PETALING JAYA: Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan gagal mengawal emosi kerana terharu apabila ibunya, Entik Trisuyatmi hadir menyaksikan Konsert A Decade Cakra Khan, malam tadi.
Jelas Cakra, perasaan terharu mula menguasai diri kerana itu merupakan kali pertama ibunya menyaksikan konsert berskala besarnya selama 10 tahun dia bergelar anak seni.
“Momen paling istimewa pastinya apabila saya tahu, ibu hadir menyaksikan konsert ini. Kali pertama sebenarnya dia hadir ke mana-mana konsert besar saya.
“Saya terharu, pada masa sama perlu kawal emosi. Tetapi, apabila menyanyikan lagu Ayah, saya tidak boleh menyimpan perasaan sedih itu lagi.
“Mula-mula saya elakkan tengok ibu dan video di layar, tetapi perasaan sedih tidak boleh dibendung. Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik,” katanya.
Pada konsert yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu, Cakra menyampaikan lebih 20 lagu dan turut menjemput Khai Bahar, Aina Abdul dan Ade Govinda menyanyi bersama.
Cakra ketika membuat persembahan turut berkongsi momen indah bersama Allahyarham bapanya, Hermana yang meninggal dunia, dua tahun lalu akibat angin ahmar.
“Ayah pesan, jadilah orang yang sentiasa menghiburkan orang lain. Dia mahu saya sentiasa menyanyi dan memberi yang terbaik untuk semua pendengar. Dia banyak membantu dan memberi nasihat kepada saya.
“Jadilah seorang yang membanggakan walaupun dalam kekurangan. Persembahan lagu Ayah ini adalah dedikasi untuknya yang selama ini menjadi bapa terbaik yang akan selamanya ada dalam hati,” katanya.