KES patah tulang pinggul akibat osteoporosis di negara ini dijangka meningkat kepada 20,893 menjelang 2050, berbanding 5,880 yang direkodkan pada 2018.
Peningkatan 3.6 kali ganda itu menjadikan Malaysia sebagai negara tertinggi di Asia yang berdepan risiko penyakit berkenaan, mengatasi Singapura, Hong Kong, Korea dan Thailand.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kajian pada 2020 mendapati, kesemua pesakit memerlukan alat bantuan berjalan selepas mereka keluar dari hospital.
Namun, katanya, hanya 24 peratus atau satu daripada empat pesakit yang memperoleh semula mobiliti dan kebolehan untuk berdikari, enam bulan kemudian.
Menurutnya, baki 26 peratus atau satu daripada empat pesakit pula mati dalam tempoh setahun selepas mengalami kepatahan tersebut.
“Kepatahan tulang pinggul lazimnya melibatkan kalangan warga emas. Rakyat Malaysia semakin tua dan mempunyai jangka hayat lama, justeru lebih ramai yang akan menghidap penyakit tidak berjangkit berkaitan usia, termasuk osteoporosis,” katanya ketika merasmikan taklimat media Jangan Biarkan Osteoporosis Mematahkan Anda, kelmarin.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS), Dr. Yeap Swan Sim; pakar perunding geriatrik, Dr. Terence Ong Ing Wei dan Pakar Perunding Bedah Kanan Ortopedik, Prof. Datuk Dr. Sabarul Afian Moktar.
Noor Hisham berkata, osteoporosis berlaku apabila tulang mengalami kehilangan ketumpatan yang teruk hingga mengakibatkan kepatahan yang boleh dikaitkan dengan ketidakupayaan dan kematian pramatang.
Katanya, penyakit serius itu memerlukan pengesanan awal, intervensi dan pengurusan walaupun pada peringkat akhir.
Sehubungan itu, beliau menyeru pakar penjagaan kesihatan untuk menggunakan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) bagi membuat keputusan klinikal yang penting dan tepat pada masanya.
“Memulakan amalan-amalan terbaik akan meningkatkan kualiti kehidupan pesakit yang semakin tua dan membantu mengurangkan impak osteoporosis yang dijangka meningkat dalam masa tidak begitu jauh ke hadapan,” katanya.
Nisbah hampir sama dengan diabetis
Percaya atau tidak, jumlah kekerapan kes osteoporosis yang dilaporkan di Malaysia hampir sama dengan penyakit diabetis.
Ing Wei berkata, ketika ini, satu daripada lima golongan dewasa di negara ini menghidap diabetes.
“Manakala, osteoporosis pula menjejaskan satu daripada enam orang dewasa yang berumur antara 45 hingga 90 tahun.
“Penyakit diabetes dapat menimbulkan perasaan takut dan bimbang dalam kalangan masyarakat, namun berbeza dengan osteoporosis kerana orang ramai tidak begitu mengambil berat tentangnya,”
Usah tangguh pembedahan
Sabarul Afian berkata, intervensi pembedahan awal mungkin diperlukan bagi warga emas yang patah tulang pinggul hingga menjejaskan pergerakan mereka.
Katanya, matlamat utama rawatan itu adalah untuk menanggung berat dan pengembalian kepada aktiviti normal.
“Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) dan CPG ada mencadangkan agar pembedahan dijalankan dalam tempoh 48 jam selepas kepatahan berlaku.
“Namun, menurut sebuah laporan, purata pembedahan di Malaysia dijalankan selepas lima hingga tujuh hari dan punca kelewatan itu disebabkan pelbagai faktor antaranya komorbiditi pesakit, bebanan kewangan dan ruang waktu di hospital awam,” katanya.
Sabarul Afian berkata, segelintir hospital kini turut menawarkan perkhidmatan hubungan fraktur (FLS) dan ia terbukti berkesan dalam meningkatkan hasil rawatan pesakit.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pencegahan sekunder bagi mengelak kepatahan kali kedua atau seterusnya.
Katanya, kemungkinan untuk pesakit mengalami kepatahan tulang dalam tempoh setahun selepas patah pertama ialah lima kali ganda.
“Oleh itu, adalah penting bagi anda untuk mengambil ubat anti-osteoporosis bersama suplemen kalsium dan vitamin D yang mencukupi serta melakukan senaman menahan beratan yang betul.
“Golongan berisiko tinggi untuk mengalami kejatuhan harus menjalani penilaian risiko jatuh berbilang faktor dan intervensi,” katanya.










