Saringan penyakit mata ke rumah warga emas - Utusan Malaysia

Saringan penyakit mata ke rumah warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM khidmat masyarakat penjagaan kesihatan mata mampu menyuntik semangat kesukarelawanan pada komuniti luar untuk turut sama berbakti dan memahami kepentingan penjagaan mata.

Ia bermatlamatkan penglihatan jelas adalah hak mutlak setiap insan. Sama ada penglihatan itu dapat dirawat dan dibantu dengan cermin mata, kanta lekap atau melalui pembedahan, ia harus disediakan, dipermudahkan dan disesuaikan untuk semua.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Datin Haliza Abdul Mutalib berkata, modul Kembara Katarak UKM diwujudkan pada 2019 berdasarkan pengalaman bertahun-tahun beliau meli­batkan diri dalam khidmat ko­muniti Program Optometri dan Sains Penglihatan di fakulti ini.

“Kebanyakan program adalah berkaitan dengan penjagaan dan pemeriksaan mata serta pemberian cermin mata percuma di seluruh negara dengan menggunakan bas Klinik Optometri Bergerak sejak 2012.

“Khidmat Klinik Optometri Bergerak ini disesuaikan dengan keadaan semasa dan juga program yang ­dija­lankan. Ada kalanya hanya saringan penglihatan ringkas dan pemeriksaan mata kom­prehensif dijalankan dan untuk sesetengah program, pembikinan cermin mata turut dilakukan serta preskripsi cermin mata gelap juga diberikan.

“Untuk kes-kes khas seperti pemasangan kanta lekap terapeutik dan klinik optometri bergerak juga mampu menyediakan per­khid­matan ini. Program khidmat masyarakat ini telah menggabungkan seluruh tenaga pelajar, klinisyen, pensyarah, doktor dan jururawat serta sukarelawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, pemeriksaan mata secara komprehensif bukan sahaja membabitkan ujian penglihatan untuk mendapatkan kuasa refraksi cermin mata, tetapi juga melibatkan pemeriksaan mata primer seperti pemeriksaan reaksi pupil, kejulingan, rabun warna, stereopsis, fungsi binokular, tekanan intra okluar dan juga saringan penyakit mata umum seperti diabetes retinopati dan katarak.

PELAJAR DIDEDAHKAN KHIDMAT SARINGAN MATA

Sehubungan itu, kongsi Dr. Haliza, pada setiap tahun, pelajar optometri didedahkan dengan Operasi Khidmat Masyarakat Optometri (OPKOM) yang merupakan program masuk kampung bertujuan untuk menghayati budaya sesuatu kawasan sambil melakukan aktiviti pemeriksaan mata selama dua hari.

Salah satu program terbesar yang diadakan adalah program OPKOM 29 di Kg. Lonek di Negeri Sembilan diadakan pada Mei lalu melibatkan 100 pelajar tahun satu hingga empat prasiswazah Optometri UKM.

Beliau berkata, para pelajar telah mengendalikan aktiviti saringan penyakit mata dan pemeriksaan optometri komprehensif di samping didedahkan dengan cara, gaya hidup dan budaya Adat Perpatih bersama keluarga angkat.

“Sebanyak 200 pasang cermin mata secara percuma telah diberikan kepada penduduk untuk mengatasi rabun jauh dan dekat. Mereka yang mempunyai masalah penyakit mata telah dirujuk ke klinik atau hospital berdekatan.

“Program ini juga telah melibatkan kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM dengan aplikasi MyMata telah dicuba uji untuk menyaring penyakit mata seperti katarak,” katanya.

SARINGAN MATA KEPADA WARGA EMAS

Ujar Dr. Haliza yang juga pakar optometris dan kanta lekap, rumah warga emas di Rumah Seri Kenangan Cheras telah dipilih oleh Fakulti Sains Kesihatan UKM bersama kumpulan penyelidik MyMata untuk menyaring mata lebih 200 orang warga emas di sini.

“Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Wan Mimi Diyana Wan Zaki bersama yang lain telah mengenal pasti 23 warga emas mempunyai masalah penglihatan dan disyaki mempunyai katarak.

“Mereka kemudian telah diuruskan untuk menjalani pemeriksaan awal katarak bagi mengenal pasti jika sesuai menjalani pembedahan katarak secara maraton di Hospital Canselori Tuanku Mukhriz (HCTM) di bawah Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan UKM.

“Seramai 16 warga emas telah didapati sesuai untuk menjalani pembedahan katarak ini secara maraton. Satu tarikh telah ditetapkan untuk membawa mereka ke HCTM semula selama tiga hari.

Pada hari pertama, prapemeriksaan sebelum pembedahan dilakukan dan hari kedua, pembedahan katarak berlangsung secara maraton,” katanya.

Kata Dr. Haliza, pembedahan tersebut dilakukan oleh tiga Pakar Oftalmologi yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah. Setelah selesai, mereka diperiksa semula sebelum dicaj keluar wad dan dihantar pulang ke Rumah Seri Kenangan Cheras menaiki bas HCTM.

“Proses selama tiga hari itu dinamakan sebagai Kembara Katarak UKM. Ubat-ubatan bersesuaian dan cermin mata gelap turut diberikan serta janji temu susulan telah dijadualkan pada minggu pertama dan minggu keenam mengikut kesesuaian.

“Pada minggu keenam, selepas pesakit telah disahkan tahap keadaan okular yang sihat dan memuaskan, mereka akan dibawa untuk menjalani pemeriksaan refraksi mata di Klinik Optometri UKM Kuala Lumpur. Di sini, cermin mata akan diberikan jika diperlukan dan bersesuaian dengan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN