KUALA LUMPUR : Simpati dengan keadaan Zamani Ibrahim, penyanyi nasyid, Dr Fitri Haris tidak berfikir panjang untuk membeli beg berjenama mewah yang dilelong Datuk Aznil Nawawi pada malam Konsert Doa Buat Zamani Unplugged, Jumaat lalu.
Menurut Fitri, dia tidak tahu Aznil akan membuat lelongan, namun tergerak hati untuk membeli beg tersebut kerana mahu menyumbang kepada penyanyi yang menjadi idolanya itu.
“Emosi saya memang terkesan dan apabila Pak Nil membuat lelongan beg, saya berbincang dengan isteri. Saya tiada niat lain kerana hati memang tergerak untuk membantu dia.
“Selama ini saya hanya baca berita mengenai keadaan dirinya, tetapi belum berkesempatan menyumbang. Jadi, apabila peluang, apa salahnya saya berkongsi rezeki,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, kelmarin.
Ditemani isterinya, Fazilah Omar, Fitri berkata, penyanyi itu banyak memberikan inspirasi sepanjang dia bergerak dalam dunia seni hiburan.
“Saya memang peminat tegar dia. kerana membesar dengan lagunya bersama kumpulan Slam. Malah, ketika mula menceburi bidang seni, saya menyanyi mengikut cara Zamani.
“Saya memang banyak terpengaruh dan terinspirasi dengan cara dan lenggok nyanyiannya.
“Nilai RM15,000 bagi saya terlalu kecil kalau mahu dibandingkan dengan sumbangan Zamani yang memberi inspirasi untuk saya berada dalam bidang seni. Dengan sedikit sumbangan, mudah-mudahan dapat membantu Zamani teruskan kelangsungan hidup selepas menjalani pembedahan nanti,” katanya.
Pada konsert Doa Buat Zamani yang berlangsung di Zepp KL itu, Aznil membuat lelongan beg berjenama mewah pada harga RM15,000.
Lelongan itu dibuka selama 24 jam, namun tidak sampai 20 minit, beg itu dimiliki Fitri yang dijemput hadir bagi membacakan doa.
Konsert itu turut menampilkan penyanyi undangan seperti Datuk Ramli Sarip, Rahim Maarof dan Fauziah Latiff.