GAYA hidup dan tabiat pemakanan yang tidak sihat menyebabkan kes angin ahmar atau strok jenis iskemik (otak tersumbat) dalam kalangan golongan muda bekerja mencatatkan peningkatan.
Laporan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) pada 2016 mendapati 40 peratus kes kemasukan ke hospital akibat strok melibatkan pesakit berusia 60 tahun ke bawah.
Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Dalaman di SMCV, Dr. Kok Chin Yong berkata, situasi itu membuktikan wujud kepentingan untuk golongan muda mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan sebagai langkah awal menghindari strok.
Pengesanan awal katanya, membolehkan lebih banyak rawatan dapat diberikan kepada pesakit.
“Kajian menunjukkan golongan muda lebih terdedah kepada risiko strok kerana gaya hidup mereka yang tidak aktif, tabiat pemakanan tidak sihat, masa skrin berlebihan dan peningkatan pengambilan minuman beralkohol serta merokok.
“Faktor vaskular seperti penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes di samping persekitaran seperti pencemaran udara juga dikenal pasti sebagai antara punca strok,” katanya.
Strok yang dipanggil serangan otak, antara punca utama menyebabkan kematian dan kecacatan kekal di serata dunia.
Punca lain strok ialah obstructive sleep apnea (OSA) atau keadaan di mana seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur di samping penggunaan dadah terlarang seperti amfetamin dan heroin.
Terdapat faktor risiko lain jarang berlaku, namun masih boleh terjadi dalam kalangan pesakit lebih muda, antaranya ialah sindrom moyamoya atau gangguan serebrovaskular yang disebabkan oleh arteri tersumbat diikuti sindrom antifosfolipid yang menyebabkan pembekuan darah dan masalah jantung abnormal.
Dr. Kok berkata, risiko strok boleh diatasi dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan mengamalkan diet seimbang.
“Tekanan atau stres juga boleh membawa kepada tingkah laku tidak sihat yang memberi kesan kepada sistem imun badan dan menyebabkan keabnormalan dalam darah serta jantung, lalu berisiko mengakibatkan strok,” katanya.
Mengenali simptom strok
Penyakit strok adalah hampir sama bagi pelbagai peringkat umur, justeru Dr. Kok menekankan konsep BE FAST yang bermaksud keseimbangan (balance), visual (eye); muka (facial dropping); lengan atau kaki kebas (arm or leg weakness) dan gangguan pertuturan (speech disturbance).
“Untuk penilaian lanjut,dan tahap serius, doktor akan menggunakan skala strok ditetapkan oleh The National Institutes of Health Stroke Scale (NIHSS)
“Semakin tinggi skor skala strok, semakin seriuslah keadaan pesakit.
“Apabila seseorang individu menyedari terdapat sesuatu yang tidak kena pada tubuh mereka, segera pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Proses pemulihan, rehabilitasi
Pakar Perunding Perubatan Rehabilitasi SMCV, Dr. Foong Chee Choong berkata, proses pemulihan dan jenis rawatan setiap pesakit adalah berbeza.
Ujarnya, doktor perlu menilai keadaan pesakit terlebih dahulu dan seterusnya mencadangkan pelan rawatan bersesuaian dan berkesan dengan keperluan keadaan.
“Usia juga adalah faktor penting dalam pemulihan penyakit strok dengan pesakit lebih muda berpeluang tinggi untuk mendapat hasil rawatan rehabilitasi lebih baik dan pulih dengan cepat,” katanya.
Tambahnya, teknologi rawatan rehabilitasi di negara ini, semakin maju.
Antara pendekatan terkini yang diterima pakai secara meluas sejak sedekad lalu ialah penggunaan mesin exoskeleton dalam meningkatkan keupayaan mobiliti pesakit.
“Peranti EksoNR umpamany, bersifat versatil dan memberi manfaat bukan sahaja kepada pesakit strok tetapi juga penyakit-penyakit lain seperti kecederaan saraf tunjang, lumpuh pada bahagian bawah badan, kecederaan otak traumatic, penggantian sendi, osteoarthritis, penyakit parkinson, cerebral palsi dan lain-lain lagi.
“Dengan bantuan teknologi robotik, tempoh antara satu hingga tiga bulan diambil untuk melihat sebarang peningkatan dalam keupayaan pesakit untuk berjalan,” katanya.










