iamNEETA tak ‘jual’ isu depresi - Utusan Malaysia

iamNEETA tak ‘jual’ isu depresi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH sedekad menapak, iamNEETA mampu berbangga apabila genre pop rock alternatif yang diperjuangkan sejak 2011 terus mengukuhkan posisi mereka dalam industri muzik.

Buktinya, lagu mereka ampuh menghuni carta teratas dalam platform penstriman muzik Spotify, selain video muzik turut selesa apabila meraih jutaan tontonan.

Pernah senyap seketika dari radar muzik, kumpulan yang dianggotai Neeta Manishaa Manogaran atau Neeta selaku vokalis, Patrick Lofamia Anohada (Patrick/gitaris) dan Anas Zakwan Azhar (Anas/bassist) itu tetap serasi mengorak langkah.

Anas, 29, berkata, sejak empat tahun lalu, mereka menetapkan fokus untuk melunaskan misi masing-masing.

“Pada 2018, saya sambung belajar, manakala Patrick berkahwin dan Neeta pula menyertai Big Stage. Tiada kekangan antara kami, walaupun masing-masing mempunyai komitmen peribadi. Ketika pandemik, kami sempat hasilkan lagu Lampu Hijau,” katanya.

BUKAN SELEKTIF

Bagi Neeta, 28, tempoh rehat itu menjadi medan ujian sama ada kumpulan mereka masih diterima oleh kelompok pendengar.

“Lagu Sakit contohnya, masih didengar sehingga sekarang dan sudah mencecah 23 juta tontonan di YouTube. Mungkin kami tidak begitu terkenal, tetapi kami bersyukur peminat masih mendengar lagu yang kami hasilkan.

“Kami sentiasa menghasilkan produk baharu untuk terus meluaskan pengaruh dalam pasaran muzik tempatan,” katanya.

Kumpulan yang bernaung di bawah label NAR Records Sdn. Bhd.itu teliti dalam perancangan menghasilkan lagu. Setakat ini, mereka sudah merakamkan 13 lagu.

“Kami tidak selektif, walaupun ada jurang besar antara lagu lama dan baharu. Kadang-kadang apabila lagu baharu keluar, stesen radio ambil masa untuk putarkan. Jadi, tidak signifikan kami keluarkan lagu baharu dalam tempoh yang dekat,” katanya.

DEPRESI

Mengulas lagu baharu, Depresi, Neeta berkata, mereka bukan sengaja ‘menjual’ isu yang sedang hangat diperkatakan ramai.

Bertepatan usia kumpulan yang sudah mencecah 11 tahun, penghasilan lagu mereka juga perlu matang.

Baginya, iamNEETA perlu keluar dari kepompong lagu berkisar percintaan dan sudah tiba masa mereka memberi sokongan moral kepada masyarakat yang bergelut dengan depresi.

“Ia bukan sekadar lagu, sebaliknya kami turut menyuntik kesedaran kepada masyarakat. Kami berharap dapat membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha itu, jadi kami turut letakkan nombor telefon pada hujung video muzik.

“Pada mulanya, memang risau memikirkan penerimaan ramai. Takut orang cakap buat kami gimik semata-mata. Begitu juga pemilihan konsep video muzik, perlu difikirkan dengan teliti,” jelasnya.

Bagi Anas, lagu itu juga secara tidak langsung membantu masyarakat untuk lebih memahami tentang depresi, sekali gus peka dengan perubahan orang sekeliling.

“Menerusi lagu ini, kami berharap masyarakat akan sama-sama faham apa yang dialami penghidap depresi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN