Suami guna ‘orang dalam’ lenggahkan proses perceraian - Utusan Malaysia

Suami guna ‘orang dalam’ lenggahkan proses perceraian

Bagi Riena perceraian bukanlan satu pengakhiran sebaliknya merupakan satu permulaan untuknya dan anak-anak merasai kehidupan baharu yang lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kehidupan berumah tangga, ujian sentiasa hadir. Bak air yang mengalir mengempas batu-batu besar di sepanjang sungai.

Dugaan paling hebat ialah ketiadaan bersefahaman, seterusnya memunculkan bibit-bibit pergaduhan dan akhirnya membawa kepada perceraian.

Paling malang, jika berlaku perpisahan dengan cara tidak betul.

Ini termasuk isteri digantung tidak bertali apabila si suami meninggalkan isteri begitu sahaja tanpa sebarang lafaz cerai.

Berdepan situasi ini, kebanyakan wanita tidak tahu apa yang perlu dilakukan disebabkan tiada ilmu.

Ada yang memilih untuk terus berdiam diri dan memendam rasa.

Lebih malang mereka tidak kukuh dari segi kewangan.

Ada beberapa faktor menyebabkan lelaki sanggup membiarkan isteri digantung tidak bertali.

Antaranya, ego, rasa dendam dan marah.

Dek kerana rasa tercabar si isteri memohon cerai, suami membiarkan sahaja isteri turun naik mahkamah, tanpa berusaha mempercepatkan proses perceraian.

Minggu ini saya kongsikan kisah Riena (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa ego suami menyebabkan dia digantung tidak bertali.

Lebih memburukkan keadaan, apabila suami menggunakan ‘orang dalam’ untuk sengaja menangguhkan permohonan cerai.

Pun begitu, dia tidak pernah patah semangat walaupun terpaksa melalui proses sukar semasa tempoh bercerai.

Hampir enam tahun turun naik mahkamah memperjuangkan hak, kebenaran akhirnya berpihak kepada Riena.

Ibu kepada dua anak berusia 8 dan 12 tahun itu sah bercerai dengan Ahmadi Safwan (bukan nama sebenar) pada 13 Februari tahun ini.

Menceritakan sepanjang berurusan, bukan sahaja masa terbuang, malah wang ringgit habis apabila terpaksa membayar kos guaman dan perjalanan pergi balik ke mahkamah.

Namun segala ujian ditanggung tidak pernah menjadikan Riena lemah dan patah semangat, sebaliknya semakin kuat.

Riena yang saya temui baru-baru ini mengakui dia kini lebih bahagia selepas bercerai dengan suami.

Hidupnya dan anak-anak lebih teratur, malah dia lebih bebas membuat keputusan sendiri.

Mengimbas kisah enam tahun lalu, dalam tempoh digantung tidak bertali, dia menanggung derita yang amat dalam.

Hendak dikatakan masih isteri orang, hakikatnya kehidupannya seperti ibu tunggal.

Segala-gala makan minum, bil dan perbelanjaan sekolah anak-anak ditanggung sendirian.

Sudah lama dia tidak tinggal sebumbung dengan suami yang berkahwin lain dalam tempoh itu.

Dia sudah penat turun naik mahkamah bagi menyelesaikan rumah tangganya, tetapi suami masih enggan memberi kerjasama.

Ego dan sikap keras kepalanya terus menguasai diri.

Ketika kes di bawa ke Mahkamah Syariah Gombak suami mengaku masih sayangkan isteri dan anak-anak.

Akibatnya, hakim yang juga kenalan suami meminta mereka pulang untuk mencari penyelesaian.

Kecewa dengan keputusan mahkamah di daerah tempat tinggalnya, Riena membawa kes ke Mahkamah Syariah Kajang untuk tuntutan fasakh.

Malangnya masih ditolak kerana suami tetap bertegas masih sayangkan keluarga dan enggan menceraikannya.

Suami terus berbohong bahawa hubungan mereka berada dalam keadaan baik.

Akhirnya hakim meminta Riena bertemu kaunselor bagi memperbaiki hubungan.

Penolakan kali kedua membuatkan Riena sangat-sangat kecewa dan tertekan.

Mujurlah Riena ada keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

Ditakdirkan Allah, Riena diperkenalkan dengan seorang sahabat lama adiknya yang bekerja di mahkamah syariah di utara tanahair.

Riena dinasihatkan membuat permohonan hakam di mahkamah syariah.

Sebelum ini Riena langsung tidak ada ilmu mengenainya.

Dengan pertolongan sahabat adiknya itu, dia mengemukakan permohonan hakam.

Dalam tempoh kurang tiga bulan, hakim memutuskan permohonannya berjaya walaupun tanpa kehadiran suami atau mendengar keterangannya.

Akui Riena tujuan dia berkongsi kisahnya bukan mahu mengaibkan sesiapa apalagi mahu menuding jari kepada pihak tertentu.

Sebelum mengakhiri perbualan, Riena menasihatkan wanita agar sedar tentang kedudukan dan hak mereka.

Nasihat dan pandangan mereka yang lebih pakar amat diperlukan bagi mencari penyelesaian terbaik.

Bagi Riena perceraian bukanlan satu pengakhiran sebaliknya merupakan satu permulaan untuknya dan anak-anak merasai kehidupan baharu yang lebih baik.

Dia juga tidak pernah melihat perceraian itu sesuatu yang perlu dipandang negatif sedangkan banyak hikmah disebaliknya.

Daripada merintih, merana dan membuka aib pasangan, adalah lebih baik mencari bahagia sendiri.

Riena juga sentiasa bersangka baik dengan Allah kerana semua orang berhak bahagia.

Diri sendiri yang memilih jalan, maka diri sendiri jugalah yang mewarnakan atau memadamkan keindahan jalan dilalui.

Nasihat Riena lagi, kepada suami dan isteri yang masih dan bakal melayari bahtera perkahwinan, sentiasalah mengamalkan sikap kebersamaan dan kesefahaman.

Apabila ingin bahagia, ia menuntut kebersamaan untuk menjayakan, demikian juga dengan hal membabitkan perceraian. Ia sangat-sangat diperlukan.

Perasaan dendam dan sakit hati, tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya mendatangkan keburukan terutama kepada anak-anak.

Walaupun syarak membenarkan seorang suami untuk melafazkan talak atau menceraikan isterinya atas sebab-sebab tertentu, akan tetapi yang terbaik adalah mencari jalan penyelesaian terlebih dahulu.

Sebagaimana dalam sebuah hadis, Nabi Muhamad SAW bersabda yang bermaksud:

Perkara halal yang paling dibenci pada sisi Allah ialah talak. (Riwayat Abu Daud).
Meskipun talak dibenarkan oleh syarak, tetap menjadi perkara yang dibenci. Apabila sudah tiada lagi cara dan jalan berdamai, maka perceraian menjadi pilihan terakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×