RIMBUNAN pokok hujan-hujan di kawasan hutan di Gua Kelam, Padang Besar, Perlis menyaksikan pemandangan cukup mempersonakan dengan suasana begitu mendamaikan.
Di sebalik kesibukan seharian di bandar yang pesat membangun, kawasan tersebut menjanjikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang mengunjunginya, khususnya untuk menjalani aktiviti perkhemahan sambil menikmati kedamaian.
Untuk ke lokasi perkhemahan di hutan tersebut perlu memasuki laluan di dalam Gua Kelam sejauh 500 meter atau melalui jalan Wang Kelian, kira-kira empat kilometer dari jalan besar.
Baru-baru ini, lebih 400 peserta dari seluruh negara menyertai aktiviti perkhemahan di kawasan yang menyajikan pemandangan cukup indah dan mendamaikan dengan rimbunan pokok hujan-hujan itu.
Suasana dan pemandangan di hutan berkenaan sangat unik. Ia memberikan 1,001 kenangan dan pengalaman bermakna sepanjang dua hari mereka menyertai aktiviti perkhemahan itu.
Program perkhemahan sempena kedatangan 2023 anjuran Hooligan Camp itu membabitkan komuniti peminat perkhemahan, karavan, motosikal klasik, pengiat seni dan ramai lagi, termasuk ahli keluarga mereka.
Penyelaras program, Amin Eusof,41, berkata, penganjuran perkhemahan itu menyelitkan elemen kesenian seperti nyanyian dan permainan tradisional dalam suasana santai.
Beliau yang juga aktivis alam semula jadi dan kesenian, berkata, penganjuran program itu turut memberi kelainan kepada peserta untuk menikmati keindahan alam flora dan fauna secara lebih dekat sambil menghirup udara segar.
“Program ini berkonsepkan mesra keluarga. Peserta terdiri daripada orang tempatan dan ada juga dari Thailand,” katanya.
Tingkat sektor perlancongan
Penganjuran program itu juga merupakan antara usaha dilakukan pihaknya bagi membantu memperkukuhkan sektor pelancongan di Perlis yang semakin mendapat tumpuan daripada pengunjung seluruh negara.
Katanya, setiap peserta hanya dikenakan bayaran berpatutan iaitu RM40 sebagai yuran dan penyediaan makanan sepanjang program berlangsung.
“Sambutan diterima sememangnya memberangsangkan. Kita akan cuba untuk jadikan program ini sebagai aktiviti tahunan,” katanya.
Tambah Amin, daripada aspek keselamatan, lokasi tersebut tidak terdedah dengan risiko tanah runtuh atau bencana alam lain.
Sementara itu, peserta dari Seremban, Negeri Sembilan, Nazirul Sheehan Salehan, 36, berkata, walaupun program itu merupakan penyertaan pertamanya, dia dan isteri, Hamidah Zainol, 44, terpukau dengan keindahan rimbunan pokok hujan-hujan di kawasan itu.
Katanya, penganjuran program bersempena sambutan tahun baharu itu juga dilihat berbeza daripada kebiasaan, malah mereka dapat menenangkan diri sambil menikmati suasana nyaman di kawasan itu.
“Selalunya, apabila tiba sambutan tahun baru, orang akan pergi melihat percikan bunga api dan sebagainya, namun konsep program ini berlainan dengan membawa peserta untuk lebih menghargai keindahan alam semula jadi,” katanya.
Nazirul menjelaskan, antara faktor beliau dan isteri menyertai program berkenaan kerana tertarik dengan rimbunan pokok hujan-hujan.
“Kami berdua sanggup datang meninjau kawasan itu sehari lebih awal bagi melihat sendiri keindahan alam semula jadi yang ditawarkan.
“Kalau ada kelapangan, kami merancang untuk datang lagi pada masa akan datang, lebih-lebih lagi pengisian program ini sangat menarik. Ia turut memberi peluang kepada peserta untuk lari sementara daripada kesibukan kota,” katanya.
Peserta dari Selangor, Nurul Wahida Zulkifli, 42, berpuas hati dengan kemudahan asas disediakan di premis berkenaan seperti tandas dan beberapa keperluan lain.
“Kemudahan itu amat memberi keselesaan buat peserta, khususnya bagi mereka yang mengikuti program bersama keluarga.
“Saya memang selalu ikut suami menyertai program perkhemahan seperti ini. Secara peribadi, lokasi ini antara kawasan yang paling sesuai untuk membawa keluarga beriadah,” katanya.










