Tidak matang, terburu-buru punca tertipu tawaran kerja - Utusan Malaysia

Tidak matang, terburu-buru punca tertipu tawaran kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usia yang masih mentah serta bersikap terburu-buru dipercayai menjadi punca ramai anak muda di negara ini terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja luar negara.

Perkara itu dikongsi Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim yang melihat dua kelemahan utama itu menjadikan golongan muda sebagai sasaran untuk diekploitasi di luar negara.

“Struktur sosial golongan berkenaan yang masih kecil juga menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk kelihatan hebat dalam kalangan rakan-rakan dengan mencari tawaran kerja di luar negara.

“Kelemahan pada profil itu adalah mereka percaya bulat-bulat tanpa sebarang prasangka. Lingkungan umur itu juga masih tidak cukup pengalaman sosial kerana kebanyakan mereka baru sahaja lepas zaman persekolahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kamal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penipuan tawaran kerja luar negara yang kebanyakan membabitkan remaja di tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Kemboja.

Sehingga hujung September lalu, akhbar ini melaporkan masih terdapat 174 mangsa sindiket penipuan yang masih terkandas di negara luar.

Mengulas lanjut, kata Kamal, jika dilihat kepada pola taburan umur mangsa adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tertarik dengan tawaran lumayan di media sosial.

Kebanyakan mangsa dihubungi oleh ejen, rakan atau kenalan lama yang menjanjikan tawaran kerja dengan gaji lumayan.

“Sepatutnya kita perlu meletakkan sedikit kecurigaan terhadap rakan. Bukan tidak boleh percaya, tetapi curiga itu perlu ada sedikit.

“Kalau diri sendiri tidak boleh buat keputusan, ibu bapa perlu membantu membuat semakan terlebih dahulu sama ada tawaran kerja itu benar-benar wujud atau sebaliknya,” ujarnya.

Berkongsi tips mengenal pasti sama ada tawaran kerja itu sah atau tidak, Kamal berkata, perkara pertama yang perlu dilihat adalah jawatan yang ditawarkan hanya wujud di atas kertas dan tidak didukung oleh tawaran rasmi.

Selain itu, katanya, pekerjaan yang ditawarkan kelihatan mencurigakan dengan ketiadaan pengesahan atau dokumen menyakinkan daripada pihak berwajib negara berkenaan.

Oleh itu, tegasnya pencari kerja seharusnya melakukan semakan dengan Kementerian Luar Negara untuk pengesahan dan mengelakkan diri daripada terpedaya.

Bagi pihak kementerian pula, disarankan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menjalin hubungan dengan Kementerian Sumber Manusia negara luar untuk semakan dapat dibuat sama ada tawaran tersebut sahih atau datang daripada sindiket buruh paksa moden.

Terkandas sebab masalah kewangan

Kebanyakan mangsa yang masih terkandas di luar negara adalah disebabkan masalah kewangan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, hal ini kerana kos pengurusan untuk pulang ke Malaysia bagi setiap seorang menelan perbelanjaan antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Ada di antara yang mangsa yang sudah diselamatkan, ada juga yang berjaya melarikan diri dan kini tinggal di balai polis berdekatan.

“Namun, ada yang mengalami kesukaran untuk pulang kerana keluarga mengalami kekangan kewangan untuk proses penghantaran pulang yang agak tinggi. Majoriti yang dapat pulang kerana keluarga mampu menghantar wang untuk membayar denda tinggal lebih masa dan membeli tiket kapal terbang,” katanya.

Wujudkan sekatan bekerja di luar negara

Memberi cadangan untuk mengekang permasalahan itu pada masa akan datang, Hishammudin berkata, kerajaan perlu wujudkan sekatan perjalanan ke tiga negara terlibat iaitu Vietnam, Laos dan Myanmar terhadap golongan berisiko.

Gesaan itu dibuat kerana katanya, kes penipuan membabitkan tawaran kerja luar negara akan terus berlanjutan dan merisikokan lebih ramai anak muda pada masa akan datang.

“Macam mana bagus kita gunakan sistem media, saya pasti mesti akan ada sahaja yang akan tertipu lagi dengan sindiket.

“Akan ada sahaja yang pergi lagi kerana terpedaya dengan janji-janji manis dan tawaran gaji lumayan. Oleh itu, saya sarankan supaya wujudkan sekatan untuk golongan sasaran seperti anak muda berusia 35 tahun ke bawah yang ingin ke negara-negara berisiko.

“Contohnya, jika ada anak muda yang berusia 18 tahun ingin ke tiga negara tersebut, kerajaan perlu melakukan semakan seperti surat tawaran kerja dan sebagainya. Jika syarikat yang menawarkan mereka tawaran kerja itu tidak berdaftar dengan kementerian sumber manusia (di negara tersebut), sekat mereka,” cadangnya.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, sekatan itu tidak terpakai sekiranya remaja itu pergi bercuti bersama keluarga atau ditemani ahli keluarga yang lebih dewasa.

Mengulas lanjut, katanya, sekatan itu perlu sehingga kes penipuan tersebut dapat ditangani sepenuhnya supaya anak muda tidak terus dieksploitasi oleh pasaran gelap yang sekali gus memusnahkan masa depan golongan berkenaan.

Didera jadi buruh paksa

Dalam usaha untuk membantu sebanyak mungkin mangsa yang diperdaya sindiket, MHO berjaya menghubungi beberapa mangsa, salah seorangnya yang terkandas di Myanmar.

Melaui perbualan telefon, mangsa yang tidak didedahkan identiti itu memberitahu, dia pada awalnya telah diperdaya oleh rakan lama yang mengajaknya untuk bekerja di Thailand.

Katanya, rakan lamanya itu menabur kata-kata manis dan menjanjikan pendapatan lumayan di negara Gajah Putih itu.

Dia yang terpengaruh, kemudiannya pergi ke negara itu seorang diri menaiki penerbangan dari Malaysia sebelum dijemput oleh rakannya itu.

“Pada malam harinya, ada sebuah kereta yang menjemput kami. Saya ingat mereka sekadar membawa saya bersiar-siar sekitar Thailand.

“Sehinggalah kami melepasi satu jambatan kecil di sebuah sungai, saya mula rasa pelik apabila melihat nombor plat kereta di jalan juga sudah lain. Ketika itu, baru sedar saya sudah dibawa ke Myanmar,” katanya.

Dia yang dibawa ke negara itu sejak Mac lalu mengakui, dipaksa bekerja di sebuah pusat panggilan dan dilayan seperti buruh paksa.

Mangsa perlu mencapai sasaran yang diberikan dan jika tidak dicapai, mangsa akan dipukul di dalan sebuah bilik gelap.

Tidak hanya itu, mangsa turut dikenakan renjatan elektrik dan dipaksa memikul sebuah tong berisi air sambil naik dan turun tangga sebanyak 100 kali sebagai hukuman.

“Latihan askar pun saya rasa tidak seteruk ini. Kami juga tidak dibayar gaji jika tidak capai sasaran. Makan pun hanya diberi sekali sehari.

“Cuti pun tiada. Kami dipaksa bekerja setiap hari selama 16 jam. Jika sakit, kami diberi ubat dan disuruh teruskan kerja. Jika enggan, mereka akan pukul,” jelasnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×