Julia Farhana akur pilihan ibu, hitung hari naik pelamin - Utusan Malaysia

Julia Farhana akur pilihan ibu, hitung hari naik pelamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Julia Farhana Marin mengakui sedang sibuk membuat persiapan untuk bergelar suri hati kepada Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

Tanpa memperincikan tarikh hari bahagianya, Julia, 28, berkata majlis pernikahan mereka semakin hampir dan segala persiapan untuk hari bersejarah itu sudah hampir 90 peratus lengkap.

“Insya-Allah, tidak lama lagi. Persiapan untuk majlis perkahwinan juga sudah 90 peratus lengkap.

“Saya sebenarnya sangat sibuk dengan kerja dan pelajaran hingga untuk berjumpa bakal suami pun tidak sempat.

“Disebabkan terlalu sibuk, kami membahagikan tugas masing-masing. Alhamdulillah, keluarga banyak membantu kami membuat persiapan ,” katanya.

Ditanya detik perkenalan mereka, Julia berkata, dia mengenali bakal suaminya yang juga duda anak satu itu menerusi ibunya.

“Ibu sudah lama kenal dan memang berkenan menjadikannya sebagai menantu. Saya pula sebenarnya, belum merancang untuk menamatkan zaman solo kerana gembira dengan kehidupan yang sibuk berlakon dan menyambung pelajaran.

“Tetapi, setelah mengenalinya, dia sebenarnya okey, selain berbudi bahasa, baik hati, matang dan senang dibawa berbincang. Bagi saya, dia calon yang sesuai untuk dijadikan suami.

“Bukan mudah untuk mendapat pasangan yang benar-benar faham kesibukan saya. Apatah lagi, saya masih dalam fasa permulaan membina kerjaya. Tetapi, apabila mengenalinya, saya bersetuju dengan pilihan ibu,” katanya.

Che Muhammad Hafiz sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Lufya Omar pada November 2016 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Laana Haura. Perkahwinan mereka, bagaimanapun berakhir pada Jun 2020.

Menjawab keputusannya merahsiakan hubungan mereka, Julia berkata, dia dan bakal suami berbuat demikan sebagai menghormati ruang privasi masing-masing.

“Saya dan Hafiz sangat mengutamakan ruang privasi. Kami jarang berkongsi cerita peribadi kepada umum.

“Banyak orang tidak tahu tentang hubungan kami dan mungkin sebab itu, pelbagai spekulasi serta khabar angin timbul,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN