WALAUPUN masih kelihatan kerusi kosong pada bahagian belakang Dewan Filharmonik Petronas (DFP), ia bukan ukuran sama ada Konsert Fabulous Friday: Ruth Sahanaya berjaya atau gagal.
Buktinya, penyanyi yang berasal dari Bandung, Jawa Barat ini mampu memberikan persembahan terbaik sehingga memukau hadirin yang hadir selama dua jam perjalanan konsert.
“Sedikit atau banyak penonton yang hadir bukan ukuran persembahan sukses atau tidak.
“Soalnya, adakah saya mampu menyanyi dengan baik? Itu sudah buat saya cukup gembira dan semua yang hadir dapat ikut menyanyi bersama.
“Saya bersyukur kerana masih ada peminat yang datang dan menghargai bakat ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjayakan persembahan di lokasi berprestij yang mampu memuatkan 920 penonton itu.
Penyanyi lagu Kaulah Segalanya yang popular sejak 1980-an, pada masa sama memanjatkan kesyukuran kerana dapat kembali menjejakkan kaki ke Malaysia selepas kali terakhir datang, empat tahun lalu.
Katanya, serangan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu membantutkan pergerakan dan hasratnya ke sini, sementelah Malaysia ibarat rumah keduanya.
“Sudah pasti perasaan saya amat gembira sekali dan ini adalah kali kedua saya berada di DFP. Rasa bangga dan ini adalah penghormatan buat saya yang masih diterima rakyat Malaysia,” katanya.
USIA BUKAN HALANGAN
Menjengah usia 56 tahun bukan halangan buat Ruth mendedikasikan persembahan memukau dengan capaian nada-nada tinggi seperti pada lagu Keliru.
Persembahan yang diiringi pemuzik khas diterbangkan dari Indonesia itu membuatkan hadirin terpaku dengan hela nafas panjang tatkala Ruth mengulangi baris lirik: ‘Aku cinta kepadamu, Aku rindu dipelukmu’.
Disoal apakah rahsia penerima anugerah Platinum Berkembar Tiga bagi album Kaulah Segalanya sehingga mampu mengekalkan momentum persembahan sedemikian, katanya, kerap berlatih dan banyak beristirehat menjadi kunci utama.
Katanya, dia tidak mengambil masa begitu lama untuk menjalani latihan kerana pemuzik yang mengiringi persembahan sudah biasa dengan lagu yang dibawakannya selama ini.
Namun, katanya, hanya berlaku beberapa perubahan pada susunan lagu yang dipilih berdasarkan koleksi lebih 20 album yang pernah dihasilkan sepanjang bergelar penyanyi.
“Ada lagu yang tidak dinyanyikan kerana pernah saya bawakan ketika persembahan sebelum ini.
“Jadi, saya memilih untuk menyampaikan lagu yang tidak berapa hits tetapi liriknya indah dan bagus, sekali gus dapat membuai memori penonton.
“Konsepnya adalah lagu yang dapat mengajak penonton nyanyi bersama saya,” katanya.
LAGU MEDLEY
Kemuncak persembahan Ruth yang pernah meraih Jualan Album Indonesia Terlaris, Anugerah Muzik Indonesia (AMI) menerusi album Kasih pada 1999, semasa menyampaikan medley lagu hits
Mencintaimu dendangan asal Kris Dayanti, Percayalah (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Terlalu Cinta (Datuk Seri Rossa).
Lagu medley terakhir Warna (Datuk Sheila Majid) paling meriah sehingga membangkitkan semangat penonton untuk berdiri dan menyanyi senada seirama bersama Ruth.
Ditanya mengapa medley tersebut menjadi pilihan, jawab ibu dua anak ini, dia sering menampilkan gimik dalam setiap persembahan yang dijayakan.
“Empat tahun lalu, saya buat gimik dengan medley lagu dari penyanyi lelaki seperti Afgan, Cakra Khan, Marcell dan Glenn Fredly.
“Sudah tentu, saya perlu tampilkan kelainan pada kali ini. Idea tercetus untuk menyampaikan lagu Krisdayanti dan Rossa yang memang dikenali di sini, manakala Sheila dan Siti adalah rakan lama saya,” jelasnya.
Konsert tersebut turut dihadiri rakan artis dari Malaysia seperti Sheila, Datin Seri Camelia, Misha Omar dan Noryn Aziz.
Bagaimanapun, Ruth tidak mampu menyembunyikan emosinya ketika membawakan lagu Thankful.
Air matanya mengalir lantaran kerinduan terhadap ibunya yang dianggap sebagai insan luar biasa kerana sudah memberikan sepenuh kasih sayang dan didikan terbaik.
“Lagu ini bercerita mengenai terima kasih dan apa yang saya miliki hari ini adalah berkat didikan orang tua, terutama ibu yang menjaga saya dengan baik,” katanya.
Mengulas perkembangan karier, Ruth berkata, dia dan pihak pengurusan sedang dalam perancangan untuk konsert solo di Jakarta, tahun depan.
Ini kerana kali terakhir impian itu disempurnakan di Titan Center, Tangerang pada Februari 2020 untuk meraikan 33 tahun perjalanannya dalam industri muzik.











