Norjuma bina muzium, hasilkan koleksi tudung raya - Utusan Malaysia

Norjuma bina muzium, hasilkan koleksi tudung raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik pelbagai khabar angin yang melanda dirinya beberapa tahun kebelakangan ini, wanita ini tiba-tiba muncul kembali dengan pelbagai perancangan dalam perniagaan.

Tampil dengan gaun bertingkat yang ringkas bercorak bunga kecil dan tudung bawal putih, Datin Che Puan Muda Norjuma Habib Mohamed, mengumumkan bakal membina Muzium Skaf di Bukit Jelutong, Shah Alam. Muzium berkenaan dijangka siap akhir tahun ini.

“Muzium ini membolehkan pengunjung menikmati rekaan yang pernah dihasilkan di bawah jenama Aidijuma dan Bawal sejak 13 tahun lalu. Buat masa ini, saya sudah mengumpul koleksi skaf dan menghubungi sendiri mereka yang ada menyimpannya.

“Setakat ini, saya sudah mendapatkan semula skaf lama dan ada yang dijual semula kepada saya pada harga lebih RM1,000. Jadi, siapa yang ada simpan skaf jenama Aidijuma atau Bawal, boleh beri pada saya untuk dipamerkan di muzium itu nanti,” katanya.

Katanya, muzium itu juga bakal menempatkan galeri jualan cenderamata di mana pengunjung boleh membeli koleksi tudung terbaharu. Selain itu, elemen alam semula jadi disuntik dengan tanaman pokok buah-buahan.

KOLEKSI AIDILFITRI

Norjuma turut memberikan bayangan bakal mengeluarkan koleksi skaf dan tudung bawal khas untuk Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.

“Skaf dan tudung bawal kali ini bakal menampilkan tema Black Pearl, White Pearl dan cetakan diamond. Majlis pelancaran akan diadakan tidak lama lagi untuk mengetengahkan koleksi baharu ini nanti. Buat masa ini, itu saja yang boleh saya dedahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra yang dianjurkan khusus untuk pereka dan top seller Aidijuma dan Bawal bersama media di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut serta pasukan kerja yang datang dari Brunei dan Kota Bharu, Kelantan.

Norjuma berkata, majlis itu diadakan sebagai tanda terima kasih kepada pereka dan top seller yang banyak memainkan peranan dalam mengetengahkan jenama tudungnya. Selain itu, media juga banyak membantu menaikkan jenamanya.

“Saya tidak sendirian membangunkan syarikat selama 13 tahun. Tanpa mereka, tidak mungkin saya boleh bangunkan syarikat selama ini. Sebelum ini, saya ada 500 pekerja. Jadi, saya tidak pernah kerja seorang. Apa yang saya buat adalah membangunkan jenama Bawal Scarf.

“Saya cipta rekaannya tetapi proses keseluruhan dibuat bersama kakitangan yang lain. Jadi, majlis kali ini bagi menyegarkan semula hubungan antara saya, pekerja dan media. Saya hendak ingatkan, saya bukan artis atau model, sebaliknya eksekutif perniagaan di mana saya ada pereka skaf dan kehidupan peribadi seperti keluarga dan anak,” katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada top seller sebagai menghargai jasa mereka memasarkan Aidijuma dan Bawal sehingga terjual dengan banyak.

MALAS BERMEDIA SOSIAL

Norjuma mengakui, acara bersemuka lebih disenanginya berbanding berhubung melalui media sosial. Baginya, sesi ‘mengopi’ seperti itu lebih menimbulkan kemesraan dan dapat mengelakkan berlaku salah faham.

“Sejujurnya, Aidijuma tidak ada dalam media sosial. Tetapi, yang ada adalah media berbayar. Secara asasnya, tiada media untuk jenama sendiri. Saya juga tidak berkongsi hal peribadi di media sosial seperti makan di mana, keluar ke mana atau dengan siapa. Bagi saya, media sosial memerlukan bakat dan kesabaran. Saya malas nak bermedia sosial.

“Ini disebabkan bila saya tengok komen, kalau salah ejaan, saya akan betulkan. Akhirnya, saya yang stress. Bagi saya, kalau media mesti bahasa rasmi, ayat tersusun dan tepat. Semua kakitangan yang terbabit dengan media tahu, saya ada ‘penyakit’ betulkan ejaan,” katanya.

‘Sepanjang PKP, duduk rumah baca buku’

“Orang tanya ke mana saya menghilang. Saya tak hilang. Cuma, duduk di rumah pada musim PKP lalu. Saya menikmati saat duduk di rumah. Saya baca buku yang bagi orang lain pelik seperti buku Perlembagaan Persekutuan dan tanda dagangan dan hak cipta,” ujar beliau bila ditanya ke mana menghilang selama ini.

Ujarnya, membaca memberi ruang untuk dia mengenal diri dan berfikir yang dianggapnya sebagai lambang kemerdekaan diri.

“Saya baca mengenai harta intelek dan hak cipta bagi menambah pengetahuan serta melindungi tudung rekaan saya daripada dicetak rompak. Bagi saya, tahap kesedaran mengenai harta intelek dan hak cipta masih rendah. Itu sebabnya tudung saya semua memiliki hak cipta.

“Dahulu, tudung rekaan saya seperti Bawal Border dan Bawal Blossom pernah dicetak rompak. Langkah lebih baik akan diambil selepas ini bagi melindungi hak cipta tudung keluaran kami. Ini bagi membendung mereka yang sesuka hati mencetak rompak hasil rekaan orang lain tanpa rasa bersalah,” katanya.

Ibu kepada tiga anak lelaki yang mencecah usia remaja iaitu 17, 15 dan 13 tahun ini, berkata beliau juga gemar berkebun bagi mengisi masa lapang.

Justeru, semua tetamu yang hadir dihadiahkan sepasu pokok seperti lavender, thyme dan daun sup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×