Pernah dibuli, Ikon Belia OKU takut jadi cikgu - Utusan Malaysia

Pernah dibuli, Ikon Belia OKU takut jadi cikgu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA kerana penglihatannya terhad tidak seperti insan normal lain, Ikon Belia Orang Kurang Upaya (OKU) 2022, Nazrul Muhamin Abdul Aziz, 31, terpaksa berdepan dengan ejekan dan penghinaan daripada rakan-rakan di sekolah.

Mengimbau kejadian tersebut, katanya, situasi itu berlaku dari tadika hingga tamat Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar di Johor.

Pengalaman buruk menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan menyebabkan lulusan Sarjana Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini mengelak daripada menjadi guru.

Nazrul Muhamin yang hilang mata kanan akibat kanser ketika berusia dua tahun mengakui, gentar untuk kembali ke sekolah kerana igauan lalu.

Katanya, kerjaya sebagai guru tiada dalam senarai cita-cita, sebaliknya mengidamkan bergelar pensyarah kerana dikelilingi anak didik yang sudah dewasa, matang dan bebas daripada kes buli.

Namun, ketentuan takdir membawanya kembali semula ke sekolah apabila ditawarkan jawatan sebagai guru bahasa Melayu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong di Sarawak sejak 2019 hingga kini.

Lebih membanggakan apabila Nazrul Muhamin turut meraih lapan anugerah sepanjang berkhidmat di sekolah itu dan terbaharu, Anugerah Cakna Budiman MRSM SeMalaysia dan Guru Harapan, Jabatan Bahasa 2023.

Anugerah lain ialah Kualiti Bulanan MRSM Betong, Guru Homeroom Terbilang dan Homeroom Terbilang pada 2022 diikuti Homeroom Berdedikasi, Homeroom Cemerlang Akademik dan Merit Ketiga Tertinggi, masing-masing pada 2021.

“Selepas tamat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu Komunikasi Profesional di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2016, saya masih menganggap keadaan di sekolah sangat menakutkan gara-gara pernah dibuli.

“Tetapi, perancangan Allah SWT besar, tawaran ke MRSM Betong ada hikmahnya untuk memberanikan saya ke sekolah dan mengatasi ketakutan yang dipendam selama ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis penutup Karnival OKU 2023 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) di UKM, Bangi, baru-baru ini.

Karnival dirasmikan Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang @ Semail dan yang hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UKM, Prof. Madya Dr. Mohd. Suzuren Md. Jamil.

Pada majlis itu, Nazrul Muhamin turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mahasiswa OKU Harapan.

Stigma berubah

Menurut Nazrul Muhamin, sepanjang menjadi pendidik di MRSM Betong, stigmanya terhadap institusi sekolah, berubah.

Malah, penuntut ijazah Doktor Falsafah (PhD) Linguistik, UKM itu terkejut dengan penerimaan baik dan positif warga sekolah di sebalik kekurangan dirinya.

“Kelas pertama saya ialah mengajar Tingkatan Tiga dan ketika melangkah masuk, semua pelajar terdiam. Saya faham mereka mungkin pelik dengan fizikal saya yang tidak seperti orang normal.

“Tetapi, saya bersyukur kerana tidak pernah menerima ejekan buruk hingga kini, bahkan pelajar sangat sopan dalam tutur kata. Ini membuktikan yang warga sekolah menerima kehadiran saya dengan hati terbuka,” katanya.

Nazrul Muhamin berkata, kebanyakan OKU mempunyai sifat rendah diri yang tebal kerana fizikal tidak sempurna, tetapi kekurangan itu bukan alasan untuk gagal dalam hidup.

Katanya, prinsip tersebut menjadi pegangannya kerana percaya, pencapaian akademik mampu memberi nilai tambah buat golongan sepertinya untuk terus berjaya.

Malah, guru berasal dari Selayang ini turut menepis yang OKU bukan sekadar menagih dan menunggu bantuan daripada kerajaan.

“Saya mahu buktikan yang OKU juga mampu menghulurkan bantuan kepada orang lain yang memerlukan.

“Saya harap golongan seperti saya tidak putus asa dan perlu terus maju untuk mengembangkan akademik serta kejayaan kita, sekali gus dapat berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN