Nabi SAW dari tahun 8 hijrah hingga wafat - Utusan Malaysia

Nabi SAW dari tahun 8 hijrah hingga wafat

Masjid Namirah dikatakan adalah lokasi Rasulullah SAW menyampaikan khutbah pada haji al-wada’ yang disertai oleh 120,000 para sahabat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun kelapan hijrah adalah detik permulaan doa Rasulullah SAW sejak sebelum baginda berhijrah lagi yang terus-menerus memohon kepada Allah agar Allah membuka hati kaum baginda untuk menerima Islam akhirnya dikabulkan, khususnya pada detik pembukaan kota Mekah al-Mukarramah.

Dakwah Rasulullah SAW terus berkembang sehinggalah akhirnya Allah menjemput baginda kembali ke alam baqa.

Tahun Kelapan Hijrah

1) Pengislaman Khalid bin al-Walid dan ‘Amr bin al-’As -semoga Allah telah meredai mereka berdua.

2) Peperangan Mu’tah antara orang Islam yang berjumlah 3,000 perajurit dengan tentera Rom yang berjumlah 100,000 tentera.
Perang ini menyebabkan kesyahidan tiga orang ketua tentera Baginda iaitu Zayd bin Harithah, Ja’far bin Abu Tolib dan ‘Abdullah bin Rowahah. Peperangan ini adalah peperangan yang pertama berlaku di luar kepulauan Arab.

3) Kedatangan tentera Islam yang berjumlah 10,000 orang demi untuk menawan kota Mekah daripada tangan orang musyrik. Akhirnya Mekah berjaya dibuka pada 17 Ramadan. Saidina Abu Sufyan sebelum berlaku penaklukan kota Mekah telah memeluk agama Islam.

4) Berlaku peperangan Hunain yang disertai 12,000 tentera Islam. Selepas peperangan Hunain berjaya dimenangi oleh umat Islam, mereka telah mengejar tentera Taif yang lari semula ke Taif. Rasulullah SAW dan para sahabat telah mengepung kota Taif namun mereka tidak berjaya menawan kota Taif.

Akhirnya Rasulullah SAW dan para sahabat pulang ke Mekah dan membahagikan harta rampasan perang Hunayn di al-Ji’ronah iaitu kawasan miqat pada hari ini.

5) Kewafatan puteri Rasulullah SAW iaitu Saidatina Zaynab binti Rasulullah SAW. Beliau merupakan anak perempuan Rasulullah SAW yang paling tua.

6) Rasulullah SAW dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ibrahim hasil perkongsian hidup dengan hamba perempuan baginda yang berasal dari Mesir iaitu Saidatina Mariyah al-Qibtiyyah.

Tahun Kesembilan Hijrah

1) Berlaku peperangan Tabuk yang disertai 3,000 tentera Islam demi menghadapi kemaraan 40,000 tentera Rom yang mahu melenyapkan umat Islam di Madinah. Namun tentera Rom akhirnya takut untuk meneruskan perjalanan menentang Rasulullah SAW dan para perajurit Islam. Peperangan ini berakhir tanpa sebarang pertempuran.
Berlaku juga kisah tiga sahabat Rasulullah SAW yang tidak menyertai peperangan tanpa sebarang keuzuran iaitu Saidina Ka’b bin Malik, Saidina Maroroh bin al-Robi’ dan Saidina Hilal bin Umayyah. Allah akhirnya menerima taubat ketiga-tiga sahabat Rasulullah SAW ini setelah mereka dihukum dengan hukuman pemulauan.

2) Tahun kesembilan hijrah adalah Tahun Delegasi. Pada tahun ini lebih 70 delegasi dari luar Madinah datang bertemu Rasulullah SAW di Madinah.

3) Allah telah menurunkan surah Bara’ah pada tahun ini. Rasulullah SAW juga memerintahkan para sahabat membakar Masjid al-Dhiror yang dibina semata-mata untuk memecahkan kesatuan umat Islam.

4) Rasulullah SAW telah mengutuskan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai ketua jemaah haji. Namun Rasulullah SAW tidak melakukan ibadah haji pada tahun ini.

Tahun Ke-10 Hijrah

1) Muncul seorang pendusta besar yang dikenali dengan panggilan Musaylimah al-Kazzab. Mendakwa dirinya seorang nabi dan mendakwa arak dan zina adalah halal.

2) Muncul juga seorang pendusta yang bernama al-Aswad al-’Ansiyy. Dia juga mendakwa sebagai nabi yang diutuskan oleh Allah.

3) Rasulullah SAW berangkat dari Madinah ke Mekah untuk menunaikan haji. Inilah haji yang pertama dan terakhir buat Rasulullah SAW setelah baginda berhijrah ke Madinah. Adapun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke kota Madinah, baginda akan melakukan ibadah haji saban tahun bersama-sama dengan orang Arab yang lain.

Haji terakhir Rasulullah SAW yang turut dikenali dengan panggilan Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan) disertai oleh 120,000 sahabat.

Lokasi khutbah Rasulullah SAW pada hari Arafah di hadapan para sahabat ini telah dibina masjid yang dikenali dengan nama Masjid al-Namirah.

4) Rasulullah SAW telah menyiapkan kelengkapan tentera Islam yang diketuai oleh Saidina Usamah bin Zayd untuk bergerak menuju ke negeri-negeri jajahan Rom.

5) Salah seorang anak perempuan Rasulullah SAW yang bernama Ummu Kulthum meninggal dunia. Selain itu putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim juga meninggal dunia ketika berusia 18 bulan. Saidatina Ummu Kulthum dan Saidina Ibrahim dikebumikan di perkuburan al-Baqi’ al-Ghorqod.

6) Ketua orang munafik di Madinah, Abdullah bin Ubayy telah meninggal dunia. Ibu Abdullah bernama Salul lalu Abdullah lebih dikenali dengan panggilan Abdullah bin Ubayy bin Salul yang merupakan anak kepada Salul.

Semasa hidupnya dia banyak menyusahkan Rasulullah dan umat Islam bahkan dialah yang berperanan menyebarkan kisah palsu yang kononnya isteri Rasulullah SAW iaitu Saidatina Aishah telah bermukah dengan Saidina Sofwan bin al-Mu’attol.

Sekalipun Abdullah hanya berpura-pura memeluk agama Islam, mayatnya diuruskan seperti urusan jenazah seorang muslim kerana dia tidak menyatakan dengan jelas yang dia tidak beragama Islam.

Tahun Ke-11 Hijrah

1) Al-Aswad al-’Ansiyy yang sebelum ini mendakwa bahawa dia adalah seorang nabi telah dibunuh di Yaman.

2) Muncul seorang wanita dari suku Bani Tamim iaitu Sajah binti al-Harith yang mendakwa bahawa dia adalah seorang nabi.

3) Rasulullah SAW akhirnya dipanggil pulang oleh Allah SWT pada pagi Isnin 12 Rabiulawal di rumah Saidatina Aishah selepas baginda gering selama 14 hari. Baginda ketika wafat berusia 63 tahun.

Setelah perbincangan panjang sesama para sahabat, mereka mengebumikan jenazah Rasulullah SAW di dalam rumah Saidatina Aishah. Pada awalnya Saidina Umar menyangka bahawa baginda sebenarnya tidak wafat.

Namun beliau akhirnya rebah dalam tangisan apabila Saidina Abu Bakr al-Siddiq membaca ayat 144 daripada surah ali-Imran yang bermaksud: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN