Shila Amzah hilang suara, alami jangkitan telinga - Utusan Malaysia

Shila Amzah hilang suara, alami jangkitan telinga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Shila Amzah mengakui sedikit kecewa apabila gagal memberikan persembahan terbaik disebabkan berdepan masalah kesihatan sebelum beraksi di pentas akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), malam tadi.

Katanya, dia mengalami jangkitan pada bahagian telinga sejak Rabu lalu dan hilang suara sebelum membuat persembahan pada konsert akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Sejak Rabu lalu, telinga saya ‘pekak’ sebelah dan membengkak disebabkan jangkitan. Ketika sesi latihan pada hari pertama, keadaan saya memang tidak okay.

“Alhamdulilah, hari berikutnya (Sabtu), keadaan mula baik ketika saya membuat persembahan pada Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-37. Saya masih boleh menyanyi dua lagu.

“Saya tidak tahu, ‘sesuatu’ berlaku dan apabila balik ke sini (MBSA), saya rasa tidak ‘sedap’. Ahad pagi pula, saya hilang suara dan tidak boleh berbuat apa-apa kecuali teruskan juga persembahan,” katanya.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah tampil dengan persembahan luar biasa apabila beraksi di pentas dipenuhi air ketika menyanyikan medley lagu Tak Ada Logika dendangan asal Agnes Monica dan Secret Love Song yang dipopularkan Little Mix dan Jason Derulo.

Meskipun permintaannya untuk beraksi di pentas dipenuhi air ditunaikan pihak produksi, penyanyi lagu Patah Seribu itu tetap ralat kerana dia sepatutnya tampil dengan kualiti vokal lebih baik.

“Selama seminggu, saya sudah susahkan pihak produksi dan abang props demi merealisasikan impian saya.

“Saya dapat konsep persembahan seperti yang dihajatkan. Namun, dari segi vokal, sepatutnya saya boleh berikan yang lebih baik.

“Namun, semua itu berbalik kepada rezeki. Alhamdulillah, itu persembahan terbaik daripada saya dengan keadaan kesihatan malam tadi,” luahnya.

Shila akur mengakhiri perjuangannya di tempat ketiga dengan meraih markah 76.02 peratus. Hasil kemenangan itu, Shila membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya