans dimiliki sudah dimamah usia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.