ISU perpecahan dan kegagalan sesebuah kumpulan untuk bertahan bukan perkara baharu.
Malah, isu itu kerap menimpa apabila anggota mula mempunyai visi, misi atau pendapat berbeza, meskipun pernah bergerak di landasan sama.
Perkara itu turut berlaku kepada kumpulan VE yang menyaksikan pengunduran anggotanya, bermula Lah Ahmad, Damian dan Shah pada 2021.
Isnin lalu, VE sekali lagi berdepan isu sama apabila Adeep, Hakim, Cham dan ahli baru, Fakhiz mengambil keputusan menarik diri daripada kumpulan itu.
Punca? Banyak mata terarah kepada anggota asal, Zaf apabila dia mengeluarkan kenyataan, meminta empat anggota VE yang menyertai Gegar Vaganza 9 (GV9) untuk menggunakan nama lain selepas program tersebut tamat.
Kenyatannya itu seolah-olah memberi bayangan kumpulan itu sedang berdepan konflik dalaman yang sedang membarah.
Atas alasan itu juga, Adeep, Hakim, Cham dan Fakhiz nekad membuat keputusan untuk keluar daripada VE dan ‘memulangkan’ sepenuhnya ‘hak’ yang dituntut Zaf.
Meluahkan kesal atas apa yang berlaku, Cham pada sidang media, baru-baru ini mengakui, mereka sudah lama ‘makan hati’ dengan tindak-tanduk Zaf.
“Sebagai anggota lama VE, saya sudah terlalu lama memendam rasa. Dari dulu dia bersikap seperti ketua kumpulan. Dia hanya mahu orang lain ikut cakap dia dalam pelbagai aspek.
“Berapa kali asyik mahu bergaduh bila hendak buat sesuatu keputusan? Setiap anggota VE berhak luahkan pandangan dalam mencapai kata putus. Takkan nak ikut cakap dia sahaja?” katanya.
Cham juga mendedahkan, mereka tidak pernah berhajat menyertai GV9 sehinggalah Zaf memujuk.
Cham atau nama sebenarnya, Charma Adizalilullah Abdul Khalil, bagaimanapun tidak menyangka Zaf tiba-tiba membuat keputusan menarik diri pada saat akhir atas alasan mereka belum bersedia untuk bertanding.
“Zaf tarik diri pada saat akhir iaitu sehari sebelum sesi fotografi GV9 berlangsung. Dia minta kami semua buat perkara sama dan bagi alasan kumpulan ini belum bersedia untuk bertanding.
“Bagi saya, ia perkara yang tidak masuk akal kerana kami semua sudah menandatangani kontrak. Pengurusan juga sudah bersetuju dan aturkan semua. Malulah kami kalau saat akhir tarik diri,” katanya.
Cham juga mendakwa, tindakan Zaf yang mahu menukar pengurusan membuatkan mereka tidak mampu bertahan lagi.
“Dia ada cakap tidak mahu ganggu kami sepanjang GV9 setelah menarik diri, tetapi dia pula yang mahu kami tukar pengurusan.
“Pelik juga sebab kami selesa dengan Cloudworks Entertainment yang sudah lama menguruskan kami. Jadi, apa relevannya untuk pengurusan baharu?
“Selepas itu, saya mendapat panggilan daripada Astro yang memaklumkan, Zaf menghubungi mereka untuk meminta tukar nama penerima bayaran (konsert mingguan) kepada namanya.
“Kenapa pula tiba-tiba kena masuk akaun dia sedangkan yang terbabit GV9 adalah kami? Ini antara punca kenapa kami sepakat untuk tidak lagi ada kaitan dengan VE. Cukup-cukuplah,” dakwanya.
Sampai bila mahu bergaduh?
Perasaan kesal dan kecewa juga diluahkan Adeep Nahar yang menyifatkan, keputusan untuk keluar VE dibuat demi kebaikan dan kesejahteraan Zaf.
“Sampai bila mahu bergaduh? Kita semua sudah dewasa, sudah jadi bapa dan ada anak. Berhentilah jadi budak-budak, berhentilah jadi wira papan kekunci. Kalau rasa tidak puas hati, bersemuka.
“Bukan mudah untuk buat keputusan ini kerana sudah lama kami bersama VE. Malah, Zaf adalah sahabat kami.
“Tetapi, apabila sahabat sendiri bersikap begini, rasanya cukup kita letakkan noktah di sini.
“Saya, Hakim, Cham dan Fakhiz buat keputusan keluar daripada VE. Kami sudah cuba yang terbaik untuk membawa jenama VE, namun perjuangan ini terpaksa dihentikan di sini. Kami tidak mahu menjadi racun kepada kumpulan ini,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan meneruskan kerjaya muzik, Adeep berkata, mereka sudah menyusun beberapa perkara untuk memastikan langkah mereka tidak terhenti.
Kekal bersama sebagai sebuah kumpulan, bagaimanapun kata Adeep, mereka akan muncul dengan nama yang baharu, selain mempunyai perancangan untuk menghasilkan single.
Meskipun belum mengumumkan nama kumpulan, menerusi tinjauan di Instagram, keempat-empat mereka mula menukar nama akaun kepada @bukansesiapadow.










