Baju Tradisi Melayu

Identiti baju Melayu kian terhakis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah menjadi budaya masyarakat Melayu memakai baju kurung dan baju Melayu bagi meraikan ketibaan Syawal.

Namun pakaian tradisi warisan nenek moyang itu yang berusia ribuan tahun semakin hilang ciri-ciri keunikannya apabila diganti dengan potongan moden yang mengikut arus peredaran masa dan zaman.

Sayangnya semakin hari, semakin sukar untuk menemui sepasang baju kurung yang lengkap dengan ciri-ciri seperti tulang belut di bahagian leher baju atau pesak di bahagian kiri dan kanan baju.

Kalau ada pun, harganya amat mahal malah boleh mencecah lebih RM300 ke atas berbanding baju kurung yang dijahit dengan potongan lebih ringkas. Itupun tidak semua tukang jahit sanggup mengambil upah untuk menjahit baju kurung dengan ciri-ciri tradisional ini dengan alasan renyah dan mengambil masa lama untuk menyiapkannya.

Justeru, harga yang semakin tinggi ini menyebabkan ramai memilih baju kurung berciri moden. Lama-kelamaan dibimbangi, ciri-ciri unik baju kurung akan hilang begitu saja ditelan dek zaman.

Bagi pereka terkenal tanahair, Salikin Sidek berkata, baju kurung dengan ciri-ciri tradisional ini masih ada di pasaran tetapi orang ramai perlu tahu di mana untuk mendapatkannya kerana tidak semua kedai menyediakan baju kurung ‘sebenar’.

“Tidak dinafikan baju kurung sudah kembali menjadi kegemaran anak muda kita sebagai pakaian tradisional Melayu tetapi pada masa sama, butiran jahitan seperti tulang belut dan pesak semua itu sudah kurang.

“Promosi perlu diperbanyakkan bagi meningkatkan kesedaran generasi akan datang mengenai ciri-ciri baju kurung Melayu. Sebenarnya ada banyak ciri dan potongan baju kurung yang membuatkan penampilan wanita lebih anggun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baju kurung Riau Pahang rekaan Salikin

Katanya antara yang menarik seperti baju kurung pesak gantung di mana bahagian tepi dijahit dengan kekek di kiri-kanan. Bahagian bawah baju akan kembang dan menyerlahkan kerampingan pemakai.

Tambah beliau lagi, baju kurung lebih menarik dan mengangkat kelembutan wanita menerusi fabrik seperti kain kapas, tenun dan songket.

“Saya sendiri masih menerima tempahan untuk membuat tulang belut dan butiran lain baju kurung mengikut kehendak pelanggan. Permintaan masih ada tetapi semuanya terpulang kepada jati diri masing-masing.

“Mana yang masih cintakan ciri-ciri tradisional, mereka mahu semua ini dikekalkan. Walaupun bertudung, mereka masih ingin baju kurung bertulang belut untuk kepuasan diri. Kalau fikir, tidak perlu lagi leher tulang belut sebab tak nampak bila pakai tudung, itu silap besar,” katanya yang mengakui teknik jahitan tulang belut tidak terlalu sukar seperti yang sering difikirkan orang lain.

Baju kurung berbeza ikut negeri

Pereka pakaian tradisional, Hassan Abd Motalip atau lebih dikenali sebagai Sanee pula berkata, ramai generasi muda sekarang kurang tahu menilai pakaian tradisional kerana kurang memahami budaya sendiri.

“Ramai yang tidak tahu terdapat banyak jenis baju tradisional di negara ini. Setiap negeri ada baju baju tradisional masing-masing. Pakaian tradisional mempunyai ciri-ciri yang unik dari segi falsafah rekaan dan cara pemakaian. Cantik dan segak bila dipakai lelaki mahupun wanita.

“Saya percaya ciri-ciri baju tradisional ini tidak akan hilang. Bagaimanapun usaha perlu dilakukan untuk mengekalkannya. Pereka fesyen muda juga perlu diberi galakkan untuk membuat kajian tentang baju tradisional. Pertandingan rekaan baju tradisional juga perlu diteruskan,”kata pengusaha jenama pakaian pengantin, Sanee Bridal ini.

Beliau yang sudah berkecimpung sebagai pereka fesyen sejak 20 tahun lalu berkata, walapun tidak ramai tetapi masih ada pelanggan tetap yang mahu mengekalkan ciri tradisional seperti tulang belut dan pesak gantung.

Baju Melayu dan Baju Kurung Teluk Belanga rekaan Sanee

Bagaimanapun Sanee mengakui ramai pereka fesyen menjadikan rekaan baju tradisional baju Melayu lelaki dengan suntikan ciri baju moden. Sedikit demi sedikit ciri-ciri baju Melayu seperti baju teluk belanga tidak lagi menggunakan kekek dan pesak.

“Bagi memastikan pakaian tradisional kita tak hilang dek zaman, semua pihak perlu memainkan peranan. Misalnya Platform media sosial boleh digunakan oleh pereka fesyen untuk menyampaikan maklumat berkenaan baju tradisional melalui influencer popular.

“Agensi-agensi yang berkaitan juga boleh menyediakan peluang kepada pereka-pereka muda menerokai industri fesyen tradisional untuk ke peringkat antarabangsa. Pada masa ini, semakin ramai pereka fesyen muda yang mula kembali dengan rekaan baju tradisional,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya