Pelajar IPT ikat perut, makan satu lauk tanpa sayur - Utusan Malaysia

Pelajar IPT ikat perut, makan satu lauk tanpa sayur

Universiti Putra Malaysia mengorak langkah melancarkan Menu Kasih RM3.50 sejak 8 Julai, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IKAT perut atau menikmati mi segera sebagai menu utama sudah menjadi lumrah bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai langkah penjimatan.

Ada kalanya, jika dapat membeli nasi sekalipun, mereka hanya memilih satu lauk tanpa sayur-sayuran atau hidangan lain demi memastikan perbelanjaan cukup.

Sedangkan golongan berkenaan sepatutnya menikmati menu seimbang dan jadual pemakanan yang konsisten untuk kecemerlangan pendidikan mereka.

Itulah realiti dihadapi kebanyakan penuntut berikutan terbeban dengan harga makanan yang mahal di kampus.

Pelajar tahun dua, jurusan Pendidikan (Pendidikan Khas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Aimi Afiqah Ibrahim, 24, berkata, mereka terpaksa bergelut dengan keadaan itu kerana harga makanan yang tidak selaras di kafe kampus.

Walaupun ada premis yang menawarkan harga berpatutan, ada juga yang mahal apabila mengenakan harga RM5 untuk seketul ayam goreng tanpa nasi dan sayur.

“Biasanya, saya dan kawan-kawan hanya makan sekali sehari pada waktu tengah hari, itupun cuma ambil satu lauk bersama nasi yang harganya antara RM6 dan RM7. Jarang sekali dapat beli menu seimbang.

“Ramai juga kawan yang memasak di bilik untuk jimatkan duit dengan menggoreng telur dan makan bersama kicap selain mi segera,” katanya mengulas mengenai isu pelajar ikat perut.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini menyatakan, Menu Rahmah berharga bawah RM5 akan dilaksanakan di semua IPT di negara ini dalam masa terdekat.

Ketua Eksekutif Penerangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Asfa Irfan Mohamed Razi, 23, berkata, pemerhatiannya mendapati harga makanan di kampus kini meningkat antara RM1 hingga RM2.

Jika sebelum ini ada menu berharga antara RM3.50 dan RM4, namun kini jumlahnya boleh melonjak mencecah RM6 hingga RM7.

“Saya menyarankan inisiatif Menu Rahmah di IPT perlu mengambil kira beberapa prosedur operasi standard (SOP) agar harga murah itu kekal relevan sepanjang masa,” katanya.
UPM kekalkan Menu Kasih RM3.50

Bagi meringankan bebanan pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini mengorak langkah melancarkan Menu Kasih RM3.50 sejak 8 Julai, tahun lalu.

Timbalan Naib Canselornya (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, inisiatif menyediakan harga makanan berpatutan itu sangat membantu golongan sasar, terutama B40 selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Hasil pemantauan staf Hal Ehwal Pelajar dan Alumni secara berkala, pengusaha makanan UPM sentiasa memastikan Menu Kasih ini disediakan.

“Malah ada di antaranya yang menjual serendah RM3, termasuk turut memberi pelajar mengambil makanan yang nilainya lebih daripada harga siling RM3.50 sebagai ehsan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN