Afdlin Shauki sasar filem untuk Oscar - Utusan Malaysia

Afdlin Shauki sasar filem untuk Oscar

AFDLIN SHAUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENERBIT, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, 51, meletakkan impian tinggi untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Sejak tiga tahun lalu, dia hadir dengan idea dan buah fikir tentang filem kenegaraan berjudul Angel of Sandakan.

Projek penerbitan filem itu, katanya, sudah dirancang bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Malah, segala kajian, penulisan skrip dan treler animasi sudah dihasilkan sehingga mendapat respons positif sutradara di Hollywood.

“Saya difahamkan naskhah itu tiada masalah dan mendapat respons positif Ahli Lembaga Pengarah Finas sebab ia adalah cerita penting tentang sejarah yang berlaku di Malaysia,” katanya.

Menurut Afdlin, pengarah yang pernah menghasilkan filem Die Hard dan memenangi beberapa Anugerah Oscar berminat dengan naskhah itu kerana berkait rapat dengan tentera Austalia yang diseksa Jepun.

“Banyak persiapan sudah dibuat sebab jika membabitkan pengarah yang pernah menang Oscar, tentu orang akan ambil perhatian untuk menonton filem itu.

“Saya harap agar dapat terus berkarya dan tiada halangan menghasilkan filem selepas ini,” ujarnya.

Tentang barisan pelakon, kongsi Afdlin, dia belum sampai ke tahap itu kerana perlu memastikan pelakon Hollywood yang sudi menjayakan naskhah kenegaraan yang melibatkan kerjasama dua negara.

“Ia melibatkan pelakon Australia dan Malaysia, malah kita akan mengadakan pemilihan pelakon secara besar-besaran,” katanya.

Bagaimanapun, Afdlin terkilan apabila usaha dan kesungguhannya terbantut gara-gara namanya didakwa disenarai hitam Finas selepas membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 31 Mac 2021.

Sedangkan, kata Afdlin, matlamatnya adalah membawa naskhah itu ke Oscar dengan menggabungkan kepakaran tenaga kerja tempatan dan Hollywood supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa.

“Projek itu tidak dapat diteruskan kerana tidak mendapat kelulusan dana. Jadi, ia agak merugikan sebab sepatutnya projek ini sudah boleh dilaksanakan,” katanya.

Filem yang berlatarkan Sandakan, Sabah diangkat daripada kisah sejarah mengenai kem penderaan terbesar di Asia Tenggara ketika tentera Jepun mendera askar British dan Australia.

Kemuncak cerita ini apabila mangsa dipaksa berjalan kaki sejauh 200 kilometer ke kaki Gunung Kinabalu di Ranau. Ketika perjalanan, seorang demi seorang tentera dibunuh sebagai usaha menutup kes penyeksaan di kem tersebut.

Daripada 2,500 anggota tentera, hanya enam yang masih hidup selepas dibantu penduduk tempatan.

USAHA TERBANTUT

Sekalipun naskhah tersebut tertangguh hampir tiga tahun, tidak pernah terbit erti penyesalan menyertai parti politik kerana baginya, tindakan itu selari dengan hak kebebasan setiap rakyat di negara ini.

Pengarah filem Papadom itu berkata, sebagai penggiat seni, dia tidak pernah mencampur adukkan fahaman politik dengan kerja seninya.

“Dari segi karya seni, tiada inti pati yang menentang kerajaan. Kita buat kerja seni dengan objektif utama adalah untuk menaikkan nama negara,” katanya.

Afdlin berkata, perjuangannya akan tetap diteruskan. Apatah lagi, dia bukan pembikin filem baharu, malah sudah ada rekod meraih pengiktirafan baik di dalam mahupun di luar negara.

“Saya datang bukan dengan tangan kosong, sebaliknya sudah ada resume yang cukup kuat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×