Konsert Barbarik Pentas Keras yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam esok menjanjikan persembahan luar biasa yang mampu membangkitkan adrenalin peminat rock sejati.
Persembahan bertenaga selama dua jam setengah itu dicetuskan komposer yang juga bekas gitaris Wings, Joe Branko dan Muss bagi mengimbau kenangan lebih dua dekad lalu.
Menurut Joe yang meninggalkan Wings pada 2016, konsert itu juga melunaskan ‘hutang’ yang belum selesai sejak album studio kesembilan Wings, Mr. Barbarik diterbitkan pada tahun 2000.
Katanya, ketika itu, Muss mengambil keputusan meninggalkan Wings dan menyebabkan promosi album tersebut tidak dapat dijalankan sebaik dipasarkan.
“Selepas lebih dua dekad, peminat terutama mereka yang lahir pada tahun 1990-an ke atas masih mencari lagu dalam album tersebut yang mengetengahkan genre rock keras. Album itu juga merupakan projek eksperimental, 22 tahun lalu.
“Sejak itu, tercetus idea untuk berkolaborasi semula dengan Muss bagi melangsaikan urusan yang belum selesai,” katanya.
20 LAGU
Mengulas persediaan konsert esok, Joe berkata, projek mega yang dibantu 30 kru, termasuk pemuzik profesional air bakal mempersembahkan 20 lagu daripada empat album Wings.
“Setiap lagu dipilih daripada empat album ketika Muss bersama Wings iaitu Biru Mata Hitamku (1996) Mencari Asal-Usul (1998), Mr. Barbarik (2000) dan Double Trouble 2 (1998).
“Lagu-lagu daripada album Barbarik paling banyak akan dipersembahkan kepada peminat,” katanya.
Joe turut memberi jaminan konsert berkonsepkan ‘pentas keras’ itu menjanjikan kelainan kepada peminat.
Katanya, dia juga bersyukur kerana tiket konsert sudah terjual lebih 50 peratus dan yakin akan terus mendapat permintaan pada saat akhir.
“Konsert ini tidak sama seperti konsert rock lain kerana mempunyai konsep penceritaan yang tersendiri. Pemilihan tempat juga sangat sesuai dengan kapasiti 2,500 penonton.
“Konsert ini lebih fokus kepada konsep pencahayaan dan penyanyi itu sendiri iaitu Muss. Dari sudut fotografi, ia menjadi lebih cantik kerana tidak diganggu dengan cahaya LED,” katanya.
USIA BUKAN HALANGAN
Sementara itu, Muss pula berkata, setiap pilihan lagu sangat istimewa kerana mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Katanya, walaupun konsert itu tidak mempersembahkan 100 peratus lagu seperti di dalam album, gubahan lagu yang disusun semula menjanjikan kelainan dengan idea lebih segar.
“Ada lagu berentak perlahan dan sebahagiannya diubah semula susunan muziknya untuk disesuaikan dengan konsert.
“Pada permulaan, saya tidak berapa yakin untuk beraksi dalam konsert ini kerana lagu itu dirakamkan lebih 20 tahun lalu, ditambah faktor usia.
“Jadi, kita berusaha mengikut kemampuan dan konsert ini sangat menarik kerana turut mengundang bekas vokalis Wings seperti Mel,” katanya.
Muss menggantikan Mel yang meninggalkan Wings pada 1995. Sebelum itu, Awie meninggalkan Wings pada 1993, namun menyertai semula kumpulan legenda tersebut pada 2000 hingga hari ini.
Walaupun sudah mencecah usia 54 tahun, Muss berkata, dia tetap menjaga stamina dengan banyak melakukan senaman bagi memastikan kelancaran semasa beraksi pada konsert itu nanti.
“Saya masih menerima undangan persembahan dan kerap buat latihan dan persediaan sebelum konsert,” katanya.










