Belagu II serlah nilai eksklusif lagu Melayu klasik - Utusan Malaysia

Belagu II serlah nilai eksklusif lagu Melayu klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI bersuara emas, Dayang Nurfaizah menamatkan kerinduan pencinta lagu Melayu klasik dan asli dengan kemunculan album terbaharu, Belagu II.

Seperti Belagu yang diterbitkan tahun lalu, album terbaharunya ini tampil dengan keistimewaan tersendiri menerusi lapan lagu yang dimuatkan.

Menerusi album itu, Dayang meyakinkan pendengar terhadap keutuhan nilai keindahan lagu Melayu klasik yang tidak pernah pudar ditelan zaman.

Untuk Belagu II, kehalusan seni vokal penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak tersebut diperindahkan lagi dengan sentuhan magis maestro tersohor, Aubrey Suwito.

Album itu juga menyimpan makna tersendiri buat Dayang apabila dapat bekerjasama dengan barisan pemuzik, Budapest Scoring Orchestra dari Budapest, Hungary.

Kolaborasi itu katanya, bukan bermakna dia menidakkan kualiti pemuzik tempatan, sebaliknya hanya mahukan kelainan dan menyuntik nilai eksklusif dalam album berkenaan.

“Kami sudah memikirkan mengenai pemilihan pemuzik orkestra tempatan, tetapi keadaan ketika itu tidak mengizinkan.

“Apabila peluang bekerjasama dengan pemuzik orkestra Budapest datang, kenapa tidak kita beri kelainan dengan menggunakan kepakaran antarabangsa?

“Sekali sekala, dapat saya merantau melihat keindahan negara orang dan kutip pengalaman di sana,” kata Dayang pada majlis pelancaran Belagu II, baru-baru ini.

Kata Dayang lagi, pengalaman terbang ke Budapest dan melihat dengan mata sendiri apresiasi orang luar terhadap muzik tradisional Malaysia menjadi kenangan terlalu istimewa yang tidak dapat dilupakannya.

“Sebagai anak tempatan, saya sangat bangga apabila melihat orang luar terhibur dan menghargai muzik tradisi kita. Mereka turut memuji keindahan seni baju kurung moden dan kebaya yang saya gayakan sepanjang dua hari berada di sana. Apabila dikenang semula, saya bersyukur kerana diberi peluang itu,” kongsinya.

Enggan menyimpan sendiri pengalaman berharga tersebut, Dayang terpanggil untuk berkongsi momen istimewa tersebut bersama peminat menerusi platform media sosial.

“Beberapa momen telah kami rakamkan dan akan dipersembahkan dalam bentuk video untuk empat lagu yang terkandung dalam album ini.

“Selagi boleh, saya juga akan kongsikan segala momen di sana dengan peminat di Instagram,” katanya.

Berkongsi lanjut, jelas Dayang, kebanyakan lagu yang dimuatkan pernah dipopularkan penyanyi legenda seperti Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan ramai lagi.

Katanya, pemilihan lagu yang dibuat bersama Aubrey itu berdasarkan kesesuaian dengan keupayaan vokalnya, selain susunan lagu.

“Peluang seperti ini hanya datang sekali. Inilah ruang untuk saya memperkenalkan semula lagu-lagu Melayu klasik kepada generasi baharu.

“Pemilihan lagu adalah proses yang paling sukar kerana saya perlu pilih sentuhan yang sinonim dengan masyarakat kita.

“Saya bersyukur apabila sekali lagi mendapat kepercayaan besar ini kerana tidak tahu sama ada peluang itu akan datang lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Dayang juga bersyukur apabila sekali lagi mendapat kepercayaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) untuk penerbitan album tersebut.

Meskipun perlu menambah sejumlah wang untuk menampung kos pembikinannya, Dayang berpuas hati dan menganggap album tersebut sebagai projek paling istimewa.

“Saya berharap pendengar seronok dan dapat menikmati keindahan album ini dengan sebaiknya. Mudah-mudahan, ia menjadi rujukan kepada generasi akan datang tentang kekayaan muzik asli dan tradisional yang kita miliki.

“Diharapkan generasi muda dapat menghargai dan tidak melupakan lagu-lagu yang menjadi identiti saya dan semua rakyat Malaysia.

“Saya gembira kalau album ini dihargai pendengar. Sekurang-kurangnya, album ini mendedahkan pendengar kepada penyanyi asal lagu-lagu ini. Jika itu berlaku, tercapailah matlamat saya untuk album ini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN