Remp-it 2: Menyempurna impian sedekad Farid Kamil - Utusan Malaysia

Remp-it 2: Menyempurna impian sedekad Farid Kamil

Farid bersama anaknya, Muhammad yang turut membintangi Remp-it 2.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN pelakon hebat ini cukup besar. Dia mahu mencorakkan kanvas industri seni dengan bakat serta cita-citanya. Dia mahu mencantikan lukisan sedia ada dengan menambah kualiti dan nilainya.

Namun, untuk merealisasi impian itu, Farid Kamil terlebih dahulu belajar apa itu penderitaan. Sepak terajang dunia seni, dia perlu merasainya dahulu. Sakit yang tidak terlihat lukanya, disimpan buat pedoman.

Mungkin ada yang tergelak kecil mendengar isi hati lelaki berusia 41 tahun ini. Apatah lagi, kanvas hidupnya sendiri penuh cerita. Namun, manusia mana yang boleh lari dari kesilapan. Setiap yang buruk, ada baiknya.

“Niat saya sejak masuk industri 23 tahun dahulu tetap sama. Mahu mencorak dan mencantikkan industri perfileman sedia ada. Menambah nilai estetika. Saya juga sama seperti penggiat seni lain, mahu memajukan industri.

“Saya percaya, apa yang kita lalui baik atau buruk menjadikan siapa kita sekarang. Banyak pengalaman pahit yang mematangkan saya. Tipu kalau tiada yang pandang serong, tetapi tujuan kita tetap sama.

“Tuhan uji saya sebentar sahaja. Dia tahu, saya mampu. Populariti dan kekayaan itu semua sementara. Kalau ada duit berjuta, tetapi hati tidak tenang, apa guna. Saya mulakan legasi yang pernah saya tinggalkan dahulu,” katanya.

MENCIPTA FENOMENA REMP-IT 2

Tidak usah kita buka buku sejarah hitam Farid lagi. Cukup sekadar kita sendiri yang tahu. Penghijrahan biarpun perlahan, seharusnya disokong. Apatah lagi, dia mahu menyempurnakan impian untuk kemajuan diri dan industri seni.

Hadir dengan buah tangan baharu, Remp-it 2, sejarah yang pernah tercipta 16 tahun dahulu kini mahu diulang kembali. Fenomena pecah panggung sehingga watak Madi begitu sinonim dengannya bernafas semula.

Tidak hanya sebagai penulis skrip, pengarah dan pelakon, Farid juga memberanikan diri menerbitkan filem yang ditunggu-tunggu oleh peminat. Satu naskhah yang bakal mengimbau kenangan 16 tahun dahulu.

“Mungkin ada peminat Remp-it, kini sudah bergelar ayah dan ibu. Ada yang apabila berjumpa saya bertanya, apa jadi dengan Madi. Bila mahu keluar sekuel dan macam-macam lagi. Kini saya beranikan diri, hasilkan Remp-it 2.

“Faktor pandemik memaksa kita menangguhkan filem ini tiga kali. Tetapi, saya fikir, November ini adalah waktu paling sesuai untuk kita tayangkan Remp-it 2. Akhirnya, impian untuk bergelar penerbit 10 tahun lalu terlaksana,” katanya.

Bercerita tentang cabaran, Farid akui, menghasilkan filem aksi punya onak dan durinya. Apatah lagi, jangkaan peminat filem pertama pasti menggunung tinggi, terutama selepas 16 tahun ‘menyorok’.

“Sebenarnya, kami kehilangan rakaman asal bunyi filem itu. Kami tidak jangka itu berlaku. Tetapi, kami berjaya mendapatkan semula rakaman tersebut. Ada sedikit lari, namun tidak mencacatkan.

“Kami juga berdepan dengan beberapa kemalangan di lokasi. Tetapi, penggambaran selama 55 hari berjalan lancar. Saya mahu ketengahkan pembaharuan dalam dunia permotoran dengan mengubah mentaliti lapuk.

“Disebabkan itu, jalan cerita dan naratif juga berbeza. Semestinya pemilihan pelakon memainkan peranan penting. Anak saya, Muhammad turut sama berlakon,” katanya.

 

‘BABAH TAK GARANG PUN’

Penampilan pertama anak sulung pasangan Farid dan Diana Danielle ini pastinya mencuri tumpuan semua. Kelihatan agak pemalu, terutama apabila soalan pertama ditanya; “Babah garang tak?”.

“Babah tidak garang pun. Cuma, saya susah mahu hafal dan ingat dialog. Tetapi, saya mahu berlakon lagi. Itu pun kalau ibu benarkan,” katanya yang mengundang tawa.

Menyambung jawapan anaknya, Farid berkata, dia tidak menyangka Muhammad atau nama timangannya, Che Mad begitu mahir mengendali motosikal bersaiz kecil, biarpun kali pertama menunggangnya.

“Sebenarnya, ketika saya menulis skrip, ada satu watak kanak-kanak. Pening juga memikirkan hendak tawarkan kepada siapa watak tersebut. Saya pergi ke satu sesi motorcross dan tiba-tiba, Che Mad sudah bersedia untuk tunggang motosikal sendiri.

“Jadi saya fikir, kenapa tidak bawa Che Mad sertai barisan pelakon. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun kali pertama dia berlakon,” katanya.

Remp-it 2 yang menelan belanja RM3.5 juta bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 November depan. Selain Farid dan Che Mad, Remp-it 2 turut menampilkan Aihirine Ahiruddin, Izzue Islam dan Cat Farish.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN