Tuduhan dibela sugar daddy lukakan hati Daiyan - Utusan Malaysia

Tuduhan dibela sugar daddy lukakan hati Daiyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERJAYA pada usia muda, pelakon Daiyan Trisha pastinya mampu tersenyum apabila dapat memiliki aset yang menjadi kebanggaannya.

Hasil kerja keras dan usahanya sebagai pelakon, penyanyi dan pempengaruh media sosial selama ini terbalas. Daiyan, 29, kini menjadi inspirasi gadis muda yang ingin melakar pencapaian sepertinya.

Namun, tidak semua senang melihat kejayaan gadis cantik ini. Selepas berkongsi kegembiraan memiliki kediaman sendiri, tahun lalu, Daiyan terpaksa menelan pelbagai tuduhan pedih, termasuk dakwaan hidupnya mewah kerana ditaja lelaki kaya.

Bertemu pelakon filem Busker dan Girlfriend Kontrak itu, baru-baru ini, Daiyan berkongsi luahan hati yang kesal dengan tuduhan dilemparkan.

“Saya terkilan. Mereka yang mengenali tahu betapa kuat saya bekerja untuk memiliki apa yang saya ada hari ini. Tuduhan itu terlalu berat dan melukakan hati.

“Mengapa apabila wanita muda memiliki harta sendiri selalu menjadi mangsa dan dituduh dibela sugar daddy?. Tetapi, perkara itu tidak berlaku kepada lelaki yang berjaya. Saya tidak faham kenapa wanita selalu menjadi mangsa.

“Hanya peminat dan mereka yang kenal serta rapat dengan saya tahu saya bagaimana. Buat mereka yang sentiasa menyokong, saya sangat berterima kasih,” katanya.

Daiyan berkata, segala yang dimilikinya itu tidak datang bergolek. Ia adalah hasil kerja keras dan usaha yang tidak pernah sesekali diceritakan kepada umum.

“Mereka tidak nampak, di sebalik semua pencapaian ini, banyak pengorbanan yang saya lalui. Mereka hanya melihat hasilnya, tetapi tidak kesukaran yang saya harungi.

“Disebabkan itu, saya sangat terkilan apabila ada yang tuduh saya hidup selesa kerana ditaja.

“Saya ikhlas bekerja untuk membahagiakan keluarga. Apa yang saya ada ini adalah berkat doa ibu dan bapa.

“Bagi mereka yang memandang positif dan menjadikan saya sebagai inspirasi, saya doakan mereka juga beroleh kejayaan,” tambahnya.

Cari lelaki setia

Disoal tentang perkahwinan, Daiyan mengakui, itu antara perkara yang turut menjadi impiannya.

Katanya, dia tidak memilih, malah terbuka untuk menjalin hubungan serius apabila tiba masa yang sesuai.

“Saya memang mahu berkahwin, insya-Allah dalam dua atau tiga tahun lagi.

“Setakat ini, belum ada calon. Saya tidak tahu kenapa, sedangkan pintu hati saya terbuka untuk berkenalan.

“Mungkin saya terlalu sibuk bekerja dan memberikan sepenuh fokus untuk membina karier.

“Kalau ada rezeki, saya akan kahwin,” jelasnya.

Disoal tentang lelaki pilihan, Daiyan berkata, dia mengharapkan dipertermukan dengan jejaka sederhana.

“Saya mahukan lelaki yang ikhlas dan memahami diri. Dua perkara itu akan membawa kebahagiaan.

“Paling penting, hati kena baik, setia dan boleh mem­bimbing saya menjadi wanita solehah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN