BEBERAPA tahun menyepi tahun tanpa filem, pelakon, AR Badul tampil dengan Vik2ria Secret yang telah menjengah pawagam 15 Jun lalu.
Percubaan beliau sebagai pengarah kali ini menuai kecaman gara-gara pakaian dalam wanita yang menjadi elemen yang diketengahkan dalam filem tersebut yang dikatakan merendahkan martabat wanita dan bersifat sensual.
Badul, ketika ditemui pemberita pada majlis pratonton filem berkenaan menolak dakwaan beliau menggunakan elemen komedi lucah untuk melariskan filem.
Bahkan pelakon dan pengarah asal Singapura ini menyifatkan Vik2ria Secret telah ditapis sebaiknya agar sesuai untuk tontonan umum.
“Tajuk asal filem ini adalah Bra Merah sebelum ditukar kepada Vik2ria Secret. Penceritaannya pula menuju ke arah elemen komersial ‘senget’ yang banyak memperkatakan soal rahsia wanita.
“Tetapi jalan ceritanya telah dirombak berkali-kali, malah elemen ‘dalam kain’ yang terkandung dalam skrip asal telah dikurangkan dan diganti dengan mesej berguna.
“Filem ini dihasilkan mengikut lunas undang-undang. Pada saya, ideanya boleh disifatkan sebagai luar kotak kerana belum ada filem yang menceritakan tentang pakaian dalam wanita.
“Cuma tinggal sahaja macam mana kita nak garap agar sesuai ditonton seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Sambung Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, Vik2ria Secret bukan filem lucah dan tidak wajar mana-mana pengkritik filem mengklasifikasikan sebagai filem jenis itu.
“Kalau nak cakap pasal elemen lucah atau bahasa yang tidak senonoh, filem-filem lain lagi banyak.
“Komen (netizen) adalah pandangan mereka dan saya saya meraikannya. Malah ia baik untuk filem kita. tapi berilah komen secara berhemah,” ujarnya.
TIADA GIMIK LARISKAN FILEM
“Penonton tak bodoh, percaya gimik untuk tonton filem”
Itu komen Badul apabila ditanya tentang dakwaan palsu dia memperisterikan pelakon utama Vik2ria Secret, Annie Arifin yang kononnya digunakan sebagai gimik untuk menarik penonton.
Badul tegas menafikan perkara tersebut. Katanya tiada keperluan untuk mencetuskan gimik murahan.
“Penonton sekarang sudah mampu membaca sebarang gimik yang dirancang kerana inilah trend sekarang.
“Jadi orang sudah terbiasa. Kami juga tidak mahu menggunakan apa-apa gimik untuk tarik penonton tengok cerita ini.
“Pada masa yang sama, saya tegaskan dakwaan Annie sebagai isteri saya adalah tidak benar sama sekali. Macam-macam cerita saya dengar, ada juga yang mendakwa dia anak saya,” katanya.