LEBIH 15 tahun tidak bertentang mata dek sengketa berpanjangan sehingga membawa kepada episod bermasam muka, hati Azwan Ali akhirnya terbuka untuk meleraikan segala kekusutan.
Berpegang pada prinsip air dicincang tidak akan putus menyebabkan selebriti kontroversi itu ingin melupakan episod hitam dengan abang kandungnya, Datuk Seri Azmin Ali kerana segala yang terjadi ada hikmahnya.
Apatah lagi, mendengar ‘bisikan’ ketika bermimpi arwah ibu menyebabkan Azwan yang mesra disapa sebagai Diva AA melupakan hasrat bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Gombak bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Masa itu, saya terjaga dari tidur sekitar pukul 3 pagi dan terkejut seketika sebab mimpikan arwah Mak Tom. Arwah seolah-olah berpesan kepada saya supaya jangan bertanding (PRU15).
“Saya terfikir sejenak, kenapa hendak lawan abang sedangkan kami adalah adik-beradik kandung,” katanya ketika dihubungi selepas proses penamaan calon PRU15, kelmarin.
Pengacara sensasi itu mendapat liputan meluas media tempatan selepas mengumumkan tidak bertanding sejurus tiba di pusat penamaan calon bagi Parlimen Gombak di SMK Sungai Pusu.
Sehari sebelum itu, Azwan, 56, menyatakan hasrat untuk bertanding dan yakin mampu menewaskan Azmin.
Biarpun menarik diri, Azwan menzahirkan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Katanya, dia melihat kredibiliti figura itu untuk memakmurkan penduduk Gombak sekiranya berjaya menang kerusi panas tersebut.
JADI BAHAN KECAMAN
Penarikan diri pada saat-saat akhir selepas terdengar bisikan suara ibu, turut menjadi bahan kecaman netizen di media sosial.
Azwan berkata, dia sangat terasa hati diperli netizen sehingga ada yang menuduhnya sebagai ‘propa’, melakukan gimik dan drama air mata.
“Saya ingin tegaskan kepada semua supaya hentikan cemuhan dan cacian yang kurang ajar. Sebabnya, saya mimpikan arwah ibu. Cuba anda kalau berada di tempat saya dan orang lain mengutuk sedemikian?
“Saya nekad menutup semua kisah Azmin dalam rantaian media sosial dan tidak mahu sentuh lagi apa-apa isu berkaitan dirinya.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan dia lagi dan setiap yang berlaku ada hikmahnya. Anggaplah penarikan diri ini demi menjaga ukhuwah adik-beradik dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Menyentuh sama ada dia ingin bersemuka dengan Azmin sekiranya diberikan peluang, sudah tentu dia mengharapkan keajaiban itu berlaku.
Azwan berkata, kakak iparnya, Datin Seri Shamsidar Taharin ada menghubungi dan mereka bersembang lama kerana hubungan yang
sangat baik sebagai sebuah keluarga.
Dia turut tersentuh hati selepas Shamsidar menjemputnya datang ke rumah.
“Saya anggap ini sebagai penghargaan, namun belum tahu lagi bila saya akan berjumpa Azmin. Kalau bertemu, sebagai adik, sudah tentu saya yang akan meminta maaf
terlebih dahulu.
“Kakak ipar terlalu baik dengan saya. Dia tidak memujuk saya supaya jangan bertanding. Cuma, saya terlalu menghormatinya sebab sudah enam tahun kami tidak berhubung ,” katanya.
KARIER DAN POLITIK
Mengulas apakah penarikan diri menandakan minatnya terhadap politik sudah berakhir, jelas Azwan, kecenderungannya tidak pernah menemukan noktah, malah menanam cita-cita untuk menjadi senator seperti Ras Adiba Radzi.
“Politik itu luas dan saya bebas untuk bercakap tentang mana-mana ahli politik di negara ini,” katanya.
Azwan yang berbakat dalam lakonan juga memaklumkan, dia terpaksa menolak tawaran beberapa drama kerana menuntut masa yang lama di set penggambaran.
Selain faktor umur, Azwan juga mahu menghabiskan banyak masa di rumah kerana memikirkan bukan zamannya lagi untuk bergiat aktif dalam bidang seni.
“Kali terakhir masa Mei lalu, terlajak penggambaran sehingga pukul 2 pagi baru balik rumah. Disebabkan itu, saya rasa berat untuk ambil tawaran berlakon drama dan berilah peluang kepada bakat baharu,” ulasnya.











