KEMERIAHAN Anugerah Juara Lagu (AJL) bakal kembali pada 12 Februari ini, menampilkan beberapa pembaharuan yang menterjemahkan prestij acara tahunan paling dinanti itu.
Berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, AJL 37 menyaksikan persembahan kelas pertama daripada 12 finalis pada acara kemuncak bertemakan Dimensi Muzik.
Penerbit Eksekutif, Jamil Hassan berkata, tema yang dipilih itu diinspirasikan daripada trend semasa yang meraikan muzik dan lagu yang dihasilkan pada era 1980-an dan 1990-an.
“Kami tertarik apabila anak muda kembali meraikan lagu yang dihasilkan pada era tersebut. Dari situ, kami temukan Dimensi Muzik dan memilihnya sebagai tema untuk AJL 37.
“Dimensi Muzik akan diterjemahkan menerusi persembahan pembukaan dan interlud, reka bentuk pentas, pencahayaan dan banyak aspek lain untuk membangkitkan rasa dan gambaran yang diinginkan penonton,” katanya.
Bagi mengelakkan kontroversi atau perkara tidak diingini berlaku pada penganjuran AJL 37, penganjur telah menetapkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi finalis.
Kata Jamil, antara yang diberi penekanan adalah dari sudut persembahan yang perlu bebas daripada sebarang elemen yang menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Finalis dilarang sama sekali menampilkan sebarang elemen yang menyentuh sensitiviti agama, budaya dan kaum dalam persembahan mereka.
“Kami telah tekankan perkara ini sejak awal dan akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Matlamat kami adalah untuk mencipta penganjuran AJL yang bersih dan menjadikannya sebuah rancangan hiburan yang dapat membina industri seni tanah air,” jelasnya.
Penganjur turut memutuskan untuk melaksanakan semula jualan tiket kepada peminat yang ingin menyaksikan AJL 37 secara langsung di Axiata Arena.
Menjelaskan perkara tersebut, Pengurus Besar Pemasaran Kandungan dan Kreatif TV3, Farah Shamsudin berkata, ia dilakukan bagi memberi peluang kepada peminat untuk merasai pengalaman sebenar menonton AJL 37 secara langsung.
“Kami menerima permintaan yang tinggi untuk tiket AJL dan kami memutuskan untuk membuka jualan (tiket) dengan harga yang berpatutan.
“Jualan tiket ini bukan perkara baru kerana pernah dilakukan pada edisi AJL terdahulu.
“Harga tiket juga tidak mahal, sebaliknya pengalaman menyaksikan di depan mata persembahan kesemua finalis amat berbaloi dan lebih berharga,” katanya.
Gabungan dua hos wanita
AJL 37 juga menyaksikan kehebatan dua pengacara terkemuka, Sherry Alhadad dan Jihan Muse untuk menerajui perjalanan acara tersebut nanti.
Gandingan Sherry dan Jihan dianggap sebagai pembaharuan yang dinantikan, apatah lagi buat kali pertama dua pengacara wanita disatukan di atas pentas AJL.
Pihak penganjur percaya kekuatan yang dimiliki dua pengacara itu mampu mencipta kelainan menerusi pembawaan karakter tersendiri.
Bagi Sherry, dia gembira kerana hasrat untuk digandingkan bersama sahabat baiknya mengacarakan AJL akhirnya terlaksana.
“Saya bersyukur apabila sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengacarakan AJL.
“Kali ini sangat berbeza apabila saya bergabung pula dengan pengacara wanita yang juga rakan baik dalam industri.
“Sebagai penggiat teater, kami mahu tampilkan kelainan. Idea pengacaraan masih dalam perbincangan lagi. Apa yang pasti, saya akan bantu Jihan yang kali pertama beraksi di pentas AJL,” katanya.
Bagai rezeki terpijak, Jihan tidak menyangka akan disatukan dengan sahabat baiknya itu pada acara berprestij seperti AJL.
Kata Jihan, tawaran tersebut hadir tepat pada waktu ketika dia memutuskan untuk kembali aktif dalam dunia pengacaraan.
“Selepas berehat panjang selama setahun kerana melahirkan anak kedua, saya memutuskan untuk kembali aktif dalam bidang pengacaraan. Saya tidak sangka, ketika baru hendak mengorak semula langkah, tawaran sebesar ini datang.
“Sudah tentu ia memberikan pengalaman baru, lebih lagi apabila digandingkan dengan Sherry.
“AJL tidak menuntut masa yang lama. Sebagai ibu dan isteri, itu adalah antara perkara yang saya telitikan sebelum menerima satu-satu tawaran,” jelasnya.
Tak berkira untuk persembahan – Shiha Zikir
Kemunculan Shiha Zikir yang mempertaruhkan lagu Irama pada kemuncak AJL 37 adalah antara persembahan yang dinantikan ramai.
Berdasarkan prestasi tahun lalu, Shiha dijangka bakal menampilkan persembahan berimpak tinggi pada penganjuran kali ini.
Tentang persiapan, kata Shiha, setakat ini pihaknya masih di peringkat menyiapkan rangka persembahan.
“Ia termasuk konsep persembahan, pakaian dan sebagainya. Saya juga masih memikirkan mengenai koreografi dan susunan lagu untuk ditampilkan pada malam itu nanti,” katanya.
Kata Shiha, dia amat teruja apabila AJL kembali ke Axiata Arena kerana ruang pentas yang lebih besar menuntut cabaran dan kesukaran baharu.
“Bukan mudah menyanyi di atas pentas yang besar. Apatah lagi sambil menari, pastinya mencabar buat saya dan seluruh pasukan.
“Tetapi, saya teruja kerana pengalaman tersebut tidak datang selalu. Saya sahut cabaran untuk memberikan yang terbaik pada AJL 37 nanti,” tambahnya.
Disoal tentang peruntukan yang bakal dilaburkan untuk persembahan tersebut, akui Shiha, bukan sedikit.
Namun, baginya wang ringgit bukan keutamaan, sebaliknya kepuasan dalam persembahan yang diinginkan.
“Saya berhabis sekitar RM70,000 pada AJL lepas. Tahun ini, saya belum boleh nyatakan anggaran kerana masih dalam peringkat perbincangan.
“Apa yang boleh saya katakan, saya tidak akan berkira-kira untuk mengeluarkan peruntukan besar untuk persembahan, lebih-lebih lagi AJL. Untuk kali ini, persembahan saya lebih menekankan aspek teknikal.
“Meskipun ada yang menganggap saya membazir, sebenarnya itulah yang memberi kepuasan buat diri,” jelasnya.
Pertaruhkan kemampuan vokal – Dayang Nurfaizah, Amir Masdi
Turut layak Dayang Nurfaizah yang bergabung dengan Amir Masdi menerusi lagu Debu, disebut-sebut sebagai pencabar hebat kepada finalis lain.
Kata Dayang, persiapan untuk AJL 37 masih berjalan kerana banyak lagi perkara dalam proses perbincangan.
“Persiapan sudah mencapai 50 peratus dan kami baru siapkan susunan lagu dan konsep.
“Antara kekuatan persembahan kami nanti adalah pada iringan muzik orkestra yang bakal mewarnai susunan lagu dan menjadi pandu arah kepada corak persembahan vokal.
“Cabarannya adalah bagaimana untuk mengikat perhatian penonton dengan persembahan yang hanya berjalan selama lima minit. Aspek itu yang masih kami bincangkan,” katanya.
Kata Dayang, seperti persembahannya sebelum ini, dia amat menitikberatkan soal nyanyian dan meletakkan perkara itu melebihi segala-galanya.
“Pada saya, gimik atau penampilan jatuh perkara kedua.
“Kami beruntung kerana Debu tidak memerlukan kami bertarung vokal antara satu sama lain. Ia lebih menuntut keserasian dan penyatuan dua suara yang berbeza dengan struktur muzik yang unik,” katanya lagi.
Disoal tentang penampilan, kata Amir, dia dan seluruh pasukannya akan memastikan aspek tersebut tidak diabaikan dan diseimbangkan dengan Dayang yang sering menjadi perhatian setiap kali membuat persembahan di AJL.
“Sejak dahulu, saya memang menitikberatkan soal penampilan kerana selain nyanyian, penonton juga ingin melihat apa yang dipakai penyanyi ketika beraksi di pentas.
“Perkara itu akan dibincangkan dengan lebih terperinci agar saya dapat sesuaikan penampilan dengan lagu yang dipersembahkan,” katanya










