TIDAK kelihatan raut wajah kepenatan mahupun lelah mengadakan persembahan selama dua jam di depan khalayak.
Penyanyi ini memberikan 100 peratus kudrat agar tiada kesilapan dan kelemahan sepanjang mempersembahkan seleksi 17 lagu balada dan irama tradisional.
Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), minggu lalu, berlangsung dengan cukup meriah menerusi empat segmen, termasuk lagu medley dan duet bersama Datuk Awie.
Namun, ketika membawakan lagu Ratuku, Siti dilihat mengubah nada asal pada bahagian korus lebih rendah sehingga ia kedengaran seperti lagunya sendiri.
Seperti menyembunyikan sesuatu yang membelenggu pernafasannya, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui, sejarah Covid-19 yang menjangkitinya pada Ogos lalu, sedikit sebanyak memberi kesan terhadap persembahannya.
Sejak itu, dia kerap mengalami batuk, namun bersyukur keadaan itu tidak mengganggu persembahan yang dijayakan.
Malah, akui Siti, semangat ditunjukkan penonton meresap ke dalam dirinya untuk mempamerkan persembahan yang memberikan kepuasan kepada semua yang hadir.
“Kalau ditimpa sakit, batuk dan selesema, Siti akan mula risau. Covid-19 juga menyebabkan Siti kerap batuk berpanjangan dan sampai hari ini, masih lagi terasa.
“Siti berusaha mendapatkan semula kualiti suara, terutama melibatkan nada tinggi dengan menjaga pemakanan dan banyakkan latihan meningkatkan stamina seperti sukan Muay Thai dan berenang di rumah,” katanya pada sidang akhbar selepas menjayakan persembahan.
KESAYANGAN RAMAI
Ada satu sebab kenapa Siti disayangi ramai sampai saat ini. Karakter ikhlas dan pandai mengusik hadirin jelas terpancar semasa Siti turun dari pentas menyapa penonton.
Antara peralihan lagu, Siti dilihat profesional dengan berkongsi cerita dan pengalamannya.
Secara keseluruhannya, Siti melahirkan kepuasan kerana dapat memberikan persembahan terbaik dengan latihan rapi.
“Ini adalah persembahan eksklusif bagi mengutip dana untuk Yayasan NurJiwa dan penganjuran kali ini sangat istimewa sebab mendapat respons baik daripada orang ramai.
“Jualan tiket juga sangat memberangsangkan bagi kedua-dua malam. Susunan lagu ada yang dibawa dalam versi asal dan diberikan nafas baharu di bawah pimpinan pengarah muzik, Aubrey Suwito,” kongsinya.
KEMUNCULAN AWIE GAMAT SUASANA
Parameter persembahan penyanyi nombor satu negara naik mendadak selepas kemunculan Datuk Awie yang memeriahkan suasana. Apatah lagi, Siti sengaja memilih lagu irama tradisional untuk berduet dengan legenda rock tanah air itu.
Lagu Pantun Budi begitu memikat halwa telinga, malah Awie mampu membawakan lagu tersebut sesuai dengan lenggok penyanyi rock.
Pemilihan vokalis Wings itu menjadi tanda pengenalan kerana Siti dan Awie bakal mengeluarkan single baharu berentak irama tradisional.
Bagaimanapun, satu aspek yang tidak boleh dikawal dan kelihatan agak mengganggu adalah keghairahan penonton fanatik yang terjerit-jerit dari awal sehingga akhir persembahan.
Begitu juga lokasi sidang akhbar yang bertembung dengan tempat sesi bertemu peminat hingga menjadi isu yang diheret dalam ciapan Twitter.
Dalam hal ini, pengurusan situasi pada saat akhir perlu ditangani dengan berkesan supaya semua pihak berpuas hati.










