Cabaran Tok Batin wanita pertama

Cabaran Pengerusi JPKKOA wanita pertama

Uni Sudah dinobatkan sebagai Tokoh Ibu Ikon Pekawanis Peringkat Negeri Selangor 2023. - UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK mahu melihat masyarakat di kampung senasib dengannya yang tercicir dalam pelajaran, menjadi titik-tolak buat wanita pertama yang diangkat menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dalam negeri Selangor untuk membantu anak-anak setempat mendapat pendidikan sepenuhnya di sekolah.

Uni Sudah, 43, yang memegang jawatan itu atau ketua kampung di Kampung Orang Asli Kachau, Semenyih selama tiga penggal iaitu enam tahun banyak menabur bakti dan sangat aktif membimbing orang kampung ke arah yang produktif.

Beliau bukan sahaja membantu masyarakat orang Asli membangun kampung, tetapi juga bertanggungjawab mengendalikan program, membuat kursus cara berniaga dalam talian dengan kerjasama institut pengajian tinggi, mengadakan kursus latihan hadapi banjir, kursus kemahiran dan melatih orang kampung cara tanam getah yang betul dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Dengan kesungguhan dan kegigihan berbakti kepada masyarakat telah melayakkan Uni untuk menerima anugerah Tokoh Ibu Ikon oleh Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Peringkat Negeri Selangor 2023.

Majlis penyampaian anugerah itu mendapat perkenan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang berangkat ke majlis tersebut bersempena sambutan Hari Ibu dan Ulang Tahun ke-15 Pekawanis Peringkat Negeri Selangor, baru-baru ini.

Kongsi Uni, beliau tidak menyangka dapat menerima anugerah tersebut kerana segala sumbangannya dilakukan secara ikhlas tanpa sebarang pulangan. Namun beliau akan menjadikan anugerah itu sebagai pembakar semangat dalam meneruskan kerja-kerja membantu orang kampung dan masyarakat.

Ujar ibu tiga anak ini, kelantangan suaranya menjadi perantara kepada luar telah mendapat kepercayaan dan sokongan penduduk kampung sebagai tok batin bagi mewakili mereka.

“Saya sudah biasa bercampur dengan orang luar malah agak lantang dalam menyuarakan pendapat serta suka bercerita mengenai masalah orang kampung.

“Kalau ikutkan keluarga saya tidak pernah menjadi tok batin. Tetapi saya banyak belajar daripada abang saudara dalam memastikan orang kampung dibantu dan tidak dipinggirkan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis tersebut di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC).

Disebabkan tidak pernah bersekolah dan tidak tahu membaca, membuatkan Uni lebih bersemangat untuk menghantar orang Asli ke sekolah. Meskipun masih ada anak orang asli yang tidak bersekolah namun kata Uni, bilangan yang memasuki sekolah telah meningkat saban tahun berbanding sebelum ini.

“Kini lebih ramai yang dapat bersekolah. Anak-anak saya juga semuanya di hantar ke sekolah. Saya tidak mahu mereka tidak tahu membaca seperti saya. Sebab itu, saya akan pastikan anak-anak di kampung mendapat pendidikan dan pelajaran di sekolah seperti orang lain.

“Walaupun jalan di kampung berlopak dan adakalanya sukar untuk keluar malah perkhidmatan pengangkutan juga kadang-kadang tiada tetapi ia bukanlah alasan untuk mereka tidak bersekolah. Saya sendiri akan bantu mendapatkan van supaya mereka ke sekolah,” kongsinya.

Akui Uni, itulah antara cabaran yang perlu ditempuhi Uni sebagai Pengerusi JKKPOA selain perlu melawat setiap orang kampung yang sakit dan menyelesaikan masalah lain, dalam masa sama akan usahakan bantuan untuk mereka.

Tugas Uni bukan sahaja menjadi ketua di kampungnya tetapi beliau juga bekerja sebagai penoreh getah dan menjual daun pisang untuk membesarkan anak-anak dan menampung kehidupan sekeluarga.

“Membesarkan anak-anak di samping menjadi ketua bukanlah mudah. Saya juga bekerja untuk mencari pendapatan sebagai penoreh getah meskipun sibuk dengan tugas ini. Kalau dulu saya menoreh seorang tetapi kini dua anak dapat membantu menjadi penoreh setelah mereka tamat persekolahan,” katanya.

Biarpun Uni bukanlah menganut agama Islam, tetapi beliau sendiri bertanggungjawab memastikan pengajian Islam di kampungnya berjalan lancar. Uni juga telah membantu 26 daripada 46 keluarga di kampung itu memeluk agama Islam.

“Kampung ini mempunyai surau untuk kegunaan orang Islam solat berjemaah dan sebagainya. Saya sendiri yang memanggil ustaz untuk bantu 26 keluarga yang ingin memeluk Islam,” ujarnya.

IBU OKU 83 TAHUN TOKOH IBU INSPIRASI

Anugerah Tokoh Ibu Inspirasi telah dianugerahkan kepada seorang ibu tujuh anak, yang kurang upaya (OKU) iaitu, Tey Hong Eng, 83.

Beliau yang mengalami kecederaan tulang belakang tidak berputus asa untuk membesarkan dan mendidik anak-anak sehingga semuanya berjaya.

Lebih menyayat hati, Hong Eng mempunyai lima anak yang juga OKU. Meskipun begitu, beliau cekal mendidik dan melatih mereka masuk ke dalam masyarakat dengan jayanya walaupun dalam keadaan yang tidak sempurna serta menghadapi penolakan orang ramai.

Walaupun berkerusi roda, namun beliau mampu untuk memasak setiap hari untuk 20 orang di pusat OKU. Hong Eng telah membuktikan kepada masyarakat meskipun tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain, beliau mampu memberi sumbangan dan berbakti kepada masyarakat.

10 TOKOH IBU DIPILIH ATAS KEJAYAAN, SUMBANGAN

KRITERIA pemilihan tokoh ibu oleh Pekawanis adalah menerusi kejayaan dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Seramai 10 tokoh ibu di 35 Dewan Undangan Negeri (DUN) dipilih daripada 340 orang menerima anugerah khas yang terdiri dari beberapa kategori antaranya, Tokoh Ibu Mithali, Ibu Ikon, Ibu Inspirasi dan Ibu Inovatif.

Menurut Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad, kriteria tokoh ibu dilihat melalui sumbangan kepada masyarakat di samping ibu-ibu yang berjaya mendidik anak.

“Dalam masa sama ibu-ibu bercampur dengan masyarakat. Kami memberikan keutamaan kepada ibu yang menyumbang dan bergaul dengan masyarakat.

“Kriteria pemilihan tokoh ibu pada tahun ini melibatkan banyak pihak termasuk Pusat Khidmat Masyarakat, ahli majlis dan ketua kampung untuk mencari dan memilih tokoh ibu Pekawanis menerusi kejayaan mereka dan sumbangannya kepada masyarakat,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan moto menjadi sebuah pertubuhan yang sentiasa peka dengan kebajikan rakyat, Pekawanis sentiasa bergiat aktif dalam masyarakat dengan menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat di Selangor.

“Majlis hari ini sangat bermakna kerana ini merupakan tahun ketiga Pekawanis memberi anugerah tokoh ibu kepada ibu-ibu di seluruh Selangor bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 wanita termasuk dalam kalangan ibu tunggal yang diraikan.

Bersempena majlis sambutan Pekawanis yang ke-15 kali ini, turut dilancarkan lagu baharu pertubuhan itu yang dinyanyikan oleh penyanyi, Alina Hassan.

Turut hadir meraikan majlis itu adalah mantan Yang Dipertua Pekawanis dari 2008 hingga kini.Majlis itu telah dihoskan oleh bekas pengacara popular, Raja Azura serta dihiburkan dengan kemunculan istimewa penyanyi dangdut, Amelina. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya