Penjenamaan, merakyatkan Istana Budaya - Utusan Malaysia

Penjenamaan, merakyatkan Istana Budaya

ZUBAIDAH tidak mahu IB dilihat sekadar pentas persembahan, malah juga sebagai pusat ilmu untuk penggiat seni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT sirih pulang ke gagang, kembalinya Zubaidah Mukhtar ke Istana Budaya (IB) memikul tanggungjawab besar. Misi dan visi sebagai Ketua Pengarah IB baharu bermula Isnin lalu, perlu dilestari dan dilaksana sebaik mungkin.

Tidak dinafikan, wujud perasaan gementar, sementelah kerusi jawatan itu sudah hampir setahun kosong. Pastinya, harapan dan cabaran yang harus digalas serta ditempuhi bukan sesuatu yang mudah.

Pertemuan empat mata kami, baru-baru ini membincangkan pelbagai topik. Pastinya, wanita berusia 54 tahun ini mempunyai strategi dalam terus memartabatkan penjenamaan IB ke tahap lebih tinggi.

Ikuti tembual Utusan Malaysia bersama Zubaidah.

Boleh kongsikan perasaan memikul tanggungjawab yang cukup besar ini?
Zubaidah: Gementar itu pasti. Dalam era yang cukup mencabar ini, pasti ada cabaran dan harapan kakitangan terhadap Ketua Pengarah baharu juga tinggi. Kita sedia maklum, barisan bekas Ketua Pengarah IB sebelum ini bukan calang-calang.
Cuma, kita harus dinamik dalam merancang sesuatu. Bukan untuk menyaingi atau berlawan dengan sesiapa, terutama mantan Ketua Pengarah kerana setiap pelantikan mempunyai misi dan visi tersendiri.

Tentunya Puan mempunyai perancangan atau strategi awal dalam meneruskan kecemerlangan IB? Boleh kongsikan.
Berhubung perancangan dan strategi, saya akan berinteraksi secara dalaman dahulu bersama kakitangan untuk melihat status atau isu yang sedang dihadapi. Mungkin pernah disuarakan sebelum ini, namun tidak mendapat perhatian.
Konsep saya, no one is left behind. IB tanpa satu pihak ibarat sebuah kereta tanpa roda, tidak bergerak. Pengalaman sedekad bersama IB sebelum ini akan digunakan. Saya pernah bertugas di bawah pimpinan tiga Ketua Pengarah.
Setiap mereka mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing. Saya meneruskan legasi itu dengan memikul tanggungjawab semampu dan sebaik saya.

Apa pula perancangan terhadap penjenamaan IB untuk tahun ini dan tahun depan?
The show must go on. Kita telah melalui fasa pandemik yang cukup sukar, termasuk penggiat industri seni dan budaya. Memasuki fasa endemik, banyak kelonggaran telah diberikan. Jadi, kita harus raih peluang itu.
Ada persembahan yang sudah disusun awal, jadi kita teruskan. Apa yang saya boleh lihat adalah pelaburan perancangan untuk masa akan datang. Kita akan menambah baik beberapa aspek yang mungkin ada kelemahannya.
Saya juga akan memperbaiki perkhidmatan kepada masyarakat luar. Dalam erti kata lain, merakyatkan IB kepada umum. Itu penting untuk menyerlahkan fungsi sebenar institusi kebudayaan dan seni warisan seperti IB.

Sebelum ini, IB berdepan pelbagai isu yang menuntut pembaharuan, terutama sistem pembelian tiket, tender persembahan dan banyak lagi. Apa perancangan untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit?
Isu pembelian tiket adalah antara yang bakal kami bincangkan secara terperinci dalam masa terdekat. Malah, tender persembahan juga harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kita harus lihat kedudukan kewangan sesebuah produksi. Siapa mereka? Siapa audiens sasaran? Perlu ada sesi pitching untuk memastikan setiap konsert atau persembahan mencapai standard IB.
Jika kita mengikut SOP yang telah ditetapkan, saya percaya banyak isu boleh dielakkan. Ini adalah kolaborasi bersama antara saya dan kakitangan. Sistem itu sudah ada, kita perlu ikut.

BUKA PINTU, TARIK GENERASI MUDA

Ada pihak memandang IB sebagai pusat kebudayaan dan seni warisan yang tertumpu kepada elemen tradisional serta ‘lapuk’. Golongan generasi muda tidak diberi peluang untuk berkarya.
Tidak adil untuk terus meletakkan kesalahan kepada IB. Namun, saya setuju, sudah tiba masa generasi muda diberi peluang membuktikan bakat dan kemampuan.Kita kena terbuka. Tidak boleh terlalu tradisional. Perlu ada peratusan tertentu yang akan diambil kira. Misi dan visi IB perlu selari dengan modenasasi, tanpa melupakan tujuan utama iaitu memartabatkan seni budaya warisan.

Maksudnya IB akan membuka pintu kepada produksi luar yang mungkin diterajui generasi muda?
Kita harus tarik audiens baharu. IB bukan sekadar pentas persembahan, malah kita adalah pusat ilmu untuk penggiat seni. Kita akan adakan seminar, kelas seni dan pelbagai acara bagi menarik kehadiran generasi muda.
Kita ada peruntukan untuk semua itu, kenapa tidak? Laman Santai sebagai contoh, diwujudkan bagi tujuan itu. Kita harus menggunakan fasiliti yang ada dengan sebaik mungkin. Ini adalah eksperimentasi yang baik untuk pengurusan baharu IB.
Saya mahu IB dilihat sebagai sebuah pusat ilmu budaya dan seni warisan yang membuka pintu kepada semua orang, tidak kira umur, kaum atau bangsa.

Apa harapan Puan dalam menerajui IB?
Saya berharap dapat menyemarakkan lagi kegemilangan dan kecemerlangan IB ke peringkat lebih tinggi. Aspek pengisian dan penambahbaikan akan diterajui sebaiknya. Sense of belonging saya terhadap IB cukup tinggi. Semoga usaha dan misi saya dapat dilaksanakan dengan bantuan semua pihak, termasuk media.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya