Diabetes punca utama kegagalan buah pinggang

Diabetes punca utama kegagalan buah pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA mempunyai kadar prevalens kegagalan buah pinggang tertinggi di dunia berpunca daripada diabetes.

Laporan Daftar Dialisis dan Pemindahan Malaysia pada 2018 mendapati sebanyak 69.2 peratus pesakit buah pinggang peringkat akhir adalah disebabkan oleh penyakit buah pinggang diabetik (DKD).

Apa yang membimbangkan, semakin tinggi tahap diabetes seseorang, semakin tinggi peluang mereka untuk menghidap DKD atau diabetic nephropathy.

DKD berlaku apabila buah pinggang mengalami masalah menapis sisa buangan daripada darah yang kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk air kencing.

Jika tidak dirawat, buah pinggang pesakit akan gagal dan tidak boleh berfungsi sekali gus menuntut prosedur pemindahan atau dialisis.

Pengesanan awal, pencegahan dan rawatan adalah kunci utama namun, kebanyakan penghidap diabetes atau pra-diabetes masih beranggapan mereka sihat kerana tiada gejala.

Itulah pentingnya untuk pesakit melakukan pemeriksaan berkala kerana saringan merupakan cara terbaik dalam mencegah diabetes dan komplikasinya.

PEMBUNUH SENYAP
Diabetes mengambil masa bertahun-tahun untuk merosakkan buah pinggang pesakit dengan gejala DKD hanya akan lebih jelas apabila penyakit sudah berada di tahap serius.

Kerana itulah diabetes dan penyakit buah pinggang digelar sebagai pembunuh senyap tanpa gejala terutama pada peringkat awal.

Masalah timbul apabila diabetes tidak didiagnosis atau terkawal, bahkan ramai tidak menyedari mereka sudah lama menghidap kencing manis jenis dua.

Antara gejala penyakit buah pinggang yang berpunca daripada diabetes adalah pertambahan berat badan, kaki bengkak, loya atau muntah, air kencing berbuih, lesu, nafas berbau air kencing, gatal-gatal, kurang selera makan di samping penglihatan kabur.

AMAL GAYA HIDUP SIHAT
Kaedah terbaik melambatkan atau mencegah komplikasi buah pinggang berkaitan diabetes adalah dengan sentiasa mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat.

Pakar pemakanan klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Poh Kai Ling berkata, seseorang perlu menjalani gaya hidup sihat terutama menerusi pemakanan.

Katanya, pesakit perlu patuh kepada amalan pemakanan sihat iaitu suku-suku separuh yang merupakan panduan terbaik walaupun sering kali dianggap remeh oleh kebanyakan pihak.

“Amalkan makanan seimbang dan kawal bahagian mengikut konsep pinggan sihat Malaysia.

“Anda boleh mengambil karbohidrat tetapi dalam jumlah sederhana mengikut kesesuaian di samping mengurangkan garam atau natrium bagi membantu menurunkan tekanan darah sekali gus menurunkan pengumpulan cecair dalam badan,” katanya.


RAWATAN, SARINGAN PERCUMA
Pakar penjagaan kesihatan menyarankan pesakit diabetes tanpa gejala untuk menjalani saringan penyakit buah pinggang dan jantung menerusi ujian air kencing.

Saringan perlu dilakukan pada hari sama seseorang itu didiagnosis menghidap diabetes jenis dua di samping lima tahun selepas bermulanya diabetes jenis satu.

Bagi pesakit diabetes yang sudah menghidap penyakit buah pinggang atau jantung, strateginya adalah untuk mengurangkan kesan penyakit daripada menjadi lebih teruk dan saringan bukan lagi menjadi keutamaan.

Selaras inisiatif For Your Sweetheart, semua rakyat Malaysia diseru menjaga kesihatan diri dan orang tersayang dengan pemeriksaan diabetes HbA1c secara percuma di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya