BUKAN sekali penampilan seksi mereka mengundang kecaman ramai. Malah, kumpulan Dolla sering menjadi sasaran cemuhan hingga ada yang mempertikai, mereka lebih selesa ‘menjual’ imej seksi, berbanding bakat dan kebolehan.
Apabila diajukan persoalan ini, anggota Dolla, Sabronzo memaklumkan, mereka enggan mengambil pusing dengan pandangan negatif orang, sebaliknya mahu menumpukan kepada mempertingkatkan kerjaya seni.
“Keutamaan kami adalah muzik dan kerjaya. Tetapi, setiap orang mempunyai pandangan dan hak untuk bersuara.
“Seperti penyanyi lain, kami juga mahu bakat dan kebolehan yang kami ada dinilai serta diberi perhatian, bukan penampilan.
“Apa yang boleh kami buat adalah lakukan yang terbaik untuk kumpulan ini,” katanya.
Diminta mengulas tentang isu berpakaian seksi ketika membuat persembahan dalam sebuah festival muzik, baru-baru ini, Sabronzo berharap, perkara itu tidak lagi dipanjangkan.
“Kami akur untuk memperbaiki imej dan akan mematuhi cara pemakaian yang lebih bersesuaian. Kami mahu terus bergerak ke depan dan sudah tentu, kami akan lebih berhati-hati,” katanya.
Mengulas lanjut, Sabronzo berkata, mereka kesal kerana terlepas pandang tentang perkara tersebut dan berharap permohonan maaf yang dibuat dapat meleraikan kemarahan netizen terhadap Dolla.
“Fokus kami lebih kepada persembahan pada malam itu memandangkan diberi peluang untuk beraksi pada slot pembukaan.
“Jadi, banyak perkara yang kami fikirkan. Kami akui, kami terlepas pandang akan perkara tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga berharap mereka tidak terus dihakimi, malah berjanji perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang.
“Apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada kami. Tiada perkara lain yang boleh kami buat selain memohon maaf dan tidak mengulangi perkara sama pada masa akan datang,” ujarnya.
Tajuk panjang satu tarikan
Kolaborasi Dolla dengan penyanyi dan komposer, Naim Daniel merupakan kerjasama yang dinantikan peminat mereka.
Menerusi single, Mungkin Ini Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat, buat kali pertama mereka bergabung dalam lagu balada yang menggunakan judul agak panjang.
Kata Naim dia menganggap tajuk lagu tersebut akan menjadi tarikan dan memberi kelainan kepada kolaborasi mereka.
“Kami sengaja pilih tajuk yang panjang kerana bagi kami, itulah tarikannya.
“Daripada tajuk sahaja pendengar sudah boleh menjangkakan ekspresi dan emosi yang cuba disampaikan.
“Pihak Universal Music juga setuju dengan judul yang dicadangkan. Jadi kami rasa tiada masalah,” ujarnya.
Kongsi Naim, Mungkin Ini Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat dihasilkannya dua tahun lalu dan tidak terfikir untuk menyanyikannya dengan artis lain.
“Namun, akhirnya hati terdetik kenapa tidak menyanyikan secara duet kerana saya belum pernah berkolaborasi dengan mana-mana artis wanita.
“Dolla adalah artis yang terlintas dalam fikiran ketika saya tercari-cari penyanyi untuk bergandingan,” jelasnya.
Sementara itu, Angelina Chai Kai Ying atau Angel pula memberitahu, dia bersama Dolla turut memberikan input sebelum lagu itu dirakamkan.
“Naim banyak membimbing kami bagaimana untuk membawakan lagu balada. Kami banyak belajar daripada Naim.
“Tetapi, kami cuba menerapkan karakter masing-masing dalam lagu ini kerana mahu mengekalkan identiti Dolla,” katanya.











