Kewujudan media sosial membuatkan manusia berlumba-lumba berkongsi perihal hidup untuk tatapan masyarakat.
Berbeza pelakon yang masih utuh dalam senarai popular, Nasha Aziz, 51, apabila memilih untuk menutup rapat kisah peribadinya agar tidak diintai umum.
Kata pelakon jelita ini, dia tidak selesa untuk terlalu berkongsi kehidupan hariannya di Facebook, Instagram dan TikTok.
“Saya segan, lebih-lebih lagi tentang hal peribadi. Perkataan eksklusif menggambarkan hidup saya.
“Orang memandang tinggi dan mengaitkan yang indah-indah tentang Nasha Aziz. Pada hal, kehidupan saya biasa sahaja.
“Tidak perlu saya kongsi kehidupan saya di media sosial. Saya tidak mahu masyarakat keliru,” katanya.
Kata Nasha lagi, jika tidak bekerja, dia menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Disebabkan itu, dia tidak mahu kehidupan glamor sebagai pelakon dan model terbawa-bawa ke rumah.
“Nasha Aziz adalah jenama yang saya pikul sebagai pelakon dan model. Ia adalah pekerjaan.
“Kalau di luar, saya mahu menjadi diri sendiri dan jalani kehidupan normal seperti orang lain.
“Saya tidak terbuka untuk bercerita atau tunjukkan kehidupan saya kepada masyarakat,” jelasnya.
Jaga batas dalam berpakaian
Peragaan adalah dunia yang mencabar, manakala bagi sesetengah individu, ia sedikit kejam. Ia menawarkan pilihan, antara mahu atau tidak.
Nasha adalah antara peragawati Melayu yang berjaya dalam bidang tersebut.
Pada usia lebih lima dekad, dia masih menjadi pilihan untuk memperagakan jenama terkenal dalam dan luar negara.
Namun katanya, sebagai orang Melayu dan beragama Islam, ada batasan yang tidak boleh dilanggar.
“Saya terbang ke sana sini, memperagakan fesyen tempatan dan antarabangsa seperti Jimmy Choo dan Zang Toi. Saya letakkan syarat.
“Ada ketetapan saya dalam berpakaian. Namun, mereka yang mahu bekerjasama dengan saya sudah maklum tentang batas yang saya letakkan.
“Kita pilih kehidupan kita. Saya orangnya degil, kalau tidak mahu, saya akan tolak,” katanya.
Kata Nasha lagi, sebagai manusia, dia juga tidak sempurna dan melakukan kesilapan. Bagaimanapun, dia akan menjaga batas mengikut kemampuan.
“Saya tidak adalah baik sangat, ada juga berpakaian seksi. Tetapi, pergi cari gambar saya berbikini, ada?
“Dalam keadaan apa sekalipun, ada had dan kemampuan yang perlu kita ikut.
“Saya mahu bahagia dunia akhirat, malah tidak mahu menyesal pada kemudian hari. Itu yang membuatkan saya masih bekerja sebagai pelakon dan peragawati sehingga hari ini,” tambahnya.
Pengorbanan
Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-17 ini mengakui, kesihatan adalah kunci utama yang membuatkan dirinya masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.
Katanya, banyak perkara yang dikorbankan bagi memastikan kesihatan fizikal dan mental berada pada tahap memuaskan.
“Saya tidak pernah lalai menjaga pemakanan saya. Setiap pagi, saya akan pastikan pengambilan makanan tanpa garam dan gula supaya perut selesa serta tidak kembung.
“Kopi bagus untuk otak, tetapi tidak untuk kulit. Saya hanya akan minum kopi pada waktu petang. Pada umur sekarang, kulit mudah menjadi kusam.
“Saya juga akan lebihkan sayuran, paling kurang lima mangkuk sayur pelbagai jenis setiap hari.
“Saya tidak lagi minum susu daripada sumber haiwan, sebaliknya saya lebihkan susu badam dan banyak makan ikan serta ayam untuk protein,” ujarnya.
Ujar Nasha, dia perlu banyak berkorban, menjaga dirinya bagi menghargai kepercayaan orang terhadapnya.
“Pada usia sekarang, saya bersyukur orang masih yakin untuk ambil saya berlakon dan memperagakan pakaian yang mereka hasilkan.
“Jadi, saya kena jaga diri dengan sebaiknya. Tetapi, apa juga yang kita lakukan harus mengikut kemampuan diri,” kongsinya.










