Basah Tekak 2.0 hidupkan semula lorong sunyi

Basah Tekak 2.0 hidupkan semula lorong sunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKUMPULAN usahawan muda di Sungai Petani, Kedah mengambil inisiatif menghidupkan semula lorong terbiar dengan menjadikannya tapak niaga berkonsepkan hipster dikenali sebagai Basah Tekak 2.0 di Jalan Patani, Taman Pekan Baru.

Kumpulan anak muda itu diterajui oleh Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, 39; Muhammad Danial Halis, 33 dan Muhammad Aiman Mohd. Tajudin, 25, dengan dianggotai oleh kira-kira 40 usahawan lain.

Ainol Zulkarnain yang juga pemilik restoran Biggy The Ahli Kopi berkata, idea untuk mengubah pemandangan lorong terbiar di sebelah restorannya itu tercetus pada Ramadan tahun lalu.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan hingga mendorongnya bersama dua lagi rakan membangunkan lorong sepanjang 150 meter itu sebagai tapak niaga dan tempat tarikan ramai.

“Nama bazar Basah Tekak itu lahir secara spontan yang bermaksud menghilangkan dahaga kerana saya tengok pada peringkat awal banyak gerai yang menjual minuman dan kopi di sini.

“Sehingga kini, bazar ini mempunyai 16 penyewa tapak yang terdiri daripada minuman, makanan, aksesori wanita, pakaian, bunga segar dan biskut ,” katanya baru-baru ini.

Menurut Ainol Zulkarnain, lorong berkenaan kini lebih ceria dan menarik selepas diindahkan dengan lukisan mural bertemakan suasana kampung, hasil kolaborasi dengan jenama fesyen tempatan bernilai RM20,000.

Katanya, konsep dekorasi itu turut mendapat maklum balas positif daripada pengunjung terutamanya golongan muda, malah menjadi lokasi swafoto pengunjung.

Ujarnya, Basah Tekak 2.0 turut mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) untuk bazar beroperasi di lorong berkenaan.

Mengenai perancangan masa depan, usahawan muda itu berhasrat menambah baik kemudahan di lorong tersebut dan menjadikannya sebagai lokasi tumpuan pelancong di Sungai Petani.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.