Nadira tukar masalah jadi pendapatan

Nadira tukar masalah jadi pendapatan

Nadira bersama sebahagian daripada pengasuh Kiddocare.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kami adalah ‘Grab’ untuk pengasuh kanak-kanak.” Itu kata Nadira Yusoff menggambarkan Kiddocare platform mudah alih penjagaan anak pertama di Malaysia yang dibangunkan pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare ini berkata, platform mudah alih penjagaan anak itu berperanan sebagai menghubungkan ibu bapa yang sibuk dengan pengasuh yang boleh dipercayai untuk menjaga permata hati mereka.

Hingga kini ia memiliki lebih 5,000 pengasuh berdaftar dan memberi khidmat di lebih lima negeri antaranya Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurut, Nadira, ramai ibu bapa mengeluh kerana menghadapi kesukaran untuk mencari pengasuh yang mampu membantu untuk menjaga dan membesarkan anak mereka ketika mereka sibuk bekerja pada siang hari.

“Saya sendiri mempunyai masalah tersebut apatah lagi sebelum ini saya berkhidmat sebagai jurutera yang memerlukan komitmen tinggi dalam kerjaya. Rakan-rakan menyarankan saya mengambil pembantu rumah tetapi isu pembantu lari dari rumah pula yang membelenggu saya ketika itu.

“Mencari seorang pengasuh bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia tidak boleh dilakukan secara tangkap muat sahaja. Banyak perkara yang perlu ditimbangkan sebelum ibu bapa mencari seseorang pengasuh untuk anak mereka,” katanya kepada Seri.

Bertitik tolak daripada itu tercetus idea buat dirinya untuk menjalankan bisnes perkhidmatan penjagaan anak-anak dalam talian, Kiddocare.

Lebih-lebih lagi kesibukan tugas jugalah yang mendorongnya berhenti kerja biarpun kerjaya dalam bidang teknologi kejuruteraan dan perisian sudah sebati 17 tahun dalam jiwanya.

Platform perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dari rumah ke rumah itu berkualiti dan dijamin selamat lantaran ia menghubung ibu bapa dengan pengasuh terlatih secara dalam talian.

Bercerita lanjut, katanya aplikasi berkenaan terbuka kepada wanita warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas sama ada yang sudah berkahwin atau belum yang berminat untuk menjadi seorang pengasuh terlatih.

“Jangan sesekali memandang remeh pekerjaan ini kerana misi kami melahirkan pengasuh wanita yang mahu menjadikan kerjaya ini sebagai pekerjaan profesional,” ujarnya.

Tambah Nadira, pilihan waktu dan kesesuaian ibu bapa mendapatkan pengasuh, bertujuan untuk tidak memberi tekanan kepada kedua-dua pihak ketika menjalankan tugas.

Malah mereka bebas memilih penugasan yang ada mengikut kesesuaian masing-masing.

“Platform ini dicipta bukan sekadar memiliki fleksibiliti waktu kerja dan tidak terikat dengan masa, malah ia memberikan pengalaman dan perkembangan karier yang baik untuk dicemburui,” ujarnya.

Pengalaman jurutera mematangkan
Usai menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengorak langkah sebagai jurutera di salah sebuah syarikat di Singapura selama empat tahun.

Pada mulanya agak sukar untuk beliau menyesuaikan diri sebagai seorang graduan lepasan universiti yang mana hanya 10 peratus merupakan golongan wanita di dalam kumpulannya. Namun perasaan teruja itu melebihi segalanya.

“Saya dapati, menjadi golongan minoriti juga merupakan satu kelebihan untuk menonjolkan diri daripada yang lain. Semenjak saya bekerja dalam bidang kejuruteraan, segelintir masyarakat selalu mempunyai stigma dan tanggapan bahawa bidang ini lebih sesuai untuk golongan ‘Adam’ kerana memerlukan kerja fizikal berat yang mana pada asasnya terdapat lebih ramai lelaki berbanding wanita.

“Hakikatnya kejuruteraan adalah bidang yang luas dan merangkumi banyak aspek seperti teknologi dan perisian. Banyak kepakaran dan pengetahuan teknikal menjadi seorang jurutera yang mana faktor jantina tidak lagi relevan dan patut menjadi isu besar,” katanya.

Begitupun beliau mengakui bekerja dalam bidang didominasi lelaki, memberi lebih dorongan untuknya melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

“Apabila kita bercakap tentang peluang kepada wanita, ia bukan bermakna harus memberi keistimewaan atau layanan berbeza kepada individu tersebut namun membuka ruang yang sama untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka.

“Perkara ini dapat mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan bermanfaat untuk kakitangan syarikat,” katanya.

Nadira berpengalaman mengasaskan syarikat teknologinya sendiri, Nadi-Ayu Technologies pada 2002 dan terbabit dalam badan bukan kerjaan dalam pemerkasaan wanita melalui Girls in Tech (GIT) pada 2007.

Wanita dinamik ini percaya kepada potensi wanita, malangnya tidak ramai wanita ingin membabitkan dalam dunia yang didominasi lelaki itu.

“Kebanyakan wanita tidak mahu memilih bidang teknologi walaupun mereka mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang ini. Sekiranya wanita terus mengabaikan bidang ini, mereka akan ketinggalan.

“Dalam usaha membantu, saya mula menjalankan program pembangunan keusahawana melalui GIT yang berjaya mempercepatkan pertumbuhan wanita memasuki industri berteknologi tinggi melalui program latihan, mewujudkan kesedaran dan sokongan kepada wanita yang ingin mengasaskan syarikat dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” katanya.

Teruskan kehidupan demi anak-anak
Ibu kepada enam orang cahaya mata ini, berkata, walaupun agak sukar pada mulanya untuk menghadapi kenyataan diri bergelar ibu tunggal, namun hidup perlu diteruskan juga.

“Tidak mudah untuk jadi ibu tunggal ini. Cabaran utama apabila semuanya saya kena uruskan sendiri. Saya perlu fikir bagaimana hendak mencari nafkah dan pada masa sama bagaimana untuk menjaga anak-anak.

“Bermula saat bergelar ibu tunggal juga menyebabkan banyak perkara terpaksa saya fikir. Ini termasuklah bagaimana hendak menguruskan pengangkutan sekolah anak, bagaimana hendak meninggalkan anak sewaktu saya mencari rezeki.

“Selain itu saya juga perlu memikirkan apa cara atau apa jenis pekerjaan yang perlu saya ceburi untuk memudahkan dan menyeimbangkan keperluan anak sekaligus tidak menganggu kerja saya. Walau berat dugaan dan cabaran yang dihadapi, saya kuatkan semangat untuk mengharunginya setakat mana yang mampu,” katanya.

Dalam pada itu, dia bersyukur anak-anak sangat memahami kerjayanya dan memahami apa yang berlaku dalam keluarga mereka.

Nasihatnya kepada wanita yang bergelar ibu tunggal, adalah sentiasa berusaha mencari kerja yang halal demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Tidak kiralah kerja makan gaji mahupun menceburi dunia bisnes secara kecil-kecilan, berusahalah untuk berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain,” katanya.

Semenjak bergelar ibu tunggal juga hidup Nadira sentiasa sibuk.

Seharian masanya dipenuhi dengan melakukan pekerjaan dan bisnes yang diceburi, menguruskan anak serta aktif dalam persatuan.

Jelas Nadira apabila dirinya sibuk menguruskan kehidupan seharian membuatkan dirinya tidak mempunyai masa untuk memikirkan pandangan negatif masyarakat terhadap dirinya sebagai ibu tunggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya