Exists cipta kenangan terindah - Utusan Malaysia

Exists cipta kenangan terindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA sebahagian penyanyi mengambil keputusan menunda penganjuran konsert susulan faktor cuaca, selain memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kumpulan Exists tetap tegar meneruskan agenda Konsert Resolusi Exists pada malam Jumaat lalu.

Ternyata, keputusan yang dibuat tidak sia-sia apabila kira-kira 1,000 peminat setia kumpulan tersebut hadir memenuhi Zepp Kuala Lumpur pada malam penuh bersejarah itu.

Konsert bermula tepat pukul 8.30 malam dengan persembahan awal menyaksikan kemunculan vokalis, Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat membuka tirai dengan vokalnya yang masih menyengat.

Mamat membawa penonton kembali ke era kegemilangan Exists dari 1991 hingga 1993 menerusi empat lagu iaitu Anugerah, Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi dan Terpaksa.

Sempat berinteraksi ringkas, Mamat memaklumkan, dia bersama Exists gembira apabila masih berpeluang melunaskan janji kepada peminat, meskipun konsert berlangsung malam sebelum PRU15.

“Kami berterima kasih kepada peminat yang tetap hadir dan menyokong kami pada malam ini. Konsert ini agak istimewa kerana esok (kelmarin) kita akan turun mengundi,” katanya.

Tumpuan peminat seterusnya beralih kepada penyanyi, Eiz Gerilia yang mengambil alih persembahan dengan membawakan lagu Julia yang asalnya dinyanyikan, Ezad Lazim.

Ternyata, pemilihan Eiz sebagai penyanyi era digital menjayakan konsert sebuah kumpulan yang mula mencipta nama tiga dekad lalu tidak menghampakan.

Kemantapan vokal Eiz yang membawakan lagu tersebut dengan cara tersendiri mengujakan peminat yang rata-rata memuji nyanyiannya yang tidak meniru penyanyi asal.

Konsert Resolusi Exists turut mengundang seorang lagi penyanyi era baharu untuk menjayakan konsert tersebut.

Seperti Eiz, naib juara Mentor 7, Pasya juga tidak menghampakan peminat. Membawakan lagu Seperti Dulu, gubahan komposer G-Nola dan lirik oleh Musrad, Pasya memukau audiens dengan alunan suara yang unik dan tersendiri ketika menyanyikan lagu tersebut.

Pasya mengakui, sangat berbesar hati kerana diberi peluang menjayakan konsert tersebut.

“Saya membesar dengan lagu-lagu Exists. Peluang berkongsi pentas dengan mereka menjadi perkara yang sangat bermakna sepanjang kerjaya nyanyian saya,” ujarnya.

Pentas Zepp Kuala Lumpur kembali digegarkan Eiz yang menghidupkan suasana menerusi lagu rancak, Kapal Terbang Kertas yang popular pada 1998.

Persembahan seterusnya bertukar tangan kepada Mamat yang membawa peminat kembali ke era kegemilangan album Anugerah menerusi lagu Janji Padamu.

Antara lagu Exists yang menerima permintaan ramai untuk dipersembahkan adalah Jesnita dan Bunga. Pasya sekali lagi memukau penonton apabila berjaya membawakan dua lagu itu dengan sangat cemerlang.

Konsert diteruskan dengan menggabungkan aura tiga penyanyi atas pentas sama. Mamat, Eiz dan Pasya menghangatkan dengan persembahan tiga lagu iaitu Meniti Cita-Cita, Kuman HIV dan Kerana Cinta.

Pada konsert kali ini, beberapa lagu yang jarang dipersembahkan seperti Janji Bidadari turut dialunkan. Eiz kemudian meneruskan perjalanan konsert dengan membawakan lagu Masih Terserlah Ayumu. Penonton rata-rata terpaku dengan persembahan vokal memukau penyanyi itu yang membawakannya secara live.

Suasana dewan menjadi semakin panas apabila dua lagu killer Exists, Rahsia Pohon Cemara dan Untukmu Ibu dipersembahkan Mamat.

Ternyata lagu-lagu malar segar itu mempunyai nilai sentimental apabila masih mampu menyentuh jiwa penonton selepas berdekad lamanya.

Kemeriahan berterusan dengan satu lagi lagu killer kumpulan itu iaitu Mengintai Dari Tirai Kamar yang disampaikan oleh Eiz. Permintaan peminat Exists lunaskan dengan adanya lagu tersebut.

Sekali lagi Eiz membuktikan, dia tidak menghampakan peminat dan berjaya melunaskan tanggungjawabnya untuk menghidupkan sebuah lagu ikonik yang kembali tular itu.

Pecutan detik-detik akhir Konsert Resolusi Exists dimantapkan dengan alunan lagu-lagu rancak.

Pasya, mencetuskan kehangatan dengan membawakan lagu Percayakan Siti, sementara Eiz menggegarkan pentas menerusi lagu Mama Tolonglah Percaya.

Kedua-dua penyanyi tersebut turut bergabung dengan paduan vokal memukau menerusi lagu Alasanmu.

Konsert Resolusi Exists dinoktahkan dengan persembahan bertenaga daripada ketiga-tiga penyanyi yang membawakan Langkah Seiring.

Konsert Resolusi Exists bukan sahaja melakar sejarah tersendiri, malah menjadi bukti kumpulan bertaraf legenda itu akan terus bertahan selagi hayat dikandung badan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×