TIDAK semua artis bertuah dilimpahi kemewahan dan kesenangan hasil usaha mereka membina kerjaya dalam bidang seni.
Suratan takdir tiada siapa mampu menduga. Meskipun meniti hidup dalam kepayahan, ujian itu tidak mematahkan semangat penyanyi, Zaiton Sameon, 66, untuk mencari bahagia.
“Saya tiada apa-apa. Tiada rumah, harta, ibu bapa dan anak. Adik-beradik ramai, tetapi saya tidak mahu susahkan mereka.
“Alhamdulillah, Allah SWT hadirkan anak angkat, Che Sikah Ismail yang saya kenali sejak 11 tahun lalu.
“Che Sikah juga seperti saya yang sudah kehilangan ibu dan bapa. Dia yang menjaga saya selama ini, susah untuk berjumpa orang seperti Che Sikah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kad Orang Kurang Upaya (OKU) di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penyanyi yang terkenal sekitar era 1980-an itu mengalami Trauma Kecederaan Otak (Traumatic Brain Injury) akibat kemalangan jalan raya pada 1990 yang mengorbankan anak lelakinya, Azirwan Abu Bakar.
“Saya telah membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan mengalami masalah tersebut. Ia memberi kesan kepada ingatan saya.
“Tetapi, saya masih berupaya untuk ingat lirik lagu. Namakan sahaja lagu apa, Inggeris, Cina atau Arab? Saya masih mampu ingat,” jelasnya.
Zaiton berkata, dia juga bersyukur selepas bertahun-tahun membuat permohonan, akhirnya diberikan status OKU.
Status berkenaan membolehkannya mendapatkan bantuan, selain memudahkan proses memiliki rumah sendiri.
“Sebelum ini, saya pernah memohon untuk mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), namun ditolak sebab tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Diikutkan, memang saya sedih. Orang lain dapat memiliki rumah, tetapi kenapa tidak saya?
“Saya mahu menangis, tetapi sudah tidak ada air mata,” luahnya.
Berkongsi tentang kehidupan, Zaiton memaklumkan, dia sudah jarang menerima tawaran menyanyi dan hanya mengharapkan hasil perniagaan menjual rendang untuk menampung hidup.
“Saya kini menyewa dengan anak angkat di Ampang, Selangor. Disebabkan tiada pendapatan tetap, saya hanya mengharapkan duit hasil menjual rendang untuk membayar sewa sebanyak RM800 dan keperluan hidup lain,” ujarnya.
Diperlekeh, dipandang hina
Bercerita lanjut, Zaiton sedih apabila ada pihak yang memperlekeh dan merendah-rendahkannya kerana masalah kesihatan yang dialami.
Kata Zaiton, dia akur sudah tidak seperti dahulu, namun terkilan apabila kekurangannya dijadikan bahan sendaan.
“Ada rakan industri memperlekehkan saya, menghasut penganjur acara dengan mengatakan saya bermasalah dan sudah tidak boleh menyanyi seperti dahulu. Tentunya saya sedih diperlakukan begitu,” katanya.
Zaiton turut mendedahkan, ada penganjur mengambil kesempatan apabila tidak melunaskan bayaran persembahan nyanyian kerana beranggapan, dia pelupa.
“Mereka ingat saya lupa tentang bayaran yang sepatutnya diberikan. Saya tidak pernah lupa.
“Saya sedih diperlakukan sebegini. Namun, saya akur inilah ketentuan hidup yang perlu saya jalani,” ujarnya.










