Aura ‘mahal’ sifu di DFP - Utusan Malaysia

Aura ‘mahal’ sifu di DFP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS setahun terpaksa menghampakan ramai peminat apabila perancangan asalnya tertangguh, sifu industri muzik, Datuk M. Nasir akhirnya melunaskan ‘janjinya’ pada 25 dan 26 November lalu menerusi konsert Simfoni Mustika M Nasir.

Konsert itu sepatutnya berlangsung pada 4 dan 5 September tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa faktor, termasuk pandemik.

Selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), kembali menyusun langkah menghangatkan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menerusi persembahan nama besar dalam industri muzik tempatan.

Satu daripadanya adalah penganjuran konsert penyanyi dan komposer terkemuka ini.

Berlangsung selama dua malam, M Nasir membuka tirai persembahan penuh syahdu menerusi lagu kerohanian, Kau Yang Satu.

Kelihatan elegan dalam persalinan moden serba hitam, M Nasir tidak membuat penonton menunggu lama apabila mendendangkan satu demi satu lagu popular, termasuk Bonda, Sahabat Gua, Hijab Kekasih dan Meniti Titian Usang.

Pengalaman dua malam di DFP itu menyajikan halwa telinga yang berbeza, terutama pada susunan muzik yang digubah mengikut kesesuaian nuansa orkestra.

Maka, ‘rasa’ dan ‘bunyi’ yang dipersembahkan sudah tentu menjanjikan pengalaman yang ‘mahal’ buat peminat yang hadir.

M. Nasir seperti dikenali ramai bukan seorang yang riuh dengan celotehnya. Jadi, tidak banyak mendengar cerita panjang daripadanya. Namun, pada sela waktu, ada juga usikannya buat penonton.

Dia bagaimanapun, berterima kasih atas sokongan peminat yang bergegas membeli tiket untuk menyaksikan konsert tersebut.

Hanya dalam tempoh 40 minit dibuka, penganjur mengumumkan jualan tiket telah habis ditempah.

“Bila jualan tiket dibuka, tidak sangka ramai yang berpusu-pusu membeli. Mungkin kerana ditangguhkan disebabkan pandemik, masing-masing sudah pasang hajat mahu tengok konsert ini. Sambutan diberikan sememangnya mengagumkan,” katanya ringkas.

Persembahan diteruskan dengan seleksi lagu hits lain, antaranya Ghazal Untuk Rabiah, Langgam Pak Dogo, Keroncong Untuk Ana, Suatu Masa, Mustika, Di Jalan Sesat dan Phoenix Bangkit.

Malam persembahan juga bagaikan tidak lengkap tanpa lagu penyemarak semangat, Mentera Semerah Padi. Seketika M Nasir membawa penonton hanyut dalam alunan irama ‘berhantu’ ini.

Menutup tirai, penyanyi berusia 65 tahun itu menghadiahkan penonton dengan lagu Hukum Karma dan Pawana, lantas menyuntik emosi berbeza buat peminat yang setia menanti hingga akhir konsert.

Apapun, konsert yang dipimpin Konduktor, Ahmad Muriz Che Rose ini berada pada kelasnya yang tersendiri.

Sekalung pujian wajar diberikan kepada semua yang terlibat, termasuk barisan pemuzik MPO yang memberikan sentuhan mereka sepenuh hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN