TAHUN 2022 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Setiap kita menggalas harapan melangkah ke tahun baharu, 2023 ke arah yang lebih baik.
Begitu juga dengan industri seni. Tidak kira apa cabang, filem, muzik atau drama, setiap penggiat pasti mengimpikan lebih banyak kejayaan dapat dicipta
Melihatkan trend penerimaan peminat terhadap karya yang dihasilkan, tidak mustahil kita mampu melakar lebih banyak pencapaian pada tahun mendatang.
Meskipun 2022 melakar pencapaian baharu dalam industri filem menerusi produksi arahan Syamsul Yusof, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan apabila mengatasi pencapaian filem Hollywood, Avengers: End Game yang mengutip RM87 juta, industri kreatif masih berdepan cabaran hebat.
Selepas dua tahun bergelut dengan pandemik, industri filem perlukan lonjakan untuk terus bangkit apabila hanya beberapa produksi mencatat kutipan selesa.
Ia berbeza industri muzik yang dibanjiri pelbagai konsert, meskipun terpaksa bersaing penyanyi luar negara.
Berikut adalah filem dan lagu yang mencatat pencapaian memberangsangkan sepanjang 2022.
FILEM:
1. MAT KILAU: KEBANGKITAN PAHLAWAN (RM97 JUTA)
Menjadi filem paling tinggi kutipan di Malaysia sepanjang zaman, filem terbitan Studio Kembara Sdn. Bhd itu juga berjaya memecah tembok pawagam di beberapa negara luar, termasuk Indonesia. Malah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan juga mencetuskan fenomena tersendiri apabila menjadi antara filem dalam senarai Top 10 di hampir 20 negara menerusi platform penstriman, Netflix.
2. AIR FORCE THE MOVIE: SELAGI BERNYAWA (RM30 JUTA)
Kecemerlangan kutipan filem tempatan untuk 2022 diteruskan dengan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa. Filem terbitan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu turut merangkul Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM 32).
3. MECHAMATO MOVIE (RM27 JUTA)
Filem yang masih ditayangkan di pawagam memecut laju dengan jumlah kutipan RM27 juta. Malah, nashkah terbitan Animonsta Studios Sdn. Bhd. (Monsta) dan Astro Shaw itu juga berjaya menembusi tembok lima filem animasi paling tinggi kutipan. Biarpun bersaing waktu tayangan dengan filem antarabangsa, Avatar: The Way of Water, Mechamato Movie tetap unggul menjadi pilihan penonton.
4. ABANG LONG FADIL 3 (RM25 JUTA)
Rekod sekuel terdahulu, Abang Long Fadil 2 yang meraih RM18 juta dalam masa 45 hari tayangan diatasi menerusi edisi terbaru sentuhan Syafiq Yusof.
Tidak meletakkan sasaran tertentu, cukup melepasi kutipan filem terdahulu, Syafiq mampu menarik nafas lega apabila Abang Long Fadil 3 meraih RM25 juta. Filem itu menampilkan lakonan Zizan Razak, Johan Raja Lawak dan Maya Karin.
JUANG BUKA LEMBARAN BAHARU
Biarpun tidak tersenarai dalam carta filem pecah panggung tahun ini, Juang yang mendapat sentuhan lima sutradara hebat dan melibatkan 100 pelakon ini membuka lembaran baharu dalam sejarah perfileman negara.
Filem berdasarkan kisah benar perjuangan petugas barisan hadapan memerangi penularan pandemik Covid-19 di Malaysia ini menerima Anugerah Khas Juri, FFM32.
MUZIK:
Lagu Insomniacks paling banyak distrim
1. SEMPURNA – INSOMNIACKS
Mungkin nama kumpulan ini tidak begitu gah di pentas besar, namun dalam kalangan generasi muda, Insomniacks menjadi antara kumpulan muzik paling popular. Tidak hairan, single kelapan mereka, Sempurna menjadi antara lagu tempatan paling popular di aplikasi Spotify!
2. CASABLANCA – NUHA BAHRIN & NAUFAL AZRIN
Popular di aplikasi TikTok dan Spotify, lagu ciptaan Daqmie dan Wan Saleh ini mencipta fenomena tersendiri. Tidak kira tua atau muda, lirik lagu ini terus meniti di bibir peminat. Malah, nama kedua penyanyi ini juga terus mendaki carta populariti, biarpun berdepan pelbagai kritikan dan kecaman.
3. JANJI MANIS – MASDO
Salah satu kumpulan indie yang berjaya memecahkan tembok arus perdana, Masdo terus unggul apabila single mereka, Janji Manis turut tersenarai dalam lima lagu tempatan paling popular di aplikasi Spotify.
4. SATU MALAM DI TEMASEK – JOE FLIZZOW, SONAONE
Lagu yang bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-37 ini turut menembusi carta lima lagu tempatan paling popular di aplikasi Spotify. Bukan sesuatu yang menghairankan, karya Joe Flizzow mudah mendapat tempat di hati peminat.
5. MALAM SEMAKIN DINGIN – TAJUL, AFIEQ SHAZWAN
Populariti lagu nyanyian semula ini mencetuskan trend baharu dalam senario muzik tempatan. Selepas kejayaan Malam Semakin Dingin (nyanyian asal Spin), banyak lagu popular era 1990-an dinyanyikan semula penyanyi muda.
GATAL – JANNA NICK
Lagu Gatal turut mencipta impak apabila menjadi antara lagu paling banyak digunakan di aplikasi TikTok di seluruh dunia. Malah, legenda muzik Korea Selatan, Psy turut menggunakan lagu nyanyian pelakon dan pengacara, Janna Nick itu sebagai latar muzik video tariannya.
5 FILEM TERCOROT:
1. SPILT GRAVY ON RICE
Kutipan: RM6,000
Penerbit: Early Bird Productions
Pengarah: Datuk Zahim Al Bakri
Penantian 11 tahun untuk melihat filem ini menjengah pawagam berbaloi apabila naskhah arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal itu diangkat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32.
Filem itu juga mampu berbangga apabila meraih enam kemenangan lain dalam kategori Pengarah Harapan; Rekaan Busana Terbaik; Penataan Seni Terbaik; Penyunting Terbaik; Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Namun, di sebalik pencapaian cemerlang itu, filem yang ditayangkan bermula 9 Jun itu gagal menambat hati penonton di pawagam untuk meraih kutipan selesa.
2. SIKU 12: LANGKAH DERHAKA
Kutipan: RM10,000
Penerbit: Powerteam Entertainment Sdn. Bhd.
Pengarah: Azhari Zain
Ditayangkan di pawagam bermula 27 Oktober lalu, filem ini menonjolkan kehebatan seni persilatan Melayu dan Muay Thai dengan menampilkan gandingan Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim selaku teraju utama.
Malangnya, gandingan dua nama hebat itu tidak mampu membawa penonton ke pawagam apabila hanya mengaut kutipan RM10,000.
3. SYAHADAN
Kutipan: RM15,000
Penerbit: Trillion Marketing Sdn. Bhd.
Pengarah: Datuk Dr. Fairus Hussin, Halim Hassan
Filem mengisahkan seorang pemuda yang berlatih silat berdepan perjuangan mental dan fizikal untuk melayakkannya menjadi pesilat dan menentang sindiket samseng di kampungnya.
Menampilkan juara silat dunia dan pensilat negara, Al Jufferi Jamari sebagai pelakon utama, selain Anuar Rahman, Bob Megat, Fauzi Khalid dan Taqiyuddin Hamid
Namun, percaturan itu tidak membuahkan hasil diharapkan apabila kutipan kurang memberangsangkan.
4. ANAK RIMAU
Kutipan: RM20,000
Penerbit: Keelkr Films Sdn Bhd
Pengarah: Areel Abu Bakar & Johan Abdullah
Filem sukan arahan Areel Abu Bakar ini berkisar sekumpulan anak muda pelbagai latar belakang ingin menggapai impian menjadi pemain bola sepak.
Dibintangi Beto Kusyairy, Idan Aedan, Ahmad Daniel Hakimi, Hanz Daniel Skelchy dan Adam Corrie, filem itu terpaksa berpuas hati apabila hanya mengaut RM20,000.
5. KONGSI RAYA
Kutipan: RM22,000
Penerbit: 555 Film Sdn. Bhd.
Pengarah: Teddy Chin
Meskipun membawakan jalan cerita kelakar dengan penampilan nama besar seperti Harith Iskander, Erra Fazira, Chew Kin Wah, selain Ong Ai Leng, Qasrina Karim, Wilson Lee dan Teddy Chin, filem itu tidak mendapat pulangan seperti diharapkan.










