‘Masa emas’ 48 hingga 72 jam selamatkan tulang pinggul patah - Utusan Malaysia

‘Masa emas’ 48 hingga 72 jam selamatkan tulang pinggul patah

SENAMAN dapat meningkatkan fungsi tulang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tulang pinggul patah akibat osteo­po­rosis perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan risiko pesakit mengalami patah tulang kali kedua.

Tempoh antara 48 hingga 72 jam dianggap ‘masa emas’ bagi menjalankan pembedahan ke atas tulang yang patah bagi memastikan pesakit dapat terus menjalani hidup seperti biasa, seperti kembali berjalan dan mengelakkan komplikasi lain.

Ketua Pasukan Fracture Liasion Service (FLS) Jabatan Ortopedik & Traumatologi, Dr. Juzaily Fekry Leong berkata, kebanyakan pembedahan patah tulang secara purata mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk pesakit menjalani pembedahan dan sekiranya lewat akan menyebabkan pesakit berdepan pelbagai komplikasi lain.

“Biasanya orang yang sudah berumur, bila mereka terbaring lama akan hilang keyakinan untuk berjalan semula. Matlamat kami adalah menjalankan pembedahan memasukkan besi bagi menggantikan tulang yang patah atau penggantian tulang pinggul yang haus secepat mungkin. Ini bagi membolehkan mereka berjalan semula. Selepas itu, mereka perlu diberi rawatan untuk menguatkan tulang kerana bila sudah patah kali pertama, risiko patah kali kedua lebih tinggi.

“Sebelum ini, kes patah tulang akibat jatuh tidak diambil serius sebagai kes kecemasan. Ini melambatkan pembedahan. Itu sebab kita hendak doktor dan profesional perubatan menyedari situasi ini kerana kita tahu orang berusia boleh mengalami trauma selepas jatuh,” katanya yang ditemui selepas majlis perasmian Minggu Osteoporosis Universiti Kebangsaan Malaysa (UKM) di Hospital Canselor UKM Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini.

Tambah beliau, peratus kesembuhan adalah bergantung kepada pesakit kerana ada pesakit yang mempunyai penyakit berisiko seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

HCTM menerima pesakit berusia 55 tahun sehingga 90 tahun bagi kes patah tulang akibat osteo­porosis. Sejak FLS ditubuhkan pada 2018, dianggarkan lebih 1,000 pesakit menerima rawatan akibat pelbagai masalah kepatahan tulang, terutama tulang pinggul.

Antara kes yang sering ditemui adalah masalah tulang belakang di mana pesakit tidak sedar mengalami tulang patah pada bahagian itu. Keadaan ini juga dikenali sebagai penyakit senyap kerana kadang-kadang mereka tidak berasa sakit.

Ia dikesan apabila mereka menjalani imbasan tulang. Dari segi statistik, ramai yang datang sebab mengalami kerapuhan tulang pinggul yang berlaku selepas pesakit jatuh dan tidak boleh berjalan.

Dr. Juzaily berkata, antara risiko tidak dibedah segera dan akibat terbaring lama selepas patah tulang, boleh menyebabkan pesakit mengalami luka atau kudis dan jangkitan paru-paru akibat pernafasan yang tidak normal.

“Sekiranya pesakit mengalami jangkitan paru-paru, kadar mortaliti atau kematian lebih tinggi iaitu antara 30 hingga 50 peratus. Kalau pesakit menjalani pembedahan, sekurang-kurangnya mereka boleh bangun, duduk dan berjalan walaupun tidak sempurna seperti sebelum ini. Selepas itu, mereka boleh mula menjalani rawatan ubat seperti kalsium, vitamin D dan antiosteoporosis,” katanya.

Tokotrienol dalam kelapa sawit berpotensi atasi osteoporosis

Pensyarah dan Penyelidik Fakulti Perubatan UKM, Dr. Wong Sok Kuan, berkata kajian mendapati tokotrienol memberikan kesan baik dalam membantu mengurangkan masalah osteoporosis.
Kajian dijalankan selama lima bulan oleh Dr. Wong ke atas tikus makmal yang mengalami osteoporosis, menunjukkan kesan ketara apabila diberikan tokotrienol, berbanding tikus yang tidak mendapat tokotrienol.

“Lebih menarik, tokotrienol bukan saja meningkatkan ketumpatan tulang, tetapi mampu merendahkan tekanan darah tinggi, glukos atau gula dalam darah serta kolesterol.

“Tikus yang mempunyai sindrom metabolik seperti obesiti, tekanan darah tinggi, glukos dan kolesterol mengambil masa lebih lama untuk tulang mereka menjadi lebih padat berbanding tikus sihat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Minggu Osteoporosis UKM 2022

Katanya penyelidikan berkenaan dengan vitamin E, terutamanya tokotrienol sudah dijalankan oleh Profesor Dr. Ima Nirwana Soelaiman sejak 30 tahun lalu dan kajian itu masih diteruskan bersama Dr. Wong dan Dr. Chin Kok Yong.

Dr. Wong berkata, sumber tokotrienol yang paling kaya adalah daripada minyak kelapa sawit. Ia juga boleh didapati dalam makanan harian seperti kekacang, tetapi kuantitinya sangat sikit.

“Kelapa sawit sumber yang paling kaya. Sekarang, sudah ada kapsul tokotrienol dan makanan seperti produk oat yang ditambah dengan tokotrienol. Disyorkan jangan makan berlebihan sebab setakat ini dos yang dikaji hanya untuk tikus.

“Belum ada dos yang boleh disyorkan untuk kegunaan manusia. Setakat yang ada untuk menjaga kesihatan secara am sahaja. Kajian membabitkan manusia perlu masa yang panjang dan proses lebih rumit,” katanya.

Kumpulan Penyelidikan Metabolisme Tulang, Fakulti Perubatan UKM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Norliza Muhammad (Jabatan Farmakologi) turut menjalankan penyelidikan klinikal dan praklinikal yang berimpak tinggi bagi membantu memahami kesihatan tulang dengan lebih mendalam dan seterusnya menangani osteoporosis.

Rawatan bina tulang

Ketua Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Profesor Datuk Dr. Sabarul Afian Mokhtar, berkata ubat osteoporosis ada dua iaitu antiresorptif dan anabolik. Disebabkan mekanisme osteoporosis ini adalah keseimbangan dua sel yang penting iaitu osiaosteoblas yang membina tulang dan osteoklas yang makan tulang.

“Bila wanita menopaus, paras estrogen jatuh, sel osteoklas yang makan tulang lebih aktif. Sel bina tulang jadi lemah. Ini menyebabkan tulang jadi reput. Ubat yang biasa digunakan adalah antiresorptif yang bertindak ke atas sel osteoklas. Jadi, ia melambatkan sel yang makan tulang, tetapi tidak membina tulang.

“Ubat baharu dikenali sebagai anabolik yang membina tulang. Saya orang pertama guna ubat ini pada 2015. Ubat itu disuntik seperti insulin pada waktu malam.

“Ubat ini tidak boleh digunakan melebihi dua tahun kerana kajian ke atas tikus mendapati, penggunaan melebihi dua tahun menyebabkan berlaku kanser tulang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ada ubat generasi kedua yang digunakan sebulan sekali selama setahun. Dalam kes osteoporis yang menyebabkan tulang patah, terdapat keperluan untuk menggunakan ubat yang kuat dulu.

Katanya pada 2019, World Congress Osteoporosis mengetengahkan konsep baharu iaitu menggunakan anabolik selama setahun dan ubat antiresorptif untuk mengekalkan ketumpatan tulang.

“Negara maju yang banyak kes osteoporosis sudah menggunakan anabolik untuk kes berisiko tinggi sebab kalau guna ubat antiresorptif, tempoh meningkatkan ketumpatan tulang lebih perlahan.

“Kos memang lebih tinggi, tetapi berbanding kos duduk di hospital akibat patah tulang pinggu lebih mahal. Jadi, pencegahan lebih baik daripada rawatan. Apa yang kita lihat patah tulang itu hanya secara luaran, sedangkan pada dasarnya lebih parah,” katanya.

Fungsi FLS

FLS diwujudkan sebagai langkah meningkatkan mutu penjagaan holistik terhadap pesakit yang mengalami kepatahan fragiliti akibat daripada osteoporosis kerana selama ini, tiada cara sistematik dalam merawat pesakit.

Pasukan FLS dianggotai oleh pakar daripada pelbagai disiplin seperti Jabatan Farmasi, Unit Fisioterapi, Jabatan Kejururawatan, Ortopedik, unit Endokrinologi, Geriatrik, Jabatan Perubatan Dalaman, Klinik Primer dan H-Care dan Fakulti Sains Kesihatan.

Pada tahun ini, FLS menerima Anugerah Emas dalam Kempen Capture the Fracture oleh International Osteoporosis Federation (IOF) atas khidmat cemerlang diberikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×