Pohon anggur, tarikan The Pondok’s

Pohon anggur, tarikan The Pondok’s

the pondok's
SAADAN Selamat mencapai gugusan anggur di The Pondok’s.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengambil kelebihan daripada usaha bapanya yang menanam anggur di sekeliling rumah, bekas seorang jurutera awam ini mengambil kesempatan itu dengan membuka perniagaan makanan di bawah bangsal pohon anggur.

Noor Amirah Saadan, 27, tidak menduga kuasa media sosial, menarik minat pelanggan dari pelbagai tempat termasuk Pulau Pinang, Melaka, Terengganu selain Johor untuk menikmati makanan dikelilingi pokok anggur yang menjalar itu.

Gerai makan The Pondok’s, yang memulakan operasi Mac lalu berjaya menarik minat pelanggan walaupun kedudukannya jauh dari jalan utama.

“Alhamdulillah, kami menerima sambutan sangat menggalakkan dengan tawaran menu pelbagai jenis juadah ala kampung dalam suasana kebun anggur,” ujarnya.

Selain Nasi Goreng Wak Nor yang menggunakan cili kering, makanan lain turut disajikan ialah sate goreng, rojak tahu padu, soto ayam, nasi ayam kokok, set raya rendang hijoo dan sup mang thai (sup daging).

Noor Amirah membabitkan diri dalam bidang perniagaan setelah meninggalkan jawatan sebagai jurutera di Johor Bahru selepas disahkan hamil anak sulung.

Situasi berkenaan tidak membenarkan dirinya turun ke tapak projek. Beliau turut berpengalaman sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

“Saya ada membuka kelas tuisyen, namun melihat langkah bapa saya Saadan Selamat, 61, membuka kedai kopi secara kecil-kecilan di hadapan rumah, mendorong saya membantu secara lebih serius.

Lalu ayah gunakan modal daripada simpanannya menjual anak benih pokok anggur untuk membina gerai ini,” katanya ketika di Kampung Parit Mastar Laut, Benut, baru-baru ini.

Noor Amirah turut terlibat dengan pelbagai jenis jualan makanan secara dalam talian seperti laksa hijoo (hijau), nasi goreng dan biskut raya sebelum serius dengan operasi The Pondok’s.

Belajar tanam anggur di Youtube

Antara jenis anggur yang ditanam di sekeliling gerai tersebut ialah Rain Sain Masked, Bonddery, Black Hozek, Dexon, Niel dan Jupitar cara penanamannya dipelajari menerusi saluran YouTube.

“Pada awalnya gerai ini diuruskan abang dan kakak serta adik bongsu, namun setelah pelanggan semakin bertambah, kami telah mengambil lima pekerja,” katanya Noor Amirah.

Pemegang Ijazah Kejuruteraan Awam daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) ini mengakui gerai tersebut mampu meraih jualan sehingga RM30,000 sebulan yang disifatkan sebagai rezeki atas usaha ayahnya memperkenalkan tanaman anggur di kampung itu.

Sementara itu, Saadan berkata, beliau tidak menjual buah anggur yang telah masak, sebaliknya memberikannya kepada orang kampung yang datang.

Beliau hanya meraih pulangan menerusi jualan anak-anak benih pokok anggur berkenaan yang dijual pada harga antara RM50 hingga RM280 sepokok.

“Pelanggan membeli secara terus kepada kami dengan datang ke rumah. Ada juga secara pos laju. Pelanggan kami yang paling jauh ialah dari Sarawak,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya