Tiada keperluan untuk mengambil tahu tentang soal politik negara merupakan antara persepsi salah kalangan remaja yang mungkin boleh menjejaskan pelaksanaan Undi18.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Amirah Mohd. Agus berkata, kebanyakan golongan berkenaan beranggapan politik hanya untuk mereka yang lebih berusia dan bukan bagi generasi muda.
Sehubungan itu, katanya, langkah proaktif perlu digerakkan pihak tertentu bagi mengubah pandangan dan persepsi remaja mengenai politik.
“Sudah tiba masanya remaja dididik agar memandang ke hadapan di samping memikirkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.
“Mereka perlu didedahkan dengan fungsi politik negara bagi membuka minda, sekali gus dapat memandang sesuatu isu dari pelbagai sudut,” katanya.
Nur Amirah berkata, pelaksanaan Undi18 mampu mempersiapkan golongan muda untuk terlibat secara tidak langsung dalam proses pembentukan negara di samping mengambil alih tampuk kepemimpinan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Penerangan, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Asfa Irfan Mohamed Razi mengakui, kebanyakan anak muda masih belum memahami landskap politik negara.
Katanya, situasi itu mungkin disebabkan kurangnya pendedahan mengenai Undi18 oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Contohnya di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), rata-rata pelajar yang mendaftar untuk kemasukan diploma pada Ogos lalu masih tidak tahu berkenaan perkembangan politik semasa.
“Mungkin parti politik yang sudah bertapak di negara ini boleh memikirkan kaedah terbaik untuk menarik minat orang muda bergiat dalam politik. Bagi pihak MPPK, kita berusaha memastikan golongan sasar memahami Undi18,” katanya.
Remaja, pelajar usia 18-20 tahun kurang peka politik
Lebih empat juta pengundi berusia 18 tahun bakal menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebagai pengundi muda, peranan golongan itu bukan sahaja dapat meningkatkan jati diri mereka, malah membantu dalam pembentukan negara bangsa.
Namun, kajian mendapati remaja dan pelajar berusia antara 18 hingga 20 tahun di negara ini masih kurang peka kepada politik.
Penemuan itu didedahkan Pensyarah kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berdasarkan beberapa siri tinjauan yang dilakukannya sebelum ini.
Katanya, selain kurang informasi politik, golongan itu juga didakwa tidak mengenali tokoh, di samping parti politik tanah air.
“Remaja atau pelajar yang peka kepada politik hanya sekitar 15 peratus sahaja, manakala yang masih tinggal dengan ibu bapa lazimnya terpengaruh dengan pemikiran politik keluarga.
“Ini berbeza dengan segmen lebih dewasa iaitu berusia 21 tahun ke atas kerana mereka lebih peka kepada politik disebabkan faktor kelangsungan hidup,” katanya.
Mazlan berkata, jika tiada gelombang isu politik yang menggemparkan, jangkaan remaja atau pelajar berusia antara 18 hingga 20 tahun turun mengundi adalah kurang daripada 30 peratus.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya berlaku gelombang, maka bilangan keluar mengundi boleh mencapai 50 peratus atau lebih.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, tahap kesedaran politik dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin lebih baik, berbanding remaja yang tercicir persekolahan atau terlibat dalam aktiviti sosial seperti penagihan dadah dan lain-lain.
Sehubungan itu, katanya, kempen literasi politik, pilihan raya dan undi perlu digerakkan dengan lebih kerap bagi mendekati golongan sasar.
Menurutnya, kaedah berkenaan boleh diuar-uarkan melalui pelbagai platform, termasuk media sosial.
“Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran masyarakat sivil, sivik dan politik di sekolah menengah sebagai persediaan golongan muda menjadi pengundi berwibawa selepas tamat persekolahan.
“Di luar negara, subjek sosiologi politik sudah diajar di sekolah menengah, malah di Finland, remaja berusia antara 15 hingga 16 tahun layak menjadi ketua masyarakat melalui kesatuan sekerja dan persatuan pengguna,” katanya.
Seorang lagi pensyarah politik dari Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat berkata, masih ramai pengundi yang tidak mengambil kisah tentang politik dan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya.
“Paling mustahak, langkah pencerahan pengundi perlu dilakukan agar mereka dapat melihat bagaimana undi dan penyertaan dalam politik boleh membawa penambahbaikan dalam kualiti hidup,” katanya.









