SEMPENA 2023, stesen penyiaran Al Hijrah menyusun strategi berbeza dengan menyajikan kandungan lebih segar, namun mengekalkan landasan perjuangan asal iaitu menyebar dakwah Islam berteraskan al-Quran.
Tampil dengan lima program baharu berteraskan pengajian al-Quran, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris mahu memulakan 2023 dengan memartabatkan perjuangan asal stesen tersebut.
“Kita mahu mulakan 2023 dengan mengembalikan semangat perjuangan asal stesen. Mengapa stesen ini ditubuhkan? Mengapa kita memperjuangkan Al Hijrah? Kita mahu membawa penonton kembali kepada Tuhan.
“Disebabkan itu, kami memilih al-Quran sebagai teras utama kepada semua program baharu yang diperkenalkan. Kita berusaha menjadikan kitab suci semakin dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Pengisian program, bagaimanapun lebih segar dan moden supaya mudah diterima penonton. Itu matlamat kami,” katanya.
Bersaing dengan pelbagai platform digital, stesen TV dan kandungan lain, Namanzee bersetuju mereka sedang berdepan cabaran lebih besar.
Apatah lagi, dewasa ini, masyarakat lebih terdedah dan mudah mengakses pelbagai jenis kandungan dalam serta luar negara tanpa batasan. Namun, jika dilihat dari sudut positif, persaingan itu mampu membuka peluang lain.
“TV akan kekal, namun fungsinya mungkin sudah berbeza. Malah, dengan hanya di telefon bimbit, kita boleh mengakses semua saluran dan platform digital lain.
“Penghasilan kandungan akan lebih mencabar. Semua didedahkan tanpa saringan. Jadi, kita perlu bersaing dari segi kualiti dan impak sesebuah kandungan serta memanfaatkannya sebagai medium penyebaran ilmu.
“Saya sedar, kita tidak boleh hanya bergantung kepada satu saluran semata-mata. Disebabkan itu, kita, berkolaborasi dengan pencipta kandungan di media sosial untuk menghasilkan program yang mempunyai teras sama, tetapi sudut pendekatan berbeza,” katanya.
Akademi Qurra’, Hijrahkan Laguku
Bercakap tentang program baharu, Akademi Qurra’, jelas Namanzee, program realiti berteraskan al-Quran sudah lama ‘hilang’ dari layar kaca. Justeru, mereka berhasrat menghidupkan semula perjuangan itu.
Menampilkan juri tetap, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dan mentor terdiri daripada qari dan qariah terbaik negara, Akademi Qurra’ bakal melahirkan generasi Qurani sebagai pelapis asatizah celik al-Quran.
“Kita masih ada harapan untuk memperjuangkan program realiti berteraskan al-Quran. Ini antara usaha kami, mewujudkan persaingan positif.
“Malah, pelbagai program lain antaranya Quran@114, Kembra Mahsyar dan Assalamualaikum An-Nisaa’ juga diharap dapat memenuhi selera serta permintaan penonton yang dahagakan program berteraskan al-Quran.
“Selain itu, kami tampilkan juga TikToker popular, Qawiy menerusi program Qawiy Wuz Here yang mendekati masyarakat, khususnya golongan muda dengan konsep terjah al-Quran,” katanya.
Ditanya adakah program popular, Hijrahkan Laguku bakal diteruskan untuk edisi kedua, Namanzee berkata, perancangan itu sudah dibincangkan.
“Ramadan dan raya ini, kami akan tampilkan lebih banyak program menarik untuk tontonan masyarakat. Malah, Hijrahkan Laguku juga akan diteruskan untuk musim kedua, Julai nanti.
“Setakat ini, kami sudah mengenal pasti beberapa peserta baharu dan pemilihan akan dijalankan apabila tiba waktunya,” katanya.










