Keindahan aksi dalam sukan golf - Utusan Malaysia

Keindahan aksi dalam sukan golf

Pemain pro LPGA ini melakukan pukulan dalam bunker. Gambar ini antara pilihan kegemaran jurufoto.

Sukan golf tidak dianggap sebagai sukan dinamik untuk mengambil gambar, kerana pergerakannya tidak pantas dan terdapat peraturan yang sangat ketat untuk merakam kejohanan golf peringkat antarabangsa.

Kejohanan golf PGA dan LPGA selalunya dihoskan di padang golf yang paling indah. Penggunaan lensa sudut luas iaitu 16-35mm adalah satu kemestian untuk mendapatkan segala-galanya dalam perspektif – putting green dan landskap.

Tiger Woods melakukan pukulan di tee box sambil dikerumuni penonton memberi impak yang kuat pada gambar ini.

Apabila merakam acara golf profesional, anda memerlukan sekurang-kurangnya dua badan kamera. Saya mengesyorkan lensa super-telefoto seperti 400mm atau 500mm. Untuk badan kamera kedua, kebiasaannya saya menggunakan lensa 70-200mm atau 16-35mm.

Memandangkan kejohanan golf diadakan di luar, sentiasa membuat persiapan penutup hujan untuk kamera dan lensa.

Sentiasa berpakaian yang menyerap peluh dan kasut yang tidak boleh dimasuki air.

Tidak kira sukan apa yang anda rakam, sentiasa dapatkan gambar yang pegun dan tajam ketika pemain sedang beraksi. Hayunan pemain golf profesional dalam Jelajah PGA purata kelajuan sekitar 150-170 KPH.

Gambar ini mempunyai elemen double image atau bayangan. Warna terang pada latar belakang ‘menaikkan’ lagi gambar ini.

Saya biasanya menetapkan kelajuan pengatup kepada 1/2000 sehingga 1/4000 saat, supaya boleh menghentikan tindakan hayunan kayu golf dan bola, tetapi ia juga bergantung kepada keadaan cuaca. Dengan bukaan f/2.8 pada lensa ia dapat menghasilkan bokeh cantik kepada pemain golf.

Kebanyakan orang tidak mempunyai peluang mengambil gambar PGA dan LPGA, kerana keperluan akreditasi, tetapi anda masih boleh mengambil gambar kelab golf tempatan dan kejohanan amatur.

Golf ialah sukan yang menyeronokkan untuk dirakam kerana anda boleh menyaksikan momen, persekitaran yang indah dan sudut yang artistik. Komposisi, kelajuan pengatup dan masa adalah yang paling penting dalam mengambil gambar golf.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN