RAMADAN dan berpuasa selama sebulan seharusnya menjadi alasan untuk kita terus mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Selain mengekalkan momentum ibadat, aspek pemakanan seimbang juga perlu kita patuhi dalam memastikan kita bukan sahaja mampu mencapai berat badan ideal, tetapi mengekalkan kesejahteraan tubuh.
Biarpun ramai antara kita meneruskan ibadah berpuasa enam pada bulan Syawal, tetapi ramai juga yang terlepas pandang apabila berkunjung ke rumah terbuka.
Pelbagai sajian berlemak, berminyak dan air manis dinikmati, tanpa menghiraukan yang kalori berlembihan boleh menyebabkan berat badan kembali meningkat.
Lebih-lebih kalau individu culas melakukan senaman dan aktiviti fizikal.
Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Siti Syahirah Saru, olahan resipi pada acara jamuan rumah terbuka umpamanya, boleh menyebabkan tambahan kalori yang berlebihan bagi satu hidangan makanan.
“Sebagai contoh, satu hidangan murtabak biasa (satu keping) bersamaan 550kalori berbanding murtabak cheese (satu keping) 697 kalori. Begitu juga jika hidangan air balang yang ada penambahan susu pekat manis atau aiskrim yang menambah kalori berlebihan anggaran 100 hingga 200 kalori berbanding dengan hanya menggunakan gula dalam satu hidangan menu air tersebut.
“Jika diamalkan, kalori berlebihan tersebut boleh menyebabkan berat badan bertambah,” katanya.
Pemilihan menu yang tinggi lemak dan bergoreng boleh menyumbang kepada pengambilan lebihan kalori seperti ayam goreng, lauk-pauk yang bersantan dan juga juadah pemanis mulut atau kuih-muih yang bergoreng.
Sebagai contoh, satu biji popia goreng mengandungi 130 kalori berbanding satu biji popia basah hanya 90 kalori. Perbezaan sebanyak 40 kalori.
‘‘Jangan terkejut apabila jumlah kalori yang diambil oleh seseorang boleh mencecah hampir 2500 kalori dalam sehari,” katanya.
Sekadar makluman, saranan pengambilan kalori bagi lelaki dewasa (30 hingga 59 tahun) dengan gaya hidup sedentari hanya 2,000 kalori sehari dan wanita (30-59 tahun) hanya 1,700 kalori sehari.
KAWAL KALORI
Justeru, beliau memberitahu, puasa sebulan tidak menjanjikan penurunan berat badan jika tiada kawalan kalori dan pemilihan menu sihat dilakukan dalam kehidupan seharuan.
“Pertambahan berat badan berpunca daripada pengambilan lebihan kalori ini boleh dielakkan dengan mengamalkan kaedah suku-suku separuh, minum air kosong mencukupi, kawalan minuman dan makanan manis dan juga kawalan makanan yang tinggi lemak dan bergoreng,” ujarnya.










