Mesin pengasing pulpa mudahkan pengendalian buah dabai - Utusan Malaysia

Mesin pengasing pulpa mudahkan pengendalian buah dabai

Rosnah (dua dari kiri) bersama pelajar pascasiswazah menunjukkan mesin pengasing pulpa yang dihasilkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buah dabai atau nama sainstifiknya Canarium odontophyllum adalah buah yang banyak terdapat di kepulauan Borneo seperti Sarawak, Sabah, Brunei, Kalimantan, Palawan dan Sumatra.

Turut dikenali sebagai Zaitun Sarawak, buah berkenaan mempunyai dua kali musim dalam setahun iaitu antara bulan Mei hingga Jun dan Disember hingga Januari.

Kawasan yang banyak terdapat buah dabai ialah di daerah Sibu, Sarikei, Kapit dan Limbang. Nama varieti setiap dabai adalah mengikut nama tempat di mana buah dabai dipetik. Di antara varieti yang popular seperti Dabai Song, Ngemah, Sarikei dan sebagainya.

Tetapi superior clone adalah Dabai Lulong dan Dabai Laja.

Bezanya adalah Laja berbentuk segi tiga dengan sisi cekung manakala Lulong lebih bulat atau cembung sisinya.

Bagaimanapun, pengurusan dabai agak remeh dan memakan masa.

Bagi mendapatkan isi dabai, ia perlu direndam dalam air panas dalam suhu 50 hingga 60 darjah celcius dan bukan air panas didih.

Kemudian, dibiarkan sehingga isinya lembut dalam tempoh antara 10 hingga 20 minit.

Setelah lembut barulah dabai boleh dimakan atau dimasukkan ke dalam masakan.

Peka dengan permasalahan itu, penyelidik Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Rosnah Shamsudin, membangunkan mesin pengasing pulpa bagi memudahkan kerja-kerja pengasingan isi dilakukan, dinamakan Mesin Pengasing Pulpa.

“Mesin ini direka khas untuk mengasingkan pulpa atau isi buah dari bijinya.

“Mesin ini di rekabentuk supaya mudah alih, mudah dibersihkan, mempercepatkan proses pengasingan pulpa, menjimatkan masa dan tenaga serta mudah diselenggarakan.

“Proses pengasingan secara manual biasanya mengambil masa yang agak lama dan renyah kerana perlu dibuat satu persatu.

“Saiz buahnya yang kecil di antara tiga hingga empat sentimeter (cm) panjang dan dua hingga tiga cm lebar, menambah lagi cabarannya,” katanya.

Proses mudah

Daripada segi penggunaan, jelas Rosnah, buah dabai segar dimasukkan dalam drum berbentuk sangkar berjaring dengan muatan dabai separuh dari saiz drum.

Suis dihidupkan dan laraskan kelajuan drum mengikut kesesuaian operator yang mengendalikan mesin.

Di dalam drum disediakan bilah pengacau yang bertindak seperti pisau untuk menghiris pulpa dabai semasa proses drum berpusing.

“Arah pusingan drum dan bilah pengacau boleh diubahsuai arah putaran sama ada dua-duanya berpusing pada arah yang sama atau berlawanan.

“Terpulang kepada operator yang mengendalikan untuk memastikan pulpa telah terasing sepenuhnya dari biji dabai.

“Pulpa dabai yang telah terasing akan berkumpul dalam dulang yang terdapat pada bawah drum manakala biji dabai akan tertinggal di dalam drum,” jelasnya.

Sedia dikomersil

Tambah Rosnah, inovasi yang dimulakan sejak tahun 2019 itu sudah pun bersedia untuk dikomersialkan.

Ia selaras dengan perkembangan industri dabai yang telah mula berkembang dengan menghasilkan pelbagai produk seperti pes, sos, nasi goreng dabai, keropok, pelbagai kek dan biskut, mayonis dan pelbagai produk hiliran lain.

Mengenai kepentingan pembangunan inovasi sedemikian katanya, sektor pertanian semakin berkembang untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap makanan kerana jumlah penduduk yang semakin bertambah.

“Dalam konteks ini, Malaysia yang mempunyai ekonomi berasaskan pertanian, menyumbang dengan ketara kepada penjanaan produk daripada proses pengeluaran.

“Dengan adanya teknologi yang mempercepatkan proses pengasingan pulpa dan mengurangkan penggunaan tenaga kerja yang ramai, ia dapat menjimatkan kos dan masa. Malah produk dihasilkan juga lebih bersih,” ujarnya.

Selain buah dabai, mesin berkenaan turut boleh diaplikasikan dalam pengurusan buah-buahan berbiji lain seperti durian.

“Teknologi ini dapat diterapkan di seluruh dunia terutamanya di negara-negara yang menghasilkan atau pengeluar buah dabai, yang banyak terdapat di kepulauan Borneo seperti Sarawak, Sabah, Brunei, Kalimantan, Palawan dan Sumatra.

“Teknologi ini juga berpotensi untuk diterapkan kepada penanam, penjual serta pengusaha industi kecil dan sederhana yang mana mereka memerlukan teknologi ini untuk menguruskan hasil dabai dan buah berbiji yang lain,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.