KUALA LUMPUR: Pengarah, Shahrulezad Mohameddin memaklumkan, keadaan pelakon, Nad Zainal kritikal lantaran darah pada paru-parunya masih keluar, biarpun telah diberikan pebagai rawatan.
Jelas Shahrulezad, pasukan perubatan masih berusaha sebaik mungkin, pada masa sama meminta tiada spekulasi dibuat bagi menghormati situasi Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin.
“Dia masih kritikal. Apa yang saya boleh cakap, keadaan kritikal dia ‘on and off’. Situasi sekarang sukar dijelaskan. Darah pada paru-paru masih keluar.
“Doktor juga sedang berusaha mengenal pasti situasi sebenar. Saya minta pihak di luar sana untuk tidak membuat sebarang spekulasi.
“Doakan semoga Nad diberi kesembuhan secepatnya. Semoga Allah permudahkan urusan dan perjalanannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Shahrulezad berkata, dia bersama rakan-rakan artis dan kru produksi yang rapat sedang menunggu keputusan serta perkembangan terkini pelakon itu di hospital.
“Kami menunggu sebarang perkembangan. Doktor juga sedang berusaha. Saya minta beri ruang kepada doktor untuk mengenal pasti punca sebenar,” katanya.